Harapan raya bujang terakhir Farah Nabilah




Farah berharap Aidilfitri tahun ini merupakan yang terakhir buatnya sebagai wanita bujang.

Bakal menyambut Aidilfitri di Kelantan, pelakon Farah Nabilah sudah bersedia untuk menjawab segala persoalan berkenaan jodoh yang akan dilemparkan oleh saudara mara nanti.

Meskipun enggan terlalu memikirkan soal jodoh, namun pelakon drama Halalkan Hati Yang Ku Curi itu berharap Aidilfitri kali ini merupakan yang terakhir buatnya sebagai wanita bujang.

Selain itu, Farah atau nama sebenarnya, Farah Nabilah Saipuddin, 27, turut berkongsi kebimbangannya soal pemberian duit raya apabila pulang ke kampung halaman.

Menurut Farah, orang ramai meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat duit raya yang lebih daripadanya hanya kerana statusnya sebagai seorang selebriti.

Apakah perkembangan kerjaya lakonan terbaharu anda?

FARAH NABILAH: Buat masa sekarang, saya sedang sibuk menjalani penggambaran untuk slot Akasia TV3 berjudul Kau Yang Pertama.

Dalam drama tersebut, saya sekali lagi bergandingan dengan Fikry Ibrahim. Insya-Allah drama Kau Yang Pertama akan ditayangkan pada Ogos nanti.

Bagaimanakah pengalaman bekerja di set penggambaran pada bulan puasa?

Setakat ini, semuanya okey. Saya masih berpeluang berbuka puasa di rumah bersama keluarga meskipun kebanyakan masanya berbuka di set penggambaran.

Jika perlu berbuka di set penggambaran, saya akan bawa kurma sendiri. Namun, jauh di sudut hati terasa sedih kerana tidak dapat merasa masakan air tangan ibu.

Bagaimana persiapan raya anda setakat ini?

Saya sudah memohon cuti awal seminggu kerana pada tahun ini saya akan beraya di kampung halaman iaitu di Bachok, Kelantan. Memang teruja kerana tahun lepas kami sekeluarga beraya di Kuala Lumpur sahaja. Memang bosan kerana perasaan dan suasana beraya di bandar berbanding kampung tidak sama.

Paling membuatkan saya tidak sabar untuk pulang ke Kelantan adalah aneka juadahnya seperti nasi dagang dan ketupat palas. Jika di bandar sukar untuk jumpa juadah Kelantan yang benar-benar sedap.

Mengapa anda tidak beraya di Kelantan pada tahun lalu?

Sebenarnya saya sengaja ingin tukar angin kerana tahun-tahun sebelumnya memang tidak pernah ketinggalan untuk pulang beraya di kampung. Menyesal saya beraya di Kuala Lumpur (ketawa).

Sudahkah anda bersedia dengan soalan tentang jodoh oleh saudara-mara di kampung?

Insya-Allah. Saya tenang sahaja. Sudah tentu soalan itu akan muncul, tetapi zaman sekarang ramai sahaja wanita yang sudah berusia 30 tahun dan masih belum berkahwin. Soalan seperti itu tidak memberi kesan kepada saya sangat.

Namun, yang paling membimbangkan adalah orang mengharapkan duit raya lebih daripada saya. Terdapat segelintir orang tanpa segan silu membuka sampul duit raya di depan saya. Oleh yang demikian untuk tahun ini, saya asingkan RM3,000 untuk duit raya.

Apakah pengalaman raya yang paling tidak boleh anda lupakan?

Saya rindu arwah nenek. Teringat masa dahulu setiap kali sebelum raya, dia akan bawa beli barang kemas.

Dia juga orang yang bawa saya tindik telinga. Sekarang momen itu menjadi memori yang kekal segar dalam ingatan dan sehingga kini, saya masih merasai kehilangannya.

Apakah harapan atau istimewanya Aidifitri kali ini buat anda?

Istimewa sebab dapat pulang ke Kelantan berkumpul dengan saudara-mara. Setahun sekali suasana seperti ini akan berlaku. Diharap juga tahun ini menjadi sambutan raya terakhir saya sebagai wanita bujang. Doakan yang terbaik buat saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post