Imej Sahara Yaacob yang bertudung sewaktu pertemuan dengan Kosmo! pada Julai tahun lalu.
Selepas hampir setahun kisah duka hidup berseorangan dalam sebuah stor di Hulu Langat mendapat perhatian ramai, penyanyi popular era 1980-an, Sahara Yaacob semakin giat memeriahkan industri hiburan tanah air walaupun tindakannya membuka tudung mendapat reaksi pelbagai khalayak.
Sahara kini menetap di kediaman yang lebih selesa iaitu di Pusat Perumahan Rakyat (PPR), Seri Alam, Sungai Besi selepas dibantu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun lalu.
Wanita yang kini berusia 61 tahun itu tidak kisah andai dirinya dikecam kerana dia mempunyai pegangan hidup tersendiri.
Berkongsi kepada Kosmo! mengenai perkembangan seni terbaharunya, pelantun lagu Sahara Blues itu telah merakamkan semula lagu Tangisan Marhain milik kumpulan Wings yang diberi nafas baharu. Katanya, dia kini dalam proses mencari syarikat rakaman untuk mengedarkan lagu tersebut.
Kosmo!: Apa khabar Sahara? Bagaimanakah dengan kehidupan anda sekarang?
Sahara: Alhamdulillah. Saya sangat berterima kasih kepada semua orang yang telah membantu selama ini. Hidup saya sekarang lebih selesa. Berbeza dengan kediaman lama, di rumah baharu saya ada ruang tamu, peti ais dan kelengkapan lain yang mencukupi. Terima kasih, saya sangat terhutang budi dengan anda semua. Hanya Allah yang dapat membalasnya.
Maaf bertanya, sejak berpindah ke rumah baharu Ogos tahun lalu, tidakkah terdetik perasaan rindu terhadap persekitaran atau suasana kediaman lama?
Rindu juga. Kadang-kadang saya pergi jenguk rumah lama kerana banyak kenangan di situ. Saya belajar banyak benda selama tinggal di dalam stor.
Bagaimanakah dengan perkembangan seni terbaharu anda?
Saya akan muncul dengan lagu baharu berjudul Tangisan Marhain. Ia sebenarnya adalah lagu lama milik kumpulan Wings yang telah diberi nafas baharu. Ia sudah siap dirakamkan, cuma menunggu masa untuk diedarkan.
Buat masa sekarang, saya masih mencari syarikat rakaman yang sesuai untuk mengedarkan lagu itu. Saya akan membuat persembahan dalam Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Panggung Sari, Istana Budaya yang akan berlangsung pada 6 hingga 9 April depan.
Sementara itu, pada 29 April pula, saya akan membuat persembahan istimewa di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana. Persembahan tersebut adalah anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).
Jika Tangisan Marhain adalah lagu lama, bagaimana pula perancangan anda untuk muncul dengan single baharu?
Biarlah lagu Tangisan Marhain menjadi permulaan hubungan saya dengan peminat selepas hampir 20 tahun berhenti menyanyi. Memang saya mahu rakam lagu baharu, namun perlu mencari material yang benar-benar sesuai dengan jiwa serta cita rasa rock saya.
Maaf bertanya, sebelum ini anda bertudung tetapi apabila kembali memeriahkan industri muzik tempatan, imej tersebut telah lenyap. Apa komen anda apabila ada peminat yang tidak berpuas hati dengan perubahan imej anda sekarang?
Saya sudah lama berada dalam industri iaitu lebih 40 tahun. Saya juga sudah terbiasa membuat persembahan di atas pentas dan menjadi diri sendiri. Saya tidak suka kalau ada orang memberitahu apa yang perlu dilakukan, pakaian apa perlu dipakai dan bagaimana untuk bertindak.
Apa yang saya lakukan adalah atas dasar seni. Saya perlukan kebebasan untuk berkarya. Biarlah keimanan saya, Allah yang hakimi. Apa yang paling penting, saya sentiasa ingat pada Allah.
Apabila ada segelintir pihak mengatakan anda membelakangi agama hanya untuk kembali glamor, apa komen anda?
Saya sentiasa berpegang kepada hukum agama. Segala yang berlaku adalah kehendak-Nya. Biarlah apa orang mahu kata tentang saya. Saya terima teguran yang membina tetapi yang mengkritik atau mengutuk membuta tuli, ia tidak penting pun buat diri saya.