Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu merupakan pepatah yang paling dekat dan boleh dikait rapat mengenai status hubungan percintaan pelakon cantik, Sarah Hildebrand dengan pengacara Nabil Mahir yang tiada berpanjangan dan menemui titik noktah pada penghujungnya.
Bukan setahun dua percintaan antara Sarah dan Nabil itu terjalin, namun takdir Tuhan menentukan dan mengakhiri bahtera pelayaran cinta mereka berdua.
Tempoh perjalanan selama lima tahun bermula 2014 disemai molek oleh kedua-duanya, ditatang bagai minyak yang penuh, ditempuh segala ranjau dan onak duri, namun akhirnya berkecai dan terlerai hanya dengan sekelip mata.
Bagi Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, dia menerima perkara dan takdir tersebut dengan rela hati selain reda dengan ketentuan Ilahi terhadap apa yang berlaku.
“Saya menerima perkara tersebut dengan hati terbuka. Mungkin jodoh antara saya dan Nabil tertulis dan sampai setakat ini sahaja.
“Saya pun doakan yang terbaik buatnya. Saya juga sudah memaafkannya. Apa yang lepas, biarlah ia berlalu tanpa ada wujud sebarang dendam,” katanya ringkas sambil tersenyum ketika membuka bicara bersama Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur pagi Jumaat lalu.
Jelas wanita berdarah kacukan Amerika dan Malaysia itu, dia percaya akan takdir Tuhan dan segala yang berlaku mempunyai hikmah tersirat yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Mengulas lanjut, wanita kelahiran Kuala Lumpur berumur 29 tahun itu turut memberitahu, hubungannya dengan Nabil berakhir dengan cara baik tanpa wujud sebarang pertelingkahan antara mereka berdua.
“Saya dan Nabil masih berkawan seperti biasa. Cuma, bezanya kami sudah tidak mempunyai hubungan istimewa seperti dahulu atau bahasa mudahnya sebagai pasangan kekasih bercinta.
“Mustahil bagi saya untuk tidak mengatakan ‘sayang’ terhadap perpisahan yang berlaku lebih-lebih lagi setelah sekian lama mengenali hati budi antara satu sama lain, tapi takdir penentu segalanya dan saya terima dengan berlapang dada,” ujarnya.
Ironi, sehari sebelum Sarah ditemu bual, Nabil atau nama lengkapnya Ahmad Nabil Ahmad Mahir ditemui kru Sensasi Bintang, bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan olehnya nyata bercanggah daripada bekas kekasihnya itu.
Nabil tidak menafikan memang wujud sedikit perselisihan faham antara mereka berdua sehingga terpaksa mengambil jalan untuk membawa haluan masing-masing.
Tambah jejaka berumur 31 tahun itu, dia juga tidak menolak punca perpisahan berlaku kerana wujud orang ketiga dalam hidup Sarah ekoran perubahan sikap yang terjadi kepada wanita jelita berkenaan beberapa bulan sebelum itu.
“Memang kami sudah tiada persefahaman dan mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan cara baik,” ujarnya yang bertindak dulu memutuskan perhubungan tersebut.
Awal Februari lalu, hubungan percintaan kedua-dua bekas pasangan itu menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen apabila Nabil mengambil tindakan memadamkan semua gambar mereka berdua di laman sosial miliknya.
Kekasih baharu
Berbalik kepada Sarah pula, katanya, dakwaan Nabil mengenai hubungan mereka berdua putus disebabkan wujudnya orang ketiga ekoran gambar yang dimuat naiknya bersama seorang lelaki berdarah kacukan Amerika Syarikat dan Filipina di Instagram beberapa hari selepas hubungan mereka berakhir ternyata tidak benar.
Menurutnya, lelaki yang ada di dalam gambar tersebut merupakan kawan lamanya dan mereka berdua bertemu semula semasa dia pulang ke kempung halaman di Arkankas, Amerika Syarikat bagi menziarahi bapanya yang kurang sihat.
“Ya, memang saya ada pulang ke kampung selama dua minggu bagi menziarahi ayah. Pada masa sama, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berehat dan menenangkan fikiran selepas hubungan berakhir.
“Saya tahu ramai pihak termasuk Nabil berang dengan tindakan saya memuat naik gambar tersebut hanya selepas beberapa hari kami berpisah. Tidak kurang juga yang mengatakan saya move on terlalu awal ekoran sudah ada pengganti dan dikatakan menjalinkan cinta dengan kekasih baharu itu.
“Lagipun tiada apa yang salah sekiranya saya berkawan dengannya semula atau mana-mana lelaki lain memandangkan hubungan saya dengan Nabil sudah berakhir,” ujarnya tegas.
Tambah pelakon yang popular dengan watak antagonis bernama Nadine menerusi drama fonomena, Pujaan Hati Kanda itu, dia sudah tidak mahu mana-mana pihak mengaitkan lagi hubungannya dengan Nabil selepas ini selain mahu semua orang jelas tentang perkara tersebut.
Baginya, masih terlalu awal untuknya bercerita dan mencari pengganti buat masa ini selain mahu memberikan fokus yang lebih buat kerjaya yang dicintai demi kelangsungannya dan keluarga.
“Saya pun sudah buka buku baharu dan tekad untuk fokus dengan apa yang saya lakukan sekarang. Malas untuk saya fikir tentang apa yang sudah berlaku dan menjadikannya sebagai satu iktibar,” katanya sekali gus menyimpul mati kisah hubungannya bersama Nabil.
Lakonan
Tutup kisah kedua-duanya, Sarah teruja berkongsi perihal karier lakonannya. Dia kini sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran televisyen termasuk drama Hero 2 terbitan RTM yang akan ditayangkan kelak.
Jelasnya, Hero 2 arahan sutradara Jo Yusof itu merupakan kesinambungan daripada drama Hero lakonan Sharnaaz Ahmad yang mengisahkan tentang kerjaya, kehidupan dan cabaran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negara ini.
“Pada masa sama, saya juga baru selesai menjalani rakaman 13 episod bagi segmen bual bicara Dari Meja Peguam terbitan RTM,” tuturnya yang memang sudah lama mengimpikan untuk mengacarakan isu-isu serius seperti itu.
Ditebak mengenai adakah watak sebagai Nadine sebelum ini membuatkan dirinya dikenali dan disedari kewujudannya di dalam industri, Sarah mengakui selain bersyukur akhirnya peminat membuka mata serta menerima bakatnya walaupun menerusi watak antagonis.
“Memang tidak dinafikan watak Nadine banyak memberi dan meninggalkan impak mendalam terutama dalam perubahan kerjaya seni saya. Tidak dinafikan hingga sekarang masih ramai yang mahukan saya membawa lebih banyak watak-watak jahat seperti itu.
“Menerusinya, pelbagai tawaran lain turut mula menerjah diri saya jika dibandingkan dengan awal pembabitan yang agak perlahan sebelum ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Sarah turut tidak menolak tawaran menyanyi jika ada pihak yang memberinya peluang dan ruang kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang tersebut sejak di bangku sekolah.
Ujar Sarah, dia bukan tamak, bangga diri, apatah lagi bertindak merebut semua cabang seni yang ada, namun dia percaya bakat yang ada pada dirinya selagi kepercayaan yang diberikan oleh orang dalam industri seni.
“Pada masa sama, saya dan pihak pengurusan juga merancang untuk menghasilkan sebuah single selepas ini. Namun, ia bukanlah lagu cinta, jiwang dan sedih, sebaliknya lebih kepada menyampaikan mesej positif dan berkisarkan kemanusiaan dan masyarakat,” ujarnya.