Penyanyi, Black Hanifah mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan permotoran di PJ Urban Motocross, Petaling Jaya pada Isnin lalu.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 32, berkata, dalam kejadian itu, dia jatuh tersungkur selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan.
Kali pertama mengalami kemalangan, Black berkata, dia tidak serik untuk terus aktif dalam sukan permotoran lasak itu.
"Saya sedang membuat latihan dan mencuba litar. Ketika melakukan lompatan, motosikal saya hilang kawalan menyebabkan saya jatuh tersungkur.
"Saya bersyukur tidak mengalami kecederaan yang parah kerana motosikal itu hampir menghempap saya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Black, tangannya kini beransur pulih selepas melakukan rawatan secara tradisional.
Dia juga tidak mempunyai masalah untuk memenuhi undangan persembahan sepanjang proses pemulihan.
"Doktor menyarankan saya untuk berehat kira-kira sebulan sebelum kembali melakukan aktiviti lasak ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Black memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga sepanjang Ramadan ini dan akan aktif menjual kuih raya menjelang Syawal.
Pelantun Aku Rindu Sayang Kamu itu juga bakal tampil dengan naskhah baharu selepas Syawal ini bertajuk Leraikan.