Sharifah Shahirah mahu hijab hati, mulut dahulu




Sering ditebak soalan berkaitan aurat dan kesediaan untuk berhijab, penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah tidak melenting tatkala diajukan soalan sedemikian.

Tambahan pula, menerusi laman Instagramnya, personaliti berusia 45 tahun yang mesra disapa Shiera itu kerap berkongsi gambar dirinya mengenakan lilitan turban sehingga ramai beranggapan dia dalam proses mengenakan hijab.

Sekadar tersenyum dan berlapang dada dengan pendapat umum, Shiera mengakui, jauh dalam sudut hati dia ingin ke arah itu.

Namun ujarnya, selain fokus terhadap hijab pada bahagian kepala semata-mata, dia lebih selesa mengenakan ‘hijab’ pada hati dan mulutnya terlebih dahulu.

Selain berkongsi tentang kisah hijab, Shiera turut menjawab dakwaan netizen, kononnya dialah dalang di sebalik akaun Instagram gosip @makcik_puaka yang kini berdepan saman oleh aktor Fizz Fairuz.

Sheira, apakah projek terkini anda selain sibuk sebagai penyampai radio?

SHARIFAH SHAHIRAH: Saya banyak terlibat dengan rakaman iklan untuk YouTube. Kerjaya saya pada masa kini hanya sebagai penyampai radio di Suria FM.

Jujurnya, saya tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti lain kerana fokus terhadap tanggungjawab sebagai penyampai radio.

Adakah anda tidak menerima sebarang tawaran lain?

Tak baik (selorohnya). Tawaran memang banyak terutama lakonan. Saya juga rindu untuk berlakon tetapi berlakon menuntut masa dalam tempoh yang panjang.

Kadangkala tawaran berlakon daripada kalangan kenalan rapat pun terpaksa saya tolak. Jika ada kelapangan, insya-Allah.

Adakah anda sedang dalam proses mengenakan hijab berikutan perkongsian kiriman Instagram beberapa keping gambar mengenakan turban dan berselendang?

(Ketawa) Itu sebenarnya menjadi kebiasaan saya ketika berada dalam konti kerana saya mudah terkena serangan sakit kepala.

Tiada apa yang pelik dengan tindakan saya melilit kepala sama ada mengenakan turban atau skarf. Masuk masjid pun saya berselendang.

Adakah anda tidak mempunyai impian untuk berhijab?

Isu agama dan politik antara dua perkara yang sukar untuk saya ulas kerana tugas saya di sini sebagai seorang penghibur.

Saya yakin Allah lebih tahu isi hati kita. Keinginan itu ada, apatah lagi semakin berumur, hati akan tergerak sendiri untuk menutup aurat sepenuhnya.

Mengapa anda tidak mulakan dengan memakai hijab kemudian diikuti perkara baik yang lain sebagai muslim?

Saya dahulukan belajar untuk menutup hati daripada mengeluarkan cerita aib mengenai orang lain dan mengumpat mengenai keburukan orang lain, kemudian baharulah menutup kepala.

Saya masih dalam proses belajar. Apa guna saya tutup kepala tetapi fizikal masih mengghairahkan.

Adakah suami, Ijoy Azhari tidak pernah memberikan anda saranan untuk berhijab?

Kami lebih fokus untuk memperbetulkan solat lima waktu kerana itu lebih penting sebagai hamba-Nya.

Dalam solat pun kadangkala banyak tajwid yang tidak betul. Biar saya memperbaiki asas sebelum ke peringkat seterusnya.

Apakah pesanan anda kepada khalayak yang mempertikaikan penampilan anda tidak seiring usia?

Saya faham orang nampak saya seperti jahat. Sebelum nak mengata keburukan orang, bersihkan diri dan rumah sendiri dahulu.

Belajar tutup hati daripada bercerita buruk mengenai hal orang lain.

Kita buat baik, biar Allah sahaja yang tahu, tidak perlu berkongsi sana sini.

Gara-gara komen netizen, ramai mengaitkan anda sebagai pemilik Instagram 
@makcik_puaka. Adakah benar dakwaan tersebut?

Boleh saya gelak dahulu? Saya sendiri pernah menjadi mangsa dalam akaun berkenaan. Saya hanya menjadi ‘makcikpuaka’ ketika dalam konti menerusi slot petang Suria FM. Itu fitnah dan tidak mungkin. Alhamdulillah dapat pahala lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post