Neelofa undur diri, fokus tugas pengacaraan




Selain menerima kritikan kerana sering mendominasi kemenangan dalam AME, Neelofa berasakan selaku pengacara MeleTOP adalah tidak wajar untuknya dan Nabil bertanding dalam anugerah tersebut.

Pengundurannya daripada terlibat dalam sebarang pencalonan Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019) kali ini merupakan keputusan secara sukarela. Kata Neelofa, selepas enam tahun, sudah tiba masa buat dirinya mengundurkan diri sementelah memberi fokus terhadap tugas pengacaraan secara total.

Menurut pemilik nama sebenar, Noor Neelofa Mohd. Noor itu, dia menjelaskan tidak logik untuknya menerima pencalonan terutama selepas beberapa reaksi yang kurang menyenangkan apabila sering mendominasi kemenangan pada anugerah tersebut.

Disuakan pertanyaan tentang isu kemelut rumah tangga kakaknya, Noor Nabila dengan aktor Sharnaaz Ahmad yang menjadi tanda tanya peminat, Neelofa mengharapkan orang ramai mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.

Malah, Neelofa menyifatkan dakwaan yang mengatakan dia merupakan punca keretakan rumah tangga kakaknya sebagai tidak masuk akal.

Bilakah Neelofa membuat keputusan pengunduran diri daripada sebarang pencalonan AME 2019?

NEELOFA: Keputusan tersebut dibuat selepas pengumuman Top 20 tempoh hari. Saya dan Nabil telah bercakap tentang perkara ini sejak tahun lalu. Terus terang saya katakan, ketika saya tidak menang awal-awal dahulu, tidak timbul sebarang isu. Sebaliknya berlaku selepas saya mula menang anugerah. Justeru, untuk menjadikan anugerah ini adil dan neutral, saya rasa lebih baik tarik diri daripada sebarang pencalonan dan hanya memberi fokus pada tugas pengacaraan.

Adakah keputusan tersebut diambil kerana anda menerima tekanan daripada orang ramai?

Secara logiknya, memang kita (saya dengan Nabil) tidak patut berada dalam pencalonan. Sebenarnya, selepas menerima reaksi yang tidak menyenangkan beberapa tahun sudah, saya ada berbincang dengan Nabil untuk tidak lagi bertanding. Bagaimanapun, andai pada masa depan saya terlibat dengan projek lakonan bersama Astro yang memerlukan saya bertanding, keputusan pengunduran diri akan pertimbangkan semula. Buat masa sekarang, saya hanya mahu fokus untuk tugas pengacaraan.

Sampai bilakah anda ingin mengacarakan program MeleTOP?

Sejujurnya, sampai hari ini memang tiada perancangan untuk berhenti daripada mengacarakan program MeleTOP. Jika boleh, saya ingin bersama dengan MeleTOP selama yang mungkin kerana pada masa sama, saya masih mampu melunaskan urusan seni yang lain. Minta didoakan agar program MeleTOP sentiasa diperbaharui dan terus diperkaya dengan kandungan yang mantap.

Apakah pandangan anda apabila ramai yang kurang senang dengan fesyen yang digayakan anda sejak kebelakangan ini?

Jika terus diberi ruang untuk orang lain menahan saya daripada melakukan sesuatu, saya memang tidak akan bergerak ke hadapan. Tidak kisah apa yang orang ingin katakan, saya tetap akan mencapai apa yang diimpikan. Saya tidak akan biarkan diri senang dijentik oleh kritikan.

Maaf bertanya, berkenaan kemelut rumah tangga kakak anda Nabila dengan Sharnaaz. Sebagai orang yang rapat dengan Nabila, apa yang boleh anda jelaskan?

Tidak adil untuk saya memberi komen tentang hal orang lain. Apa yang boleh dikatakan, saya menyayangi kakak dan anak buah, Jebat Jayden. Saya hanya mahu yang terbaik buat mereka. Justeru, saya berharap orang ramai, keluarga dan sahabat semua boleh menjadi penyokong untuk kakak dan kedua-dua mereka supaya dapat melaluinya dengan tabah.

Apakah pendapat anda tentang adik, Ameera Khan yang mengikut jejak langkah anda terlibat dalam dunia seni?

Saya sangat bangga. Nasihat saya, untuk berada dalam industri ini mental perlu kuat dan kental. Saya pun tidak sangka dia boleh pergi sejauh ini. Sebenarnya, mental dia lagi kuat daripada saya sebab permulaan kami dalam industri sangat berbeza. Dia tidak bermula sebagai pelakon, penyanyi atau pengacara, namun tidak mudah terkesan dengan apa yang orang kata tentang dirinya.

Bagaimana anda akan membimbing dia untuk terus mara dengan cemerlang dalam bidang seni?

Dia bertuah kerana saya sudah berada dalam bidang ini tatkala dia baru hendak bermula. Oleh itu, saya boleh memberi bimbingan dan nasihat. Jika betul dia ingin menjadi seorang pengacara, saya akan pilih apa yang terbaik buatnya. Saya akan pastikan dia tidak akan tersilap langkah. Bagaimanapun, dia pasti akan melakukan kesilapan kerana itu adalah proses pembelajaran. Dia pernah memberitahu ingin terjun ke bidang seni bukan sebagai pelakon, tetapi pengacara.

Post a Comment

Previous Post Next Post