Persekitaran lasak dunia Aina Suzaily




Peminat sukan pasti pernah melihat keletah gadis jelita, Aina Suzaily Mohd Zailanny, 28, mengendali program berkaitan di kaca televisyen.

Menariknya, Aina boleh dikatakan personaliti TV dan pengacara program sukan terutama bola sepak yang sering mendapat perhatian bukan saja di Malaysia malah Indonesia.

Bukan saja memiliki paras rupa menarik dan petah berkata-kata, Juara Penyampai Ikon RTM 2009 itu juga berjiwa lasak.

“Kalau ikutkan saya memang membesar dalam persekitaran lasak kerana sejak zaman sekolah suka bersukan seperti bermain bola keranjang dan lumba lari.

“Tambahan pula, ayah suka sertai aktiviti lasak pacuan 4 roda serta ‘motorcross’ dan saya sering ikut dia ketika berumur tujuh tahun,” katanya.

Lebih menarik, Aina juga pernah menyertai tentera selepas tamat persekolahan demi memenuhi kepuasan diri.

Katanya, ketika menyertai tentera pada pertengahan 2000, ada 333 kadet terdiri daripada lelaki manakala 33 pula wanita termasuk dirinya.

“Oleh itu tidak mustahil langsung apabila saya kini terbabit dalam dunia pengacaraan sukan yang rata-rata diterajui lelaki,” katanya ringkas.

Anak sulung daripada tiga beradik ini juga bijak memastikan dirinya tidak diganggu lelaki ‘miang’ sepanjang menjalankan tugas.

Katanya, apabila memilih kerja dalam bidang sukan, fokusnya ha­nya pada bola sepak dan bukan lelaki yang berada di sekelilingnya.



Aina ketepikan pandangan orang yang memandang rendah kredibilitinya sebagai pengacara sukan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
“Jadi, kalau bekerja dan gali ilmu berkaitan bola sepak, tiada masalah pun kalau dikelilingi lelaki atau ‘adik-adik’.

“Mungkin kerana dibesarkan dalam persekitaran lasak menyebabkan hati saya tidak terlalu ‘tisu’. Kiranya jiwa saya agak kental. Andai kata diganggu ketika kerja, saya hanya buat tak tahu,” katanya.

Aina juga ketepikan pandangan orang sekeliling yang mungkin memandang rendah kredibilitinya sebagai pengacara sukan.

Dia akui masih banyak perkara dan ilmu bola sepak yang perlu dipelajari sama ada melalui rujukan dengan orang lama atau pembacaan daripada sumber sukan.

Dalam pada itu, gadis berdarah kacukan Melayu-Siam itu turut berkongsi detik menjadi ‘pengaman’ ketika diminta bertugas di negara jiran tahun lalu.

“Pada Sukan SEA di Indonesia tahun lalu, berlaku insiden panas ketika perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia. Kebetulan saya ada di stadium untuk membuat liputan dan suasana ketika itu agak tegang.

“Saya ambil keputusan bertenang dan ketepikan isu itu sebab percaya ba­nyak elemen positif yang ada dalam sukan bola sepak.

“Kalau kita terapkan elemen positif, ia pasti akan membawa aura yang sama di sekeliling kita,” katanya.

Aina mendedahkan, ketika itu dia menemu ramah pemain dan orang ramai termasuk dari Indonesia seperti biasa.

Apabila ternampak bendera Indonesia, dia terus mencapainya dan bergambar bersama-sama bendera Malaysia dengan wajah ceria.

Gambar itu kemudian dimuat naik ke laman Instagram dan ia menjadi titik tolak nama Aina Suzaily mula dilabel ‘pengaman’ oleh peminat sukan di negara itu.

“Saya secara tidak langsung berjaya ‘menyejukkan’ keadaan dan mendapat perhatian media dari sana. Ia bagus untuk imej kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia).

“Saya anggap sikit sebanyak, walaupun usaha itu kecil, ia diterima positif oleh semua lapisan masyarakat,’ katanya.

Katanya, banyak lagi bidang baru yang ingin diceburi selain pengacaraan sukan dan masakan.

“Kalau nak diikutkan perjalanan saya, bermula dengan tentera kemudian masuk pula Pengacara Ikon RTM, ia benda baru.

“Saya belajar mencantikkan diri, bersolek dan mula terjun dalam bidang penyiaran sebagai pembaca berita pada 2010. Kini, saya dikenali sebagai pengacara sukan bola sepak pula,” katanya.

Aina yang kini belajar separuh masa dalam bidang Media dan Penyiaran di sebuah universiti tempatan bersyukur bakatnya sudah mula disedari ramai.

Katanya, untuk berjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih banyak dan menyimpan impian untuk mengacara program lasak bersifat luar kotak pula.

“Saya nak mengacara program lasak yang berdasarkan pengalaman sendiri contohnya aktiviti lasak ketenteraan,” katanya

Pada masa ini, Aina terbabit dalam pengacaraan program Bola Bola Bola yang bersiaran di saluran Hypp TV dan iflix.

Selain itu, dia yang suka memasak turut mengendali program Aroma Masak di Hypp TV.

Post a Comment

Previous Post Next Post