Prospek hero Adam Shadan




Bukan berniat menghakimi namun daripada tutur katanya, sudah dapat diteka yang dia berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

Wawancara bermula agak janggal, sementelah individu yang mengemudi perbualan adalah seorang yang berasal dari Johor sedangkan Adam Shadan atau nama sebenarnya, Mohamad Shahaadan Che Seman dari Kelantan - dua rakyat dari dua negeri yang sering bertelagah idea, terutama dalam ruang media sosial. Bagaimanapun ibarat kata pepatah, ikan di laut asam di darat, dalam periuk bikin muafakat.

Walaupun loghat Kelantannya agak pekat, dalam menuturkan bicara, Adam sangat merendah diri menyedari usia kerjaya seninya masih bertatih. Dia akur, perlu memuntahkan hemat dengan jujur dan bersikap holistik.

“Abang tidak pernah ke Kelantan ke? Jangan anti tau dengan kami,” seloroh Adam seraya disantuni hela tawa ketika wawancara baru hendak bermula.

Dialog tersebut pantas menukar nuansa di Studio Utusan yang agak sunyi hari itu bertukar menjadi suasana riuh-rendah. Kemudian, perbualan berlangsung seperti derasnya sungai yang mengalir.

Bidan terjun

Adam bercerita, dia mula melangkah dalam dunia lakonan apabila terlibat dengan program pencarian bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada tahun 2017. Tanpa diberikan sebarang hamparan harapan, lelaki berusia 28 tahun itu berjaya diangkat sebagai juara pertandingan tersebut.

Ironi, dia tidak pernah memasang angan-angan untuk hidup disinari cahaya glamor sebagai seorang selebriti. Katanya, kerjaya lakonan yang direalisasikannya sekarang ini melepasi jangkauannya.

“Sebenarnya, kawan yang ajak saya sertai program pencarian bakat DFKL 2017. Saya tidak sangka pun boleh pergi jauh sampai tahap sekarang kerana saya betul-betul masuk pertandingan itu umpama bidan terjun.

“Sejak kecil, saya memang tiada impian pun nak jadi pelakon atau selebriti. Membesar di Kelantan dan adik-beradik ada sembilan orang, saya hanya ingin menjalani hidup seperti biasa.

“Namun apabila sudah disuluhkan jalan dengan memenangi pertandingan itu, saya terfikir, ini adalah rezeki yang harus saya teruskan usaha demi masa depan diri sendiri dan keluarga,” kata Adam yang berasal dari Jeli, Kelantan.

Ditanya tentang kesukaran dalam membina nama sebagai pelakon, Adam mengakui akan hakikat tersebut. Tambahnya lagi, loghat Kelantan pekat dalam turut bicaranya mungkin menyumbang faktor sehingga kini dia masih belum diberi peluang untuk memainkan peranan utama dalam sesebuah naskhah lakonan.

“Susah memang susah. Ada ramai pelakon di Malaysia yang bagus. Kalau susah, tidak bermakna saya perlu mengalah. Saya percaya kalau ingin berjaya, kena perlu terus berusaha.

“Kejayaan tidak akan datang bergolek. Saya akui loghat Kelantan saya sedikit sebanyak membataskan peluang untuk merebut peranan utama dalam sesebuah naskhah lakonan, namun saya akan terus membuktikan kepada orang ramai bahawa saya serius ingin bergelar pelakon,” tutur Adam.

Sedang sibuk menjalani penggambaran drama 30 episod terbitan RTM berjudul Aku Yang Kau Tinggalkan, dedah Adam, dalam keghairahan mengejar cita-cita bergelar aktor, dia juga berdepan cabaran yang tidak pernah terbayang selama ini.

Ambil kesempatan

Ujarnya, dia sudah terbiasa dengan janji-janji manis yang dilemparkan orang industri dengan menawarkan peranan utama dalam sesebuah drama.

Janji entah ke mana, peranan utama yang dijanjikan terbang tidak nampak bayang, semua situasi sebegitu menghadiahkan Adam seribu pengalaman saat dirinya terlalu hijau dalam industri. Kini, dia lebih berhati-hati dalam membuat keputusan membenarkan orang berada dalam lingkungan hidupnya agar tidak dimanipulasi.

“Saya tidak mahu cerita panjang, namun diakui pernah ditipu beberapa individu yang menjanjikan bulan dan bintang namun habuk pun tiada.

“Dalam industri ini, ada bermacam jenis orang. Ada yang ikhlas membantu, ada juga yang kononnya membantu namun inginkan sesuatu sebagai balasan.

“Lebih baik kita bekerja dengan ikhlas dan tidak mengharapkan jalan pintas. Kerja dengan ikhlas, insya-Allah dipermudahkan urusan kita pada kemudian hari,” ungkapnya.

Melihat sosok ideal miliknya yang boleh diangkat sebagai prospek hero idaman ramai, persoalan sama ada pernah dia diganggu peminat di laman sosial terbutir dari bibir penulis. Adam tersenyum seraya tidak menafikan perkara tersebut.

“Banyak permintaan yang 
bukan-bukan. Ada yang ajak buat hubungan seks dan minta foto tak senonoh. Saya tidak melatah kerana saya tahu itu harga yang perlu dibayar apabila masuk ke dalam bidang ini.

“Apa yang pelik, kebanyakan direct messege (DM) yang diterima adalah daripada golongan sejenis. Mungkin itu sekadar gurauan, namun kalau sudah keterlaluan, saya sekat akaun mereka,” katanya.

Kelantan

Dijentik persoalan skeptisisme segelintir orang terhadap lelaki Kelantan sehingga ada dalam kalangan selebriti menolak untuk tidak bertemu jodoh dengan lelaki negeri Pantai Timur itu, Adam menghormati apa pandangan orang lain.

Katanya, pemikiran sebegitu terpulang kepada diri masing-masing. Cuma apa yang dirisaukan, orang yang mengeluarkan pendapat sedemikian akan ‘makan semula’ kata-katanya.

“Urusan jodoh, maut dan pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Manusia boleh mengeluarkan pendapat tentang pilihan, namun urusan itu Tuhan yang jaga.

“Lelaki kalau ingin berkelakuan jahat atau tidak baik, tidak kira dia lahir atau berasal Kelantan. “Kalau sudah jahat dan mempunyai niat tidak elok, lelaki dari Arab Saudi, Amerika Syarikat atau dari benua sekali pun boleh buat ‘dajal’,” getusnya.

Mengulas lanjut, Adam berkata, dia percaya dengan qada dan qadar serta urusan jodoh yang sudah tertulis di Luth Mahfuz. Sebagai manusia, dia sekadar mencuba yang terbaik dan menjauhi sikap riak dalam menjalani kehidupan.

“Tidak kenal maka tidak cinta. Kita manusia sama sahaja pada pandangan Tuhan bukan dibezakan dari segi bangsa, kaum atau adat resam,” gulung naib juara Hero Kelantan 2018 optimis.

Pendatang baharu, Adam Shadan berbicara tentang kerjaya seni lakonannya yang masih hijau serta menjawab skeptikal isu lelaki Kelantan yang sering dicop bermasalah oleh segelintir pihak.

Post a Comment

Previous Post Next Post