Ada sesuatu yang cukup unik tentang kualiti vokal penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz. Kualiti tersebut jarang-jarang wujud dalam diri kebanyakan penyanyi wanita generasi sekarang yang seperti memburu ruang untuk mengecap bahang populariti.
Listrik vokal Aisyah atau nama sebenarnya, Nur Aishah Aziz, 24, kaya dengan elemen kontemporari dan bersifat klasikal lalu menjadikan dirinya sebagai antara penyanyi wanita tempatan yang wajar diberikan perhatian secukupnya.
Usai program realiti, Akademi Fantasia musim ke-10 pada tahun 2013, wanita ini terus mengorak langkah di persada seni suara Malaysia. Namun sayang seribu kali sayang, entah di mana silapnya, populariti Aisyah agak terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan seperjuangan yang lebih mentah usia daripadanya.
Situasi sebegitu bagaimanapun bukan bertujuan untuk menidakkan kualiti bakat yang ada pada dirinya. Aisyah sendiri cukup sedar, muziknya sukar diterima umum.
“Saya tahu corak lagu dan nada vokal saya. Pada tahap sekarang, saya sedar bukan semua orang boleh terima apa yang saya tonjolkan dalam industri,” katanya ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen, LazAda Style di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur baru-baru ini.
Impian AJL Bila Entah
Ulas Aisyah lagi, dia tidak mahu terlalu merunsingkan soal populariti asalkan dapat terus berkarya dan berkongsi bakat nyanyian dengan khayalak.
“Enam tahun dalam industri, sejujurnya saya sudah semakin boleh hadam bahawa muzik yang ingin saya sampaikan sukar diterima umum.
“Senang cerita, kalau orang ingin atau tidak mahu dengar lagu saya, saya sudah tiada masalah untuk tidur atau rasa tertekan,” ujar pelantun lagu Mimpi itu.
Terus membuktikan kualiti karya seni dengan lagu Bila Entah ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Aisyah berkata, lagu terbaharunya itu sudah memasuki senarai pencalonan baharu carta Muzik-Muzik 34.
“Bila Entah sudah masuk pencalonan Muzik-Muzik 34. Saya berharap lagu ini terus mara sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) kerana kualiti lagu ciptaan Hael dan Ezra sangat bagus.
“Kalau ditanya boleh ke saya masuk AJL sedangkan saya orang Singapura, jawapannya boleh kerana lagu ini ciptaan komposer dari Malaysia.
“Kalau dipersoalkan bahawa orang Singapura tidak patut dibenarkan bertanding atau melakukan persembahan dalam AJL, saya ingin mengatakan, ini bukan soal orang Singapura atau Malaysia, saya orang Melayu dan dua negara ini sudah seperti adik-beradik,” getusnya.
Pandangan seksi
Bercakap tentang klip video Bila Entah yang ‘kurang lebat’ dari segi jumlah tontonan dan menonjolkan penampilan seksinya, Aisyah mempunyai pandangan tersendiri.
“Lagu Bila Entah masih dalam fasa promosi. Dalam YouTube pun jumlah tontonan sudah mencecah dua juta. Saya kira, itu pencapaian yang memberangsangkan untuk artis seperti saya.
“Tentang penampilan terlalu seksi dalam klip video, saya rasa khalayak sudah kenal keperibadian saya. Tidak bermakna saya tunjuk ‘kulit’ sedikit, saya perempuan murahan. Tetapi kalau orang boleh sewenang-wenangnya fikir begitu, itu urusan mereka.
“Saya tidak berada di posisi untuk membuktikan sesuatu yang bukan saya dan memuaskan hati semua orang,” katanya.
Disuakan pertanyaan tentang perbezaan penerimaan peminat di Malaysia dan Singapura berkaitan imej berani dan seksinya, Aisyah tidak menafikan ada jurang yang jelas.
“Saya faham majoriti orang Malaysia adalah muslim dan disebabkan itu mereka berfikiran sebegitu apabila melibatkan isu pemakaian dan sebagainya.
“Maaf cakap, ramai orang sangat takut dengan perkara yang mereka tidak tahu. Dengan melemparkan tohmahan bertubi-tubi, mereka rasa boleh menyelesaikan masalah. Mereka rasa pakai seksi bermakna jiwa saya kotor dan mereka tahu segala-galanya,” adik kepada pelakon dan penyanyi kontroversi, Aliff Aziz itu merungkai luahan hatinya.
Bercinta semula
Umum mengetahui, Aisyah sangat berahsia tentang hubungan cintanya dengan seorang lelaki. Sehingga kini, dia masih belum bersedia untuk berkongsi identiti gerangan lelaki yang berjaya mencuri hatinya.
Didakwa sudah putus cinta, Aisyah menafikan perkara perkara tersebut dan menyifatkan apa yang berlaku antaranya dengan lelaki itu hanyalah fasa bertenang.
“Ya, kami sudah kembali berhubung dan saya boleh katakan, kami sudah berpacaran semula. Saya tidak tahu bagaimana untuk bercerita tentang hal ini kerana semuanya berlaku secara semula jadi.
“Kami sangat melengkapi antara satu sama lain dan baru-baru ini, kami berjumpa kembali.
“Kami bukan putus cinta namun apa yang boleh saya katakan, kami mengambil masa untuk proses bertenang. Apabila anda relaks dan tidak marah, hubungan akan bercantum semula,” katanya yang turut terlibat dalam sebuah drama bersiri muzikal, Fried Rice Paradise terbitan MediaCorp Saluran 5.
Diintai sedikit identiti lelaki berkenaan, jawab Aisyah: “Dia sangat menarik. Separuh Malaysia, separuh Singapura. Susah nak cakap kerana saya sendiri pun tidak tahu sebenarnya apa yang berlaku sekarang.”