Alif Satar Teruja impian zaman kanak-kanak tercapai




Raihan dan Alif Satar

Penyanyi dan pelakon, Alif Satar, 29, meluahkan rasa teruja apabila diberikan peluang berduet dengan kumpulan nasyid terkenal era 90-an, Raihan menerusi lagu berjudul Sesungguhnya ‘19.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar berkata, impian untuk bekerjasama dengan kumpulan tersebut sebenarnya sudah lama diimpikan iaitu sekitar usianya tujuh tahun.

“Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kerana impian saya untuk berduet dengan kumpulan nasyid nombor satu negara, Raihan dikabulkan dan dipermudahkanNya.

“Saya memang minat lagu-lagu kumpulan Raihan sejak zaman kanak-kanak lagi. Saya merasakan kerjasama yang diberikan ini sebagai satu peluang keemasan yang telah lama saya nanti dan idamkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

Menurut Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31 itu, perancangan kerjasama mereka juga cukup dipermudahkan dan mendapat kerjasama yang amat baik daripada pelbagai pihak.

“Kerjasama untuk berduet bermula dengan pelawaan spontan saya kepada ahli kumpulan tersebut akhir tahun lalu dan tidak menyangka ia disambut baik.

“Syukur semuanya dipermudahkan. Raihan sendiri menyatakan persetujuan untuk berduet selain disambut baik pihak syarikat rakaman. Jumaat lalu (10 Mei), lagu yang dirakamkan dan diberi nafas baharu itu telah dilancarkan sempena kehadiran Ramadan kali ini. Alhamdulillah sambutan daripada pendengar dan peminat juga amat menggalakkan,” ujarnya yang mengakui lagu Sesungguhnya merupakan antara lagu dendangan kumpulan tersebut yang paling digemarinya.

Dalam perkembangan lain, Alif memberitahu, dia bakal mengadaan persembahan amal bagi mengutip dana untuk Pertubuhan Komited Malaysia pada 17 Mei nanti di Bara Ombak Marina, Putrajaya yang turut akan diserikan dengan kehadiran kumpulan Raihan selain persembahan bersama buat pertama kali menerusi lagu tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post