Nabila Razali aktif lakukan kebajikan




Jika dihitung, anak seni yang menggunakan nama pentas sebagai Nabila Razali ini acap kali menjadi mangsa kecaman netizen.

Setiap kali melakukan persembahan secara live, pasti ada sahaja mulut-mulut yang mempertikaikan kredibiliti vokalnya sebagai seorang penyanyi malah dikatakan sumbang.

Bukan mahu menidakkan apa yang diperkatakan netizen, namun cemuhan yang diungkapkan kadangkala mampu mencengkam rasa.

“Memang betul. Kadangkala, ada kesilapan ketika melakukan persembahan di beberapa buah acara.

“Namun, apabila terlampau banyak kali orang bercakap perihal sama, saya rasa orang itu sengaja mencari kesalahan seseorang,” tegasnya yang berharap agar orang di luar sana jangan suka mencari salah orang sahaja.

Bagaimanapun, menurut gadis berusia 27 tahun ini, dia masih lagi mengambil berat apa pandangan orang terhadap dirinya kerana baginya pandangan orang ramai penting dalam meningkatkan kariernya sebagai penghibur. Begitu pun, janganlah memberi komen dengan menggunakan kata-kata kesat dan melibatkan keluarga.

Tambahnya lagi, dia sentiasa cuba belajar dan memperbaiki kesilapan diri dari semasa ke semasa, bahkan jauh sekali untuk berasa selesa dengan apa yang dikecapinya kini.

Duet

Menyoroti karier gadis kelahiran program realiti, Akademi Fantasia 2013 ini, pengikut industri muzik tempatan mengenalinya dengan penyanyi yang membawakan lagu berentak happy pop seperti Cemburu, Pematah Hati dan yang terbaru, Vroom Vroom. Bahkan, genre berkenaan boleh dikatakan cerminan bagi identiti Nabila.

Bagaimanapun, kata Nabila yang turut merupakan pelakon drama Lelaki Kelas Sebelah ini, keinginan untuk mencuba genre lain seperti balada sentiasa ada namun buat masa sekarang, dia tahu kemampuan vokalnya.

“Buat masa sekarang, saya tahu kemampuan vokal saya dan ia lebih kepada happy pop seperti single-single saya sebelum ini.

“Sebenarnya, saya ada menerima beberapa demo lagu yang bergenre balada. Bukan saya tidak mahu terima tetapi dalam pemilihan lagu, kita perlu memilih lagu yang kena dengan kemampuan kita selain dapat melonjakkan nama,” tuturnya.

Dalam pada itu, kongsi Nabila, dia turut mempunyai sasaran sendiri yang mana mahu mengeluarkan sebuah lagi lagu pada tahun ini.

“Untuk tahun ini, kita baru sahaja melancarkan Vroom Vroom. Insya-Allah, sebelum tahun ini berakhir, jika ada rezeki dan tiada aral melintang, mungkin saya akan keluarkan satu lagi single ataupun duet. Namun, ia masih lagi dalam perancangan.

Skarf

Tak lengkap rasanya sesi fotografi jika tidak bertanyakan mengenai cinta baharu gadis cantik ini.

Bukan hubungan cinta dengan jejaka sebaliknya cinta baharu itu membabitkan bisnes tudung miliknya yang diberikan nama Nabaela Scarf.

“Beberapa tahun dalam industri, kebanyakan orang akan tanya, di mana saya beli tudung? Suka tengok gaya tudung saya dan bermacam-macam lagi pertanyaan. Semuanya pasal tudung.

“Bagi saya, itu adalah satu hint untuk saya keluarkan tudung jenama sendiri. Jujurnya, tudung Nabaela Scarf tidak panas, bahkan mudah dibentuk,” kongsinya.

Seperti jenama-jenama tudung lain, menurut Bella, Nabaela Scarf juga bakal mengeluarkan koleksi sempena raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Nabila menerbangkan harapan agar bisnes tudungnya berjaya dan terus mendapat tempat dalam kalangan wanita dan pencinta tudung.

Ramadan

Jika segelintir anak seni cuba memperlahankan aktiviti seni sebagai menghormati bulan Ramadan.

Berbeza pula dengan Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd. Razali. Untuk hal ini, Nabila memberikan pandangannya tersendiri.

“Saya tak rasa bulan Ramadan adalah masa untuk kurangkan aktiviti seni kerana yang sebenarnya, Ramadan adalah waktu untuk tingkatkan amal ibadah. Bukannya mengurangkan aktiviti amal kebajikan.

“Bagi saya, bulan puasa, kita kena mendidik orang di luar sana supaya berpuasa sambil membuat kebaikan. Mungkin sesetengah individu terlupa kerana sibuk bekerja. Jadi, kami sebagai public figure kena selalu melakukan aktiviti kebajikan, sekali gus ia boleh dijadikan contoh kepada netizen,” ujarnya.

Untuk itu, kongsi Nabila, seperti sebelum ini, dia turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan seumpamanya, termasuklah dijemput untuk menceriakan kanak-kanak di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya, berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan beberapa lagi aktiviti kebajikan lain.

Post a Comment

Previous Post Next Post