Penyanyi Awi Rafael berkata, dia tidak mahu membuka aib sesiapa atas kegagalannya mendirikan rumah tangga bersama pelakon Atikah Suhaime yang sepatutnya berlangsung pada Ahad ini.
Menerusi Instagramnya sebentar tadi, Awi, 33, berharap agar semua pihak memahami situasi yang sedang dihadapinya ketika ini.
Dia juga mengakui sudah cuba melakukan yang terbaik dah keluarganya juga sudah bersiap sedia untuk majlis yang akan berlangsung nanti.
“Ada banyak perkara yang perlu diselesaikan sejak awal, tetapi pada saat-saat akhir barulah tahu kisah sebenar.
“Niat di hati adalah untuk membina masjid, menutup aib dia yang dulu dan membawa dia ke jalan Tuhan bersama ke arah hidup baharu. Disebabkan itu saya tawakal dan terus mengikat pertunangan pada tahun lalu.
“Namun saya juga mempunyai ibu dan maruah keluarga yang perlu dijaga. Terlalu berat dugaan kali ini. Saya harap kawan-kawan dapat memahami. Saya juga enggan membuka aib sesiapa,” tulisnya.
Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael juga berkata, mungkin apa yang terjadi adalah jawapan daripada doa dan solat istikharah yang dilakukannya.
“Kepada rakan-rakan media, terima kasih kerana selalu memberi sokongan. Kasihanilah Atikah. Tetaplah beri sokongan kepada dia seperti yang kita semua dapat lihat sejak kami bertunang.
“Namun saya dan keluarga terpaksa mengundurkan diri. Saya minta maaf,” ujarnya sambil menyatakan dia dan keluarga memerlukan waktu untuk memikirkan cara terbaik bagi menangani dugaan itu.
Awi juga sempat menitip pesanan kepada rakan-rakannya agar jangan bimbang dengan segala kos yang telah dikeluarkan untuk majlis mereka kerana dia sanggup untuk membayarnya semula.
“Kepada rakan-rakan yang sudah membeli tiket penerbangan, jangan risau saya akan bayar semula wang anda.
“Juga kepada penaja untuk kek kahwin dan makanan juga jangan risau kerana kita boleh berikan semuanya kepada rumah anak-anak yatim,” katanya.