Adam semasa sidang akhbar Konsert Bekas Pelajar AF2 baru-baru ini.
Hampir sedekad menyepikan diri daripada industri selepas kali terakhir muncul dengan sebuah filem berjudul Apokalips, bekas bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Adam menyatakan hasrat untuk kembali aktif menyanyi.
Pemilik nama sebenar, Mohd. Aizam Mat Saman, 35, yang kini menggunakan nama pentas Adam Aiz itu tidak sabar menanti maklum balas berhubung kemunculan semulanya selepas lama merehatkan diri.
Masih aktif sebagai pengamal perubatan Islam, bekas suami Fiza Elite itu turut bergelar usahawan berkaitan perundingan dan pelaburan.
Peluang bertemu Adam pada sidang media konsert reunion bintang AF2, Kosmo! baru-baru ini mendapatkan kisah penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Tak Tahu itu.
Adam kelihatan lebih kurus berbanding beberapa tahun yang lalu. Adakah anda sedang patah hati?
Adam: (Sambil melepaskan ketawa). Tidak, saya baik-baik sahaja, cuma seorang duda yang masih solo. Selain itu, saya juga mahu menjalani cara hidup sihat dan mendapatkan semula berat badan ideal.
Berat badan saya pernah mencecah 90 kilogram hingga ada yang menggelar saya penguin. Jadi, saya kurangkan berat badan.
Hampir 10 tahun menghilang daripada radar industri hiburan, apakah perkembangan terkini anda?
Sejak lima tahun yang lalu saya bersama rakan kongsi telah menubuhkan sebuah syarikat dan terbabit aktif dengan perniagaan.
Syarikat saya menjalankan perniagaan berkaitan perundingan dan perdagangan. Fungsi syarikat kami adalah mengadakan rundingan dan mencari pelabur dalam atau luar negara.
Selain syarikat, saya juga masih menjalankan perubatan rawatan alternatif berlandaskan Islam.
Anda pernah mengeluarkan kenyataan untuk berhenti daripada arena seni? Mengapakah kini anda ingin kembali meneruskan aktiviti seni?
Setiap manusia ada fasa perubahan dalam kehidupan. Selepas tamat penggambaran filem Apokalips, saya fokus mendalami Islam dan perubatan alternatif. Sepanjang tempoh itu, sukar untuk saya nafikan kerinduan terhadap dunia nyanyian.
Saya pernah memberitahu peminat untuk berhenti daripada menari tetapi bukan menyanyi. Malah, saya tidak berhasrat untuk membina nama, sebaliknya hanya sebagai hobi.
Setelah mengharungi dua kali perceraian, adakah anda trauma untuk mendirikan rumah tangga?
Saya tidak pernah trauma dan masih mahu kembali mendirikan rumah tangga. Sudah tentu sebagai manusia, saya mahu hidup berpasangan. Sunyi rasanya hidup solo.
Saya juga telah bersedia untuk mempunyai zuriat. Pengalaman perkahwinan terdahulu, banyak mengajar saya erti untuk menjadi seorang suami yang lebih baik dan hidup berpasangan.
Pada usia ini, saya tidak mempunyai ciri-ciri wanita impian yang khusus. Jika hati telah berminat, ada jodoh saya terus akan jumpa keluarga.
Adakah sepanjang tempoh selepas menduda buat kali kedua sejak September 2016, adakah anda tidak menjalinkan sebarang hubungan secara serius?
Tipulah jika sepanjang tempoh itu saya tidak pernah mencuba menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Sudah tentu ada kenalan yang mendekati. Tetapi hubungan itu sekadar kawan dan tidak ke peringkat seterusnya.
Pada pendapat saya, pada usia 35 tahun, saya banyak belajar daripada pengalaman hidup. Saya juga tidak memilih seperti zaman muda-mudi dahulu.
Bolehkah anda kongsikan perancangan kerjaya setelah membuat keputusan untuk kembali aktif?
Saya tidak lagi menggunakan nama Adam AF2. Saya mahu peminat mengenali jenama baharu saya iaitu Adam Aiz. Adam Aiz adalah nama saya khusus untuk bidang nyanyian. Selepas ini, semua lagu akan menggunakan nama Adam Aiz. Buat masa sekarang, saya tidak mengejar populariti, sebaliknya kembali atas dasar hobi.