Penyanyi Zamani Slam mengakui terharu dengan sambutan masyarakat terhadap single terbarunya, Aduh yang berjaya mencatat 1.1 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 1 Mac lalu.
Zamani, 48, berkata, dia tidak menyangka lagu ciptaan sepenuhnya komposer Faizal Tahir itu mendapat sambutan sebegitu rupa.
"Ini semua hasil sokongan peminat saya daripada Kelab Peminat Zamani dan peminat generasi lama yang masih memberikan sokongan.
"Begitu juga rakan terdekat serta rakan artis yang turut memberikan sokongan tak berbelah bahagi terhadap saya," katanya yang ditemui selepas mengadakan persembahan pada Majlis Apresiasi Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Sivik MPBJ, Petaling Jaya, hari ini.
Majlis sama turut meraikan perpisahan Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zin yang akan menjawat tugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Menurut Zamani, lagu Gerimis Mengundang nyanyiannya pernah mencatat jumlah tontonan yang banyak, namun kali ini agak berbeza selepas dia menyertai pertandingan Gegar Vaganza 5.
"Lagu Gerimis Mengundang ambil masa yang agak panjang untuk dapat jumlah tontonan yang banyak tapi Aduh hanya ambil masa selama 13 hari.
"Lagipun ini baru video lirik dan bukannya video muzik. Saya baru menyiapkan video muzik dan selepas ini barulah dimuat naik ke YouTube," katanya.
Bercakap mengenai single terbaru itu, Zamani berkata, pandangan yang dilemparkan kepadanya berbeza-beza.
"Pandangan yang diterima pro dan kontra kerana ada yang suka dan ada yang tidak.
"Namun ada juga mengucapkan tahniah kerana saya tampil dengan sesuatu yang segar dan berbeza.
"Saya ambil lagu Faizal kerana dia memang berminat nak menghasilkan lagu untuk saya dan dah tentu tak menolaknya," katanya.
Dalam pada itu, Zamani mengakui berdepan cabaran menguruskan syarikat ZIME Production yang ditubuhkannya baru-baru ini.
"Saya baru belajar bertatih buat sendiri dan tak dinafikan ia agak sukar.
"Banyak perkara yang perlu difikirkan. Dulu semua orang buatkan untuk saya tapi sekarang kena buat sendiri.
"Segala kesilapan saya kena tanggung sendiri. Tanggungjawab pun semakin banyak," katanya.