SIBUK - Walaupun kurang mendapat publisiti, jadual kerja Nadia sebagai pelakon sangat sibuk.
Nama Nadia Brian bukan satu nama yang mesra dalam kalangan peminat drama atau naskhah di kaca televisyen. Hakikatnya, banyak penerbit telah menggunakan khidmatnya untuk memenuhi tuntutan produk keluaran mereka. Tinggal lagi, nama Nadia lambat meledak berbanding pelakon seangkatannya.
Namun, perkara itu tidak menimbulkan kebimbangan buatnya. Apa yang penting, kata Nadia, setiap penerbit yang menggunakan khidmatnya berpuas hati dengan mutu lakonannya.
Sementelah, Nadia banyak diberi tanggungjawab menggalas karakter berat. Jadi, apa yang dititikberatkan oleh wanita berusia 26 tahun ini adalah kesan terhadap mutu lakonannya, bukan soal populariti.
Terkini, Nadia diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk menjayakan satu lagi watak berat sebagai cabaran buatnya. Memegang watak Lisandra menerusi drama bersiri Sape Dari Itali, akui Nadia, karakter tersebut memberi makna yang cukup besar buat dirinya.
Hal ini kerana, banyak perkara baharu yang dipelajari oleh bekas peragawati majalah itu sepanjang proses penggambaran, khususnya dari segi penghayatan watak.
“Watak Lisandra merupakan seorang wanita kacukan Melayu-Itali yang tidak fasih berbahasa Melayu. Buat pertama kali, saya perlu berdialog menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan baku. Pada masa yang sama, saya perlu fasih berbahasa Itali.
“Agak sukar untuk menyesuaikan diri pada mulanya. Namun, selepas mendapat bantuan daripada pengarah dan pelakon lain, saya berjaya menyudahkan penggambaran tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar drama bersiri Sape Dari Itali di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Menyambung bicara mengenai cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang membawakan watak Lisandra, Nadia berkata, perkembangan karakternya berlaku dalam situasi tidak menentu.
“Watak Lisandra tidak seperti watak-watak yang pernah saya jayakan sebelum ini. Lisandra perlu mengubah jalinan emosinya menerusi babak menangis, ketawa serta kembali berduka untuk satu tempoh masa yang singkat.
“Biarpun agak bercelaru dan memenatkan, saya berpuas hati kerana ia dapat membantu penonton untuk memahami jalan cerita yang ingin disampaikan,” katanya lagi.
Sungguhpun tempoh penggambaran drama bersiri Sape Dari Itali menuntut fokus dan perhatian yang jitu, namun ia memberi impak positif terhadap karier lakonan Nadia.
“Sepanjang tiga bulan menjalani penggambaran bagi drama ini di Terengganu, saya tidak pulang ke Kuala Lumpur. Saya banyak menghabiskan masa di sini untuk menghayati watak dan memperbaiki mutu lakonan.
“Secara tdak langsung, saya sudah terbiasa dengan rutin tersebut sehingga membuatkan saya mengikut proses yang sama untuk projek drama seterusnya,” katanya.
Sape
BERGANDING - Pertama kali berganding dengan Shafie Naswip, Nadia memuji kredibiliti lakonan aktor tersebut.
Beralih pada perihal penggunaan Sape, iaitu alat muzik dari Sarawak sebagai subjek utama dalam drama arahan Hazali Ramli itu, Nadia berkata, alat muzik bertali tersebut merupakan penggerak utama terhadap jalan cerita lakonannya.
“Watak Lisandra berkait rapat dengan alat muzik Sape. Dia pulang ke Malaysia untuk mencari ayah kandung seperti yang telah diwasiatkan oleh ibunya.
“Menerusi alat muzik tersebut, timbul pula plot-plot kecil yang akhirnya akan merangkumkan setiap konflik menjadi sebuah pengakhiran yang sempurna,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) itu.
Namun tegas Nadia, tidak mudah untuk menjayakan babak yang memerlukannya untuk bermain Sape.
“Secara jujur, tangan saya tidak lembut seperti individu yang dilahirkan berbakat dalam bidang muzik.
“Jadi, saya perlu belajar bermain Sape selama seminggu semata-mata untuk tampil selari dengan muzik latar. Biarpun sekadar lakonan, saya mahu visual petikan Sape yang ditayangkan kelak kelihatan menyenangkan,” katanya lagi.
Bantuan
Menumpahkan komitmen yang tinggi terhadap naskhah ini, Nadia turut menamakan beberapa individu yang banyak membantu sepanjang dia meneroka sisi berbezanya sebagai pelakon.
“Ketika mendapat skrip, saya terus menghubungi pengarah dan pelakon Erma Fatima untuk meminta pandangannya. Sebagai figura pertama yang mempercayai bakat lakonan saya, banyak nasihat yang diberikan.
“Selain mengelaskan Sape Dari Itali sebagai naskhah berkualiti, beliau turut menasihati saya supaya fokus dan melakukan yang terbaik menerusi naskhah ini,” katanya yang pertama kali melakar nama sebagai pelakon pada tahun 2015 menerusi drama arahan Erma berjudul Akulah Balqis.
Dalam pada itu, Nadia juga mengagumi bakat yang ada pada pelakon Shafie Naswip yang bergandingan dengannya menerusi Sape Dari Itali sebagai tonggak utama bernama Zamani.
“Tidak timbul perasaan kekok walaupun kami pertama kali bergandingan.
“Tambahan pula, saya sangat mengagumi Shafie kerana kejayaan yang pernah ditempa sebelum ini,” katanya sambil tersenyum.
Turut menampilkan Beego, Zaynn Min, Shakila Khoriri dan Julia Ziegler, Sape Dari Itali disiarkan mulai 23 Mac lalu pukul 9 malam di TV2.
Berat
Sejak membintangi drama Akulah Balqis, portfolio Nadia dalam bidang lakonan dilihat berkembang dalam skala yang membanggakan.
Bagaimanapun, kebanyakan naskhah lanjutan yang diterima selepas debut seninya bergerak dalam paksi yang serupa dengan meletakkan Nadia sebagai pelakon drama berunsur berat.
Selain sedang menjalani penggambaran telefilem Haluan yang memperlihatkan dirinya memegang watak sebagai wanita gelandangan, Nadia juga baru menyudahkan penggambaran sebuah lagi naskhah berat berjudul Baiturahmat.
Tidak meletakkan sasaran dalam bidang seni, Nadia yang pernah membintangi teater Mak Cun D’Walei terbuka untuk melakonkan sebarang watak dan genre drama pada masa akan datang.
“Sebagai pelakon baharu yang perlu banyak belajar, saya bersikap terbuka dan tidak kisah untuk membawakan sebarang watak.
“Tambahan pula, ia merupakan punca rezeki utama buat masa ini, jadi saya tidak boleh memilih dan bersikap selektif,” katanya mengakhiri perbualan.