Uyaina Arshad tangguh bedah jantung




Secara luaran, dia tampak sihat. Melihat senyuman manis yang terukir di bibir Uyaina Arshad, tiada siapa menyangka bahawa si cantik itu sedang diduga masalah kesihatan pada usia yang masih muda.

Sekitar Mac lalu, pelakon dan pengacara berusia 27 tahun disahkan menghidap penyakit komplikasi jantung takikardia supraventrikel (SVT) dan injap jantung.

SVT ialah ritma jantung yang luar biasa cepat ekoran aktiviti elektrik yang tidak betul di bahagian atas jantung.

Reda dengan ketentuan Ilahi, Uyaina atau nama sebenarnya, Shaidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, dia harus mengutamakan penjagaan kesihatan melalui pemakanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Doktor beritahu, saya perlu mengawal pemakanan. Ada sesetengah makanan tidak boleh makan. Saya dilarang minum air kopi kerana akan menyebabkan kadar degupan jantung bertambah laju.

“Saya perlu bersenam untuk memastikan kadar degupan jantung berada pada paras normal,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran tayangan perdana program raya Astro di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya sama ada doktor mengesyorkan pembedahan untuk mengubati komplikasi jantung yang dihidapi, jawab Uyaina: “Buat masa sekarang, doktor mahu menangguh pembedahan selagi boleh. Kalau pun ada pembedahan dilakukan, itu untuk memulihkan injap jantung berlebihan yang saya miliki. Orang normal ada tiga, tetapi saya ada empat.

“Jika pembedahan dilakukan, jantung ‘baharu’ itu hanya akan bertahan untuk tempoh antara 20 hingga 30 tahun. Bermakna, pada usia 50 tahun kelak, saya mungkin perlu menjalani pembedahan sekali lagi.

“Jadi, buat masa sekarang, saya kena bertahan dengan ubat-ubatan. Makan pada masa yang ditetapkan. Insya-Allah, kalau saya sudah bersedia, saya akan menjalani proses pembedahan.”

Menceritakan tentang detik sebelum disahkan mempunyai komplikasi jantung, ujar Uyaina, dia dimaklumkan penyakit berkenaan ketika mendapatkan rawatan pada 11 Mac lalu selepas sedar daripada pengsan di rumah.

“Ketika pemeriksaan di klinik, jantung saya mencatat lebih 200 denyutan per minit. Degupan jantung manusia normal sekitar 90 hingga 200 per minit. Kemudian, apabila pulang ke rumah, tubuh badan menjadi pucat dan berpeluh secara tiba-tiba sebelum pengsan lagi.

“Saya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan saya mengalami komplikasi jantung yang agak serius. Memang terkejut dan tidak menjangka sama sekali.

Semakin diterima

“Apatah lagi, sebelum itu memang saya tiada sebarang tanda tentang penyakit yang dihidap memandangkan saya jenis aktif. Namun arwah datuk sebelah mak juga meninggal disebabkan penyakit jantung. Saya sedih dan asyik fikir soal mati saja,” katanya.

Ketika bertemu doktor, pelbagai perkara yang bermain dalam fikirannya kerana amat khuatir dengan status kesihatan.

“Doktor tanya saya, sama ada pernah ambil dadah atau minum minuman keras sebaik sahaja memberitahu saya mempunyai masalah jantung.

“Sejujurnya, apabila sesak nafas dan badan berpeluh, saya syak memang ada sesuatu yang tidak kena dengan badan saya. Saya takut kalau dibiarkan, injap jantung akan bocor dan keadaan semakin teruk,” terang Uyaina.

Disuakan pertanyaan, bagaimana kerjaya seninya sebagai pelakon memberi impak terhadap kesihatan jantungnya, jawab Uyaina: “Doktor kata saya tidak boleh terlalu tertekan. Biarpun jadual lakonan tidak menentu dan sibuk, saya gembira melakukannya.

“Kadang-kadang risau juga ingin melakonkan watak yang memerlukan saya untuk bermain dengan jiwa rentan. Bagaimanapun, buat masa sekarang semua okey. Alhamdulillah.”

Emosi

Berbicara tentang kerjaya lakonannya yang semakin mewangi, Uyaina bersyukur walaupun berdepan dengan masalah kesihatan, kudratnya masih boleh digunakan untuk mencari rezeki.

“Semuanya bertitik tolak daripada peluang membintangi drama Lelaki Kiriman Tuhan. Saya memegang watak sebagai Maryam.

“Pertama kali berlakon, Alhamdulillah saya mendapat respons yang baik daripada penonton,” katanya.

Kemudian, Uyaina terus mencuri tumpuan apabila memainkan peranan sebagai Fariza dalam drama yang sedang hangat ditayangkan di Astro Ria berjudul Curi Curi Cinta.

Kata Uyaina, watak Fariza memerlukan penghayatan emosi yang lebih mendalam berbanding watak lain yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Banyak adegan menangis. Sebagai pelakon baharu , untuk tukar ‘suis’ daripada gembira menjadi sedih, sangat mencabar.

“Mujur saya mendapat banyak tunjuk ajar daripada pelakon senior seperti Fauziah Nawi. Sebelum turun ke set penggambaran, saya sempat mengikuti kelas lakonan bersama beliau sebanyak tiga kali,” katanya

Bukan sahaja di Malaysia, Uyaina juga giat membina nama di negara jiran, Indonesia. Di sana, dia terlibat dengan penggambaran sinetron Pintu Berkah Ramadan dan tugas pengacaraan program Akademi Sahur Indonesia

“Hari terakhir puasa baru saya akan pulang ke Malaysia. Alhamdulillah rezeki tidak putus. Bulan Jun nanti saya rancang mahu bercuti dan berehat selama sebulan dan fokus sebagai pengacara sambilan Wanita Hari Ini (WHI) sahaja,” tutur Uyaina menggulung bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post