Jasmine Suraya kecewa mentaliti peminat lelaki




Selepas Paskal, Jasmine Suraya kerap menerima tawaran membintangi filem aksi. Terkini dia melebarkan sayap karier apabila dilamar sebuah produksi Indonesia.

Pelakon Jasmine Suraya Chin mengakui kerap menerima komen negatif daripada segelintir pengikut lelaki dalam akaun Instagramnya hanya kerana dia sering berkongsi gambar-gambar seksi.

Lebih menyedihkan, pelakon filem Paskal itu mendedahkan bahawa kebanyakan komen negatif tersebut datangnya daripada golongan remaja terutamanya mereka yang masih bersekolah.

Terang Jasmine, 30, setiap kali memuat naik gambar dalam Instagram niatnya hanya ingin berkongsi perkembangan terkini bersama peminat.

Pemilik nama lengkap Jasmine Suraya Chin Xian Mei itu juga berasakan imej seksinya tidak melampau sehingga perlu menerima komen sebegitu.

Ikuti penjelasan daripada pelakon yang berasal dari Kuching, Sarawak itu ketika ditemui pada sidang akhbar Malaysia’s Makeup Artist Awards 2019 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Jasmine kongsikan perkembangan terkini?

JASMINE SURAYA: Saya sedang membuat persediaan untuk drama rantaian KL Gangsters Underworld untuk terbitan Iflix. Watak yang saya bawakan memang sudah ada sejak musim pertama ditayangkan, cuma kali ini dikembangkan lagi. Demi memberi lakonan yang berkesan, saya menjalani latihan seni mempertahankan diri selama tiga bulan bersama rakan pelakon dalam filem Paskal, Theeban G.

Apakah cabaran yang anda lalui sepanjang menjalani latihan tersebut?

Memang begitu sukar kerana pernah mengalami kecederaan. Saya merupakan penghidap sindrom hyperlaxity atau hypermobility (sendi terlebih fleksibel). Jika banyak melakukan pergerakan sendi, maka peratusan untuk mendapat kecederaan sangat tinggi. Pernah sekali saya buat aksi kombat, tiba-tiba tangan terseliuh. Akibatnya saya tidak dapat melakukan senaman selama tiga minggu. Walaupun begitu saya tidak pernah serik untuk mencuba. Jika terdapat babak yang bahaya, saya akan menggunakan pelakon lagak ngeri. Selagi mampu, saya akan lakukannya sendiri.

Nampaknya selepas Paskal, anda semakin banyak menerima tawaran berlakon naskhah aksi. Apakah pandangan anda?

Saya pun tidak pasti, tetapi sejak berlakon dalam Paskal, mungkin orang nampak kelebihan saya. Selepas KL Gangster Underworld, saya akan terbabit pula dengan sebuah lagi naskhah aksi terbitan produksi Indonesia. Penggambaran akan bermula sekitar Ogos depan di Jakarta, Indonesia dan Belanda.

Naskhah terbitan Iflix mempunyai babak yang agak berani dan seksi. Apa komen anda tentang perkara itu?

Saya sedar tentang perkara itu dan tidak membawa sebarang masalah. Saya okey sahaja untuk lakonkan watak yang agak berani dan seksi asalkan tidak melampau atau melanggar sensitiviti masyarakat di negara ini.

Apakah reaksi anda apabila menerima komen negatif daripada netizen gara-gara penampilan seksi dalam laman sosial?

Memang saya akui terlalu banyak menerima komen negatif. Kadang-kadang saya sendiri tidak faham dengan mentaliti mereka. Apa yang membuatkan saya berasa sangat sedih dan kecewa adalah kebanyakan komen-komen nakal yang ditinggalkan dalam Instagram datangnya daripada remaja. Walhal pada umur sebegitu, mereka tidak sepatutnya mempunyai pemikiran nakal. Saya berkongsi gambar seksi bukan tanpa sebarang niat lain. Mungkin agak seksi pada mata orang lain, tetapi bagi saya tidaklah melampau.

Apakah yang anda lakukan apabila berdepan dengan situasi tersebut?

Saya pernah mahu membalas dengan memerli mereka kembali dalam Instagram. Namun, selepas berfikir panjang saya mengambil pendekatan untuk buat tidak tahu sahaja. Jika saya membalas mereka lagi seronok, jadi lebih baik berdiam diri.

Post a Comment

Previous Post Next Post