Pengabdian tiga dekad Noraniza Idris Ratu Etnik Kreatif




Setelah suku abad mengabdikan diri dalam memperjuangkan irama tradisional Melayu, Kak Ani atau nama sebenarnya, Noraniza Idris pernah membuat pengakuan bersedia untuk mengundurkan diri.

Lebih 30 tahun terbabit dalam industri sebagai pejuang irama tradisional yang sudah sebati dalam nadi seninya, pemilik nama sebenar Nor Aniza Idris yang kini berusia 51 tahun menzahirkan hasrat untuk setia di balik tabir.

Lama menghilang daripada radar industri, pelantun Dondang Dendang yang kekal relevan memegang takhta Ratu Etnik Kreatif atau Irama Tradisional Malaysia itu bagaimanapun menangguhkan hasrat untuk berehat.

Jihad irama tradisional Melayu

Meletakkan perjuangan memartabatkan irama tradisional sebagai ‘jihad’ mempertahankan khazanah negara, Noraniza mempersiapkan diri kembali dalam liga hiburan tempatan.

“Saya mengaku sejak beberapa tahun lalu, saya telah bersedia untuk berundur daripada industri. Berundur bukan bermaksud saya berhenti, sebaliknya selesa untuk bergerak di belakang tabir.

“Apabila terbabit aktif dalam program berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kebudayaan, tidak sangka jiwa saya lebih gembira. Saya berpeluang mendekati banyak bakat muda,” katanya.

Bakal terbabit aktif dalam projek solo menerusi siri jelajah Noraniza Idris Malai Solo Tour 2019/2020, pemenang empat kali trofi Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) itu berkata, hasrat untuk berehat sebenarnya memuncak pada tahun lalu.

Dia bagaimanapun membatalkan hasrat berkenaan selepas pemergian mengejut insan yang dianggap tokoh khazanah irama tradisional negara iaitu Allahyarham Pak Ngah atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Mohd. Zain pada September tahun lalu.

Pemergian Pak Ngah membuatkan Noraniza berfikir sejenak mengenai survival irama tradisional Melayu tanpa kehadiran komposer yang pernah mencipta lagu duetnya bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza bertajuk Hati Kama.

Menyedari penerimaan khalayak terhadap muzik sedemikian semakin terhakis tambahan pula dengan kekurangan pelapis muda, berbekalkan restu daripada suami, Noraniza kembali beraksi.


Survival

“Suami adalah antara insan penting yang berterusan menyokong penglibatan saya dalam industri. Saya berbincang dan mendapat restu suami sebelum membuat keputusan.

“Saya berasa amat terkesan dan sedih selepas pemergian Pak Ngah, saya berpendapat irama tradisional Melayu seakan-akan hilang rujukan pakar. Industri masih memerlukan seseorang yang mampu memberi pendapat mengenai irama tradisional Melayu,” ujarnya.

Menyasarkan misi melahirkan pelapis baharu irama tradisional Melayu, tanpa berselindung, Noraniza mengakui pencarian pendatang baharu yang mampu meneruskan legasi muzik genre berkenaan sedang berdepan kesukaran.

Mendedahkan pernah didekati pendatang baharu yang kononnya berminat untuk mempelajari irama tradisional Melayu, Noraniza nyata kecewa apabila kebanyakan mereka hanya menjadikan irama tradisional sebagai batu loncatan dalam industri.

“Bukan tidak ada yang berminat untuk mempelajari irama tradisional, namun yang hadir hanya ingin menjadikan bidang ini sebagai batu loncatan dalam industri.

“Saya kecewa dengan tindakan sedemikian,” getusnya.

Demi memastikan kelangsungan hayat irama berkenaan, Noraniza terbuka bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik biarpun berlainan genre.

Menanam impian untuk berkolaborasi bersama Altimet, tanpa berselindung, dia bersungguh mengimpikan naskhah daripada pelantun Bunga itu.

Biarpun memperjuangkan aliran genre muzik berbeza, Altimet disifatkannya sebagai pengkarya genius.

“Saya melihat karya Altimet dari sudut berbeza, tidak hanya berdasarkan aliran muzik yang diperjuangkan. Ada perkara unik dalam setiap sentuhan Altimet.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah penggunaan kosa kata, ritma dan laras bahasa. Biarpun memperjuangkan genre muzik moden, unsur Melayu masih kuat dalam setiap karyanya,” kongsi pemenang Album Pop Etnik Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-12 itu.

Konsert solo

Sementelah lebih tiga dekad dalam arena seni suara, permulaan tahun 2020 kelak bakal menyaksikan Noraniza mengadakan konsert solo berskala mega di Istana Budaya.

Diberi judul Malai Solo-Noraniza Idris in Concert, persembahan berkenaan bakal menjadi saksi penglibatan dirinya sepanjang 35 tahun dalam industri.

Teruja berbaur gementar, Noraniza turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai pengabdian dirinya sepanjang terbabit aktif dalam arena seni.

Konsert yang dijangka menelan kos hampir RM2 juta tersebut bakal menyaksikan peminat berpesta di Istana Budaya dengan seleksi lagu termasuk persembahan yang pernah mewarnai pentas AJL satu ketika dahulu.

“Jujurnya, saya gementar. Usia sudah memasuki 50-an, stamina tidak sekuat dahulu. Banyak perkara yang perlu saya pelajari terutama aspek tarian.

“Fokus saya adalah meningkatkan stamina,” kongsinya dengan wajah teruja.

Masih samar mengenai konsep persembahan pada malam berkenaan, Noraniza memberi gambaran kemeriahan konsert kelak.

“Jika sewaktu bersaing dalam AJL ramai gelar saya membawa seramai satu bas pasukan, dalam konsert nanti, mungkin dua hingga tiga buah bas,” usiknya diselangi hilai tawa.

Bagi memastikan konsert berkenaan mampu menjadi rujukan pada masa akan datang, persembahan yang dijangka berlangsung pada 2 hingga 4 April tahun depan tersebut akan dirakam dalam bentuk video.

Selain konsert solo, Noraniza juga dalam rangka menawan peminat di Kota Singa menerusi Konsert Iktiraf Noraniza Idris In Singapore pada 9 November depan.

Masih mencari lokasi untuk penganjuran konsert tersebut, bagaimanapun Noraniza telah menetapkan tema irama tradisional Melayu sebagai pengisian persembahannya.

Dalam masa terdekat, wanita beranak dua itu juga sedang mempersiapkan diri menjayakan konsert mini Sawo Matang-Noraniza Idris yang mengambil tempat di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 April 2019.

Konsert yang bakal mengundang nostalgia lagu-lagu popularnya tersebut akan dimeriahkan sekitar 100 penari dan pemuzik iringan.

“Uniknya mengenai konsert mini ini adalah penglibatan generasi muda yang dilatih untuk menjayakan Sawo-Matang Noraniza Idris.

“Kami akan mengetengahkan konsep kepelbagaian kaum dalam setiap persembahan dan muzik. Lagu yang akan dinyanyikan adalah lagu daripada kesemua album saya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post