Waspada akaun Instagram palsu Liza Hanim




Penyanyi Liza Hanim terkejut apabila mendapat tahu kewujudan sebuah akaun palsu menggunakan namanya di Instagram (IG) sehingga mengelirukan peminatnya.

Liza, 39, berkata hal itu dimaklumkan seorang mekap artis kepadanya dan mengakui berdebar disebabkan akaun terbabit yang dibuat sejak April memiliki lebih 200 pengikut.

“Jujur, saya berdebar apabila dimaklumkan mengenai kewujudan akaun palsu ini. Paling menakutkan adalah akaun itu mengambil foto daripada IG saya termasuklah foto keluarga.

“Saya sudah pun membuat laporan kepada pihak IG selain meminta pengikut melaporkan akaun berkenaan beramai-ramai. Risaulah nanti kalau akaun itu memuat naik apa-apa yang tidak baik,” katanya.

Penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu juga berharap akaun palsu menggunakan nama @lizahanim79_ berkenaan akan dipadam secepat mungkin.

“Setakat ini, saya cuma menunggu tindakan lanjut daripada pihak IG selain bantuan pengikut untuk melaporkannya. Kalau tidak berhasil juga, saya akan melipatgandakan usaha sehingga akaun itu dipadam.

“Ini adalah kes mencuri identiti. Saya tidak mahu nanti terpalit dengan perkara yang bukan datang daripada saya contohnya akaun itu menganjurkan sebarang pertandingan atau hal lain,” katanya.

Dalam pada itu, Liza juga memberitahu belum bersedia sepenuhnya untuk kembali aktif menyanyi selepas bapanya Abd Halim Abd Razak meninggal dunia bulan lalu.

Menurutnya, dia hanya akan kembali menjayakan tawaran persembahan paling cepat pada penghujung Ogos depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post