Demi anak, Ummi Nazeera kembali berlakon




Selepas enam bulan berehat daripada dunia seni kerana memberi tumpuan kepada cahaya mata sulungnya, Ayra Aneesah yang lahir pada 22 Ogos tahun lalu, pelakon Ummi Nazeera kini sudah bersedia untuk kembali aktif dengan berlakon.

Langkah pertama yang diambil Ummi Nazeera, 29, adalah dengan bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. untuk memastikan perjalanan kariernya tersusun.

Sebelum ini pelakon filem Bisik Pada Langit itu menguruskan sendiri kariernya dengan bantuan pengurus. Bagaimanapun, status ibu dan isteri yang digalas menyebabkan masanya begitu terhad. Oleh sebab itu, keputusan bernaung di bawah syarikat pengurusan dianggap tepat.

Ikuti penjelasan pemilik nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin itu ketika ditemui pada majlis sidang akhbar khas Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. yang diadakan baru-baru ini.

Selepas melahirkan anak, bilakah masa yang sesuai untuk Ummi kembali aktif?

UMMI NAZEERA: Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk saya kembali aktif dengan lakonan. Malah, saya telah mula aktif antaranya dengan menyertai program Sepahtu Reunion Live selain terlibat dalam drama radio untuk IKIM FM sempena bulan puasa nanti. Pada masa sama juga saya kini sudah bergelar artis naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.

Mengapakah anda mengambil keputusan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan?

Sebelum ini, saya boleh memilih tawaran mengikut kehendak sendiri. Namun, sekarang saya sudah berkeluarga dan memiliki anak.

Jadi, saya perlu fikir jauh ke depan untuk keluarga. Saya dan suami perlu bekerja lebih keras untuk memastikan masa depan anak terjamin. Mungkin dulu saya terlalu bergantung dengan ibu, bagaimanapun, selepas berkahwin sudah tiba masanya untuk saya berdikari dan bekerja lebih keras. Sebelum mendapat anak kedua, lebih baik saya berusaha untuk mencari pendapatan.

Adakah anda masih kekal sebagai aktres yang selektif terhadap tawaran lakonan meskipun selepas bernaung di bawah syarikat pengurusan?

Bersama Rocketfuel, saya tidak meletakkan sebarang syarat. Setakat ini mereka juga tidak pernah memaksa saya menerima tawaran yang tidak bagus.

Sebelum ini saya ada menerima satu tawaran tetapi selepas diteliti pihak pengurusan menjelaskan tawaran tersebut tidak bagus kerana boleh menjejaskan imej saya. Melihat ketegasan yang dipamerkan, saya begitu yakin pihak pengurusan tahu apa yang mereka lakukan.

Adakah anda sudah membuat perancangan keluarga?

Saya dan suami sepakat untuk tidak akan menimang cahaya mata kedua dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini. Lagipun suami saya akan menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana.

Justeru, perancangan untuk menambah ahli keluarga akan dihentikan buat sementara waktu. Saya sendiri pun masih dalam proses belajar untuk menjadi seorang ibu yang baik. Cuma jika Allah mahu beri rezeki juga, kami tidak akan menolaknya.

Mengapakah fizikal anda kelihatan semakin kurus?

Siapa yang tidak mahu kembali kurus selepas bersalin? Saya juga begitu. Tetapi, saya akui bukan mudah untuk kembali kurus.

Saya sendiri mengambil masa selama enam bulan untuk menurunkan berat badan. Salah satu sebabnya adalah kerana anak masih menyusu badan. Dalam tempoh enam bulan itu, saya juga berpuasa selain bersenam setiap hari.

Apakah rutin senaman dan pemakanan yang anda amalkan untuk menurunkan berat badan?

Rutin saya hanyalah kurangkan pengambilan nasi dan sentiasa bersenam setiap minggu. Jika dulu saya bersenam sebanyak lima kali dalam masa seminggu.

Namun, selepas memiliki anak saya cuma bersenam sebanyak dua kali seminggu. Paling penting harus konsisten jika mahu hasil yang optimum.

Post a Comment

Previous Post Next Post