Enggan mengikut jejak langkah bapanya dalam politik, penyanyi baru dikenali Cash Farhan, 23, nekad menceburi kerjaya seni.
Cash atau nama sebenarnya Muhamad Asyrol Farhan Ahmad adalah anak bongsu mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Buat permulaan, Cash muncul dengan lagu solo pertama ciptaan bersama Ewal Ismail dan lirik hasil tulisannya sendiri berjudul Trust.
Mengulas pembabitannya dalam industri hiburan, Cash yang tampil dengan imej K-Pop berkata, dia lebih meminati karier seni berbanding politik.
"Saya memang suka menulis sejak di sekolah lagi dan hingga kini sudah berjaya menyiapkan koleksi lagu ciptaan sendiri.
"Untuk politik, rasanya saya tidak cukup cekal bagi mengikut jejak langkah ayah. Bidang nyanyian ini lebih menenangkan.
"Apatah lagi, saya juga pernah menimba ilmu muzik di Korea selama lebih dua tahun dan mungkin sekarang masanya mencuba," katanya.
Bersyukur minatnya pada karier seni tidak dihalang ibu bapa dan keluarga, Cash berkata, dia akan berusaha memahat nama dan bakatnya sehingga berjaya.
"Saya tahu bukan mudah dan itulah cabaran utamanya. Namun, selain menyanyi, saya juga boleh mencipta lagu.
"Ditambah dengan kemahiran menguasai empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Korea dan Mandarin, saya akan cuba menggunakannya sebaik mungkin.
"Bahkan, saya juga merancang menghasilkan lagu kedua dengan gabungan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Korea dan Inggeris," katanya.
Mengharapkan pembabitannya dalam karier seni diterima baik, Cash meminta orang ramai menilai dirinya dengan bakat dan bukan status keluarga.
Lagu Trust bergenre pop diilhamkan Cash daripada kisah cintanya yang kecundang di tengah jalan sekitar empat tahun lalu.
Video muzik lagu Trust sudah dimuat naik di YouTube sejak seminggu lalu dan mendapat maklum balas positif.