Miss Shu Sebati dengan lakonan




Memulakan karier sebagai model, pendatang baharu Noorshuhada Mohd Nasir atau nama pentasnya, Miss Shu tidak menyangka akan terbabit dalam bidang lakonan.

Miss Shu, 24, berkata, lakonan bukanlah minat asalnya, namun selepas terbabit dia mengakui ia pengalaman yang susah dan mencabar tetapi seronok.

“Saya memulakan karier sebagai model dan pada 2015 mula mencuba bidang lakonan pula,” katanya.

Miss Shu berkata, apa yang membuatkannya rasa mencabar ialah lakonan memerlukan penghayatan terhadap setiap watak yang diberikan.

“Selain perlu fokus dengan watak yang diberikan, kadang-kadang menunggu juga adalah satu cabaran dalam lakonan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengalah kerana lama-kelamaan lakonan sudah sebati dalam jiwa. Malah, bidang peragaan dan lakonan kini menjadi dua kerjaya tetap saya,” katanya.

Mula berlakon menerusi drama Syurgaku Tak Sempurna, Miss Shu bakal muncul dengan filem pertamanya tidak lama lagi.

Walaupun belum dapat memberikan butiran sepenuhnya mengenai filem berkenaan, Miss Shu akui teruja.

“Saya teruja kerana selepas lama berlakon di TV, kini saya bakal ke layar perak pula. Watak yang diberikan juga berlainan daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Walaupun saya tahu filem mungkin tidak dapat menaikkan nama saya tetapi kualiti yang dihasilkan mampu memberikan kepuasan kepada pelakon seperti saya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post