Zara Zya tunggu Hafreez buka mulut




“Jika nak diikutkan saya memang mahu kahwin cepat kerana bimbang dugaan dalam perhubungan.

“Kami memang ada perancangan ke fasa perkahwinan tetapi lebih baik perkara itu keluar daripada mulut pihak lelaki,” kata pelakon popular Zara Zya, 34, ketika mengulas perancangan untuk berkahwin dengan kekasihnya pelakon Hafreez Adam, 29, ketika ini.

Menurut Zara, dia juga akan mengumumkan berita baik itu bila tiba masanya nanti.

Katanya, sebenarnya, dari tahun lalu lagi orang sudah mula bercakap dan teruja dengan cerita mereka mahu berkahwin, sedangkan ramai lagi pasangan lain yang bercinta.

“Saya pula sebaliknya tidak berani mahu bercerita sama ada kami mahu berkahwin pada tahun ini atau tahun depan selagi perkara ini belum dapat kepastian lagi.

“Kalau perkara ini sudah pasti, baru saya umumkan pada semua,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas perbezaan umur mereka, kata Zara, ia bukan halangan untuk berkahwin.

“Hubungan kami serius dalam tempoh dua tahun menjalinkan hubungan.

“Setakat ini, hubungan kami juga berjalan lancar dan masih dalam tempoh mengenali hati budi lagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, dia dan Hafreez sibuk memberi fokus pada karier seni masing-masing.

“Saya memang kuat bekerja dan sibuk dengan penggambaran drama serta bisnes.

“Begitu juga Hafreez sibuk dengan karier seninya. Doakan yang baik buat kami,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post