Shikin Gomez dan Alicia Amin mewakili Malaysia menerusi pertandingan Asia's Next Top Model 5.
Dua peserta yang mewakili Malaysia menerusi Asia's Next Top Model 5 (AsNTM5) iaitu Alicia Amin dan Shikin Gomez sentiasa bersikap positif walaupun ada pihak memandang negatif terhadap penyertaan mereka dalam program itu.
Alicia, 22, dan Shikin, 24, berkata, walaupun musim terbaharu itu belum bermula namun mereka mula mendapat kritikan netizen di laman sosial dan forum internet.
"Jujurnya saya memang tidak baca sebarang komen negatif di internet kerana tidak mahu kata-kata orang memberi kesan kepada saya.
"Paling penting adalah saya sentiasa positif dan fokus kepada pertandingan kerana ia AsNTM adalah peluang kami mengembangkan karier peragaan ke peringkat antarabangsa," kata Alicia.
Kedua-dua mereka ditemui pada sidang media pelancaran musim terbaharu program itu yang diadakan Hotel Sunway Resort & Spa di sini, Rabu.
14 peserta dari seluruh Asia bakal berentap merebut gelaran juara Asia's Next Top Model 5.
Selain Alicia dan Shikin, musim terbaharu ini turut menampilkan 12 lagi peserta iaitu ciara Tan, pasangan kembar, Valerie Krasna dan Veronika Krasna (Indonesia), Anjelica Santillan, Jennica Sanchez, Maureen Wroblewitz (Filipina).
Mewakili Singapura, Layla Ong dan R. Nametha manakala Dorothy Petzold dan Heidi Grods (Thailand) selain Minh Tu Nguyen (Vietnam) dan Cindy Chen (Taiwan).
AsNTM5 bakal dihoskan oleh supermodel Cindy Bishop yang juga bertindak sebagai ketua juri bagi mengadili semua peserta.
Manakala Yu Tsai sebagai pengarah kreatif, Cara G Mcllroy (mentor model) dan Pia Wurtzbach (juri jemputan).
AsNTM5 bakal bersiaran pada setiap Rabu bermula 5 April, 9 malam di saluran StarWorld (Astro 711 dan 722).
Dalam pada itu, Shikin berkata, mereka yakin pengalaman dalam bidang peragaan sebelum ini dapat memberi tambah nilai kepada mereka untuk berentap merebut gelaran juara AsNTM5.
Cindy Bishop (dua dari kiri) bertindak sebagai hos dan ketua juri bersama Yu Tsai (kiri), Cara G Mcllroy dan Pia Wurtzbach (kanan).
Pengalamannya itu juga diharap akan memberi saingan kepada peserta lain selain menyerlahkan kredibiliti sepanjang pertandingan.
"Menjadi 14 peserta terbaik adalah satu pencapaian besar kerana bukan mudah untuk mendapat tempat memandangkan ramai bakat daripada seluruh Asia.
"Kami juga yakin pengalaman sebelum ini dapat memberi tambah nilai dan saingan kepada peserta lain untuk merebut gelaran juara AsNTM5," katanya.
Bagaimanapun kata Shikin, itu bukan bererti mereka boleh mendabik dada sebaliknya masih perlu berusaha bagi memastikan kemunculan mereka sentiasa konsisten.
Sementara itu, Shikin dan Alicia berkata, mereka juga ada merancang untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan, nyanyian atau pun pengacaraan sekiranya mempunyai peluang selepas AsNTM5 berakhir.