Keluarga Farid Kamil tidak putus harapan




Pelakon dan penerbit, Fadzil Zahari yang juga adik kepada Datuk Farid Kamil tidak putus harapan agar Farid dapat dibebaskan dari penjara untuk menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga.

Fadzil atau nama sebenarnya, Fadzil Bahri Zahari, 36, berkata, mereka sekeluarga yang masih dalam keadaan terkejut dengan keputusan mahkamah pada 15 Mei lalu untuk penjarakan pelakon itu selama sembilan bulan.

Menurut Fadzil, peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom sedang melakukan yang terbaik untuk membebas atau menangguhkan hukuman terhadap pelakon dan pengarah itu.

"Ibu bapa amat bersedih dengan berita ini, bagaimanapun, mereka sentiasa berdoa supaya ada keajaiban berlaku dalam tempoh kurang dua minggu sambutan Hari Raya.

"Terdapat juga dalam kalangan keluarga dan kenalan terdekat yang turut menganjurkan solat hajat," kata Fadzil kepada Kosmo! Online.

Mengulas mengenai keadaan pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari, 38, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Fadzil berkata, abangnya kelihatan reda dan tenang.

"Saya telah melawat Farid. Alhamdulillah, dia lebih tenang dan kuat berdepan dengan dugaan ini berbanding kali pertama dimasukkan ke lokap dulu," kongsinya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan dan berada bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun kerana menggunakan dadah jenis ganja pada Januari tahun lalu.

Majistret Nor Arriffin Hisham turut memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara serta-merta pada 15 Mei lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post