Ummi Nazeera Impi watak berat, serius




Andai dicongak sekali imbas, kehadiran dan pembabitannya dengan menggunakan nama pentas Ummi Nazeera dalam kancah dunia seni lakonan bukan baru satu atau dua tahun.

Ironi, pelakon berusia 29 tahun ini sudah pun mula menempa nama di persada arena lakonan sejak berumur 18 tahun menerusi beberapa naskhah drama televisyen popular Melayu.

Namun, ‘kehilangannya’ dalam radar seni selama hampir sembilan bulan sebelum ini membuatkan banyak pihak tertanya-tanya ke mana perginya bintang berbadan genit itu dan apakah punca tuan punya badan bertindak menyepikan diri.

Bukan sahaja daripada dalam kalangan peminat, kehilangannya turut dirasai teman-teman artis dan mereka yang seangkatan dengannya, tidak kurang juga rumah-rumah produksi dan sutradara yang pernah bekerjasama dengannya.

Namun begitu, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin punya alasan dan sebab musabab tersendiri mengapa dia bertindak sedemikian rupa.

Kembali aktif

“Ya memang hampir setahun saya mendiamkan diri. Sepanjang waktu itu jugalah saya langsung tidak menerima sebarang tawaran lakonan daripada mana-mana pengarah. Bukan sebab tiada sebarang tawaran lakonan, tetapi saya yang bertindak menolak tawaran tersebut.

“Dalam tempoh hampir setahun ini jugalah saya berhadapan dengan pelbagai ujian daripada Yang Maha Esa terutama dalam proses melahirkan anak pertama,” katanya membuka bicara bersama Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Tambahnya, sepanjang berada dalam zon ‘kritikal’ tersebut, dia terpaksa mengambil keputusan untuk berehat seketika agar kesihatannya benar-benar pulih selepas kejadian yang tidak diingini menimpa dirinya sekitar Ogos tahun lalu.

Bercerita lanjut, bintang filem Bisik Pada Langit itu memberitahu, kini dia bersedia kembali aktif dalam dunia lakonan setelah sudah sekian lama berehat dan tidak tampil di kaca televisyen mahupun layar perak.

Kongsinya, kali terakhir dia muncul di layar perak adalah ketika membawakan watak sebagai Yaya menerusi naskhah Gol & Gincu Vol 2 arahan Umi Salwana Omar sekitar Oktober tahun lalu.

“Ya itulah filem terakhir yang saya lakonkan. Proses penggambarannya pun dijalankan lebih awal sebelum saya melahirkan puteri sulung pertama, Ayra Aneesah yang kini memasuki usia sembilan bulan.

“Jujur saya katakan memang rindu untuk kembali beraksi dan aktif semula dalam lakonan. Itu sebahagian jiwa dan hidup saya, masakan nak tinggalkan begitu sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, bagi memastikan urusan kerja dan jadual berjalan lancar, strategi dan langkah pertama yang diambilnya adalah dengan bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. bermula bulan lalu.

Kongsinya, jika sebelum ini, segala urusan berkaitan kerja dan jadual hanya diurus sendiri dengan bantuan pengurusnya tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak pengurusan.

Watak berat

Ditebak mengenai apakah watak yang paling dirindui untuk dibawakan sekembalinya dalam persada lakonan, Ummi menjelaskan, dia sudah lama mengidam dan mengimpikan untuk membawa lebih banyak watak berat seperti kebanyakan karakter yang pernah dijayakan menerusi naskhah-naskhahnya sebelum ini. Baginya, masih banyak lagi yang tersimpan dan masih belum dizahirkan sebagai seorang anak seni selain mahu terus meneroka dan mencabar tahap kemampuan diri.

“Saya memang sudah lama menantikan untuk membawa watak berat dan mencabar. Rasanya sudah lama saya tidak jayakan watak-watak sedemikian rupa.

“Sudah lama saya tidak ekspresikan diri dalam lakonan watak-watak berat dan berunsur serius. Jadi sudah tiba masanya saya berbuat demikian,” tuturnya yang kini sedang menunggu apa sahaja naskhah yang boleh menonjolkan bakatnya.

Tambah pelakon yang mula mencipta nama menerusi naskhah fenomena Nur Kasih terbitan TV3 itu, selain lakonan dia juga ada melibatkan diri dengan beberapa program termasuk Sepahtu Reunion Live selain drama radio untuk IKIM FM sempena bulan puasa.

Lebaran

Menyentuh mengenai lebaran yang bakal disambut, Ummi menyatakan dia akan meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta di Besut, Terengganu selama beberapa hari sebelum kembali bertugas di ibu kota.

Paling menarik, tahun ini juga merupakan tahun pertama suaminya akan beraya di kampung sebelah ibu dan bapa mertua.

“Memang tak sabar nak sambut raya pada tahun ini lebih-lebih lagi sudah bertiga, kalau dahulu hanya berdua. Ibu dan ayah Ummi juga tak sabar menunggu kehadiran cucu pertama lebaran nanti.

“Paling menarik, tahun ini, kami anak beranak buat pertama kalinya akan berkumpul dari generasi pertama hingga kelima yang berjumlah lebih 500 ahli keluarga,” tuturnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post