Syafie Naswip akui selalu bergaduh dengan tunang




Syafie Naswip anggap pergaduhan kecil dengan pasangan adalah sebahagian daripada proses untuk saling mengenal hati budi.

Kata orang, fasa bertunang adalah fasa paling mencabar sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Perkara itu diakui pelakon, Syafie Naswip yang mengikat tali pertunangan dengan pelakon Aishah Azman awal April lalu.

Kata Syafie atau nama sebenarnya, Mohd. Shafie Naswip, 27, sering juga berlaku pertelingkahan antara dirinya dan Aishah, namun situasi tersebut sebenarnya semakin menguatkan perhubungan mereka.

Ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran program raya Astro di ibu negara baru-baru ini, pelakon filem Mukhsin itu sudah bersedia jika niatnya untuk memperisterikan Aishah dipermudahkan dan jika mengikut asal, mereka akan mengikat perkahwinan pada hujung tahun ini.

Orang kata, fasa pertunangan adalah sesuatu yang mencabar, bagaimana dengan anda dengan Aishah?

SYAFIE NASWIP: Perkara itu memang betul. Cuma dalam hubungan saya dan Aishah, apa yang boleh kami lakukan adalah sentiasa kuat berdepan dengan sebarang dugaan.

Kalau ada salah faham, jangan disimpan dalam hati. Luahkan sahaja kerana bagi saya, kejujuran amat penting dalam sesebuah perhubungan.

Sehingga kini, apa perbezaan yang dirasai anda tentang status bujang dan kini sudah menjadi tunangan orang?

Bagi saya, sama sahaja. Cuma sekarang, saya sedang dalam proses untuk lebih mengenali dan mendalami hati Aishah. Alhamdulillah, semakin hari semakin saya menjadi lebih mengenali dirinya.

Apa cabaran terbesar yang pernah anda hadapi setakat ini sepanjang menggalas perangan sebagai tunangan orang?

Setakat ini semua baik-baik sahaja. Sebelum bertunang lagi, kami sudah sedia maklum bahawa selepas ini kami lebih peka tentang batas-batas pergaulan kerana insya-Allah selepas ini kami akan menjadi suami isteri.

Saya beruntung kerana tunangan saya juga bekerja dalam industri yang sama. Jadi, kami sudah faham jadual dan cara kerja masing-masing.

Sejujurnya, anda dan Aishah selalu bergaduh atau tidak? Kalau ya, kebiasaannya berkenaan apa?

Bergaduh itu normal. Bagi saya, bergaduh lagi mengeratkan hubungan (ketawa). Apa pun, sebagai orang dewasa, kita perlu menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dengan cara yang baik. Seperti yang saya katakan tadi, kalau timbul rasa tidak puas hati, jangan simpan dalam hati. Luahkan dan berbincang dengan cara baik. Saya dan Aishah satu hari gaduh kadang-kadang sampai dua tiga kali. Selalu bergaduh pasal hal remeh sahaja dan sekejap sahaja berbaik semula.

Bagaimana persiapan raya setakat ini?

Persiapan raya biasa-biasa sahaja sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Baju raya pun pakai apa yang ada. Kalau cakap pasal raya, perkara yang paling saya teruja semestinya juadah. Juadah istimewa yang akan saya sediakan setiap tahun ialah lontong goreng tomyam dan rendang ayam Minang. Ibu saya yang akan memasak juadah paling popular dalam kalangan saudara-mara kami iaitu rendang tok dan asam pedas Minang.

Post a Comment

Previous Post Next Post