"Laporan polis dibuat sebagai pencerahan saya tidak pernah terbabit dengan aktiviti pelaburan mata wang digital yang diiklankan pihak berkenaan.
"Sudahlah menggunakan nama saya tanpa izin, mereka (pihak itu) juga memfitnah dengan mendakwa saya muflis dan berjaya bangkit menerusi pelaburan terbabit," kata pelakon Shaheizy Sam.
Sam atau nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad, 36, membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang Jaya, semalam.
Katanya, dia tahu mengenai kewujudan aktiviti pelaburan mata wang digital terbabit tetapi tidak ambil pusing mengenainya.
"Ada juga kawan berkongsi dengan saya tetapi tidaklah diendahkan sangat sehingga seorang wakil media menghubungi bertanyakan perkara ini.
"Saya terkejut kerana dimaklumkan pihak berkenaan sudah membuat iklan untuk menarik orang ramai berminat membuat pelaburan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Malah katanya, dia juga mendapat banyak mesej langsung (DM) daripada orang ramai yang inginkan maklumat lanjut kerana mahu menyertai skim itu.
"Ingin ditegaskan, saya memang tidak pernah terbabit langsung dengan perniagaan menerusi aktiviti pelaburan mata wang digital," katanya.
Menurut pelakon filem Polis Evo itu, dia berharap dengan laporan polis dibuat dan penjelasannya tidak ada orang menjadi mangsa pihak terbabit.
Sam berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku dan meminta pihak terbabit berjumpa dengannya terlebih dahulu sebelum menggunakan namanya.
"Kalau betul nak berniaga dan perlukan kerjasama saya, datanglah jumpa dan berbincang secara profesional. Biar ikut prosedur.
"Ini sebaliknya pula. Guna nama saya dan memfitnah lagi kata saya muflis serta bangkit daripada kegagalan dengan pelaburan itu," katanya.
Justeru katanya, wajar untuk dia membersihkan nama daripada dikait untuk reputasi diri.
Sebelum ini, sebuah portal menyiarkan artikel mengenai kebangkitan Sam daripada muflis dan menjadi jutawan hingga membuatkan ramai yang tertanya-tanya serta berminat menyertainya.
Pun begitu, Sam menyangkal tegas pembabitannya dalam aktiviti pelaburan mata wang digital berkenaan dengan membuat perkongsian di Instagramnya.