Shiha Zikir menanti sinar, gerbang bahagia




Shiha kini masih menunggu waktu tepat untuk bercerita lanjut perancangan untuk berkahwin. Jika ada jodoh dengan kekasihnya yang bernama Arul, Shiha sedia untuk menamatkan zaman bujang.

Wanita ini mempunyai pakej lengkap untuk memahat nama sebagai penyanyi yang disegani dalam arena seni suara tempatan. Wajah yang jelita, listrik vokal memukau dan fizikal menawan. Namun, entah di mana silapnya, kerjaya seninya bergerak perlahan pada skala mendatar.

Perihal tersebut ditelan penuh sabar oleh Shiha Zikir atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir, 31. Bukan menidakkan posisi pelantun Jagakan Dia itu dalam industri, namun ada ruang yang boleh diisi untuk dirinya terus berganjak, sekali gus membina nama selayaknya sebagai penyanyi.

“Sekali pun saya tidak lagi diraikan sebagai penyanyi atau telah berhenti menyanyi dalam arus perdana, saya akan tetap menyanyi di mana-mana.

“Ada orang cakap, saya belum mendapat lagu yang benar-benar ‘kuat’ sebagai seorang penyanyi. Saya akur dengan perkara itu namun, saya tidak akan mengalah hanya kerana tiada lagu yang popular dalam kalangan khalayak.

“Saya percaya setiap pendengar mempunyai selera berbeza-beza. Saya tidak akan pernah boleh memuaskan hati semua orang, namun apa yang boleh saya lakukan hanyalah terus berjalan dan cuba melahirkan karya yang bagus dari semasa ke semasa,” ujar Shiha yang mula dihidu bakatnya melalui program realiti Mentor 5 pada 2011.

Kahwin

Sementara itu, disuakan pertanyaan berkenaan perancangan kahwin dengan teman lelaki, Kamarul Arifin Baharun, 32, Shiha berkata, buat masa sekarang, masih belum ada perancangan ke arah itu.

Ujarnya, dia tidak mahu berkongsi perkara yang belum pasti walaupun sudah lebih 10 tahun menjalin percintaan.

“Saya tidak berani cakap kerana sebelum ini saya kata ingin berkahwin, namun sampai sekarang perkara itu masih belum menjadi kenyataan. Saya tidak mahu orang kata saya main-main soal kahwin.

“Saya cakap dengan Arul, kalau betul-betul sudah bersedia dan ada perancangan, saya bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Buat masa sekarang, memang belum ada perancangan kahwin,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Shiha berkata, pengalaman orang lain yang gagal dalam rumah tangga membuatkan dia sentiasa berhati-hati untuk melangkah ke fasa penting dalam kehidupan.

“Sekarang, lebih baik fokus dengan kerjaya dan perniagaan. Orang senang berkata, kahwin sahajalah kemudian hal kerjaya berjalan seiring namun mereka tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir.

“Saya juga ada kawan yang bercinta, kemudian berkahwin dan namun malangnya, perkahwinan hanya bertahan dalam tempoh yang singkat. Saya tidak mahu perkara itu berlaku kepada saya,” tutur Shiha.

Dikacau VIP

Melanjutkan bicara, Shiha mendedahkan, ada orang kenamaan (VIP) yang cuba mendekatinya biarpun sudah mengetahui dirinya sudah mempunyai kekasih.

Shiha bagaimanapun menolak pelawaan individu tersebut dengan cara baik.

“Sebenarnya, ada juga golongan VIP ingin cuba mendekati saya. Sampaikan orang itu sanggup datang ke Indonesia jika saya berada di negara itu untuk keluar bersama.

“Sedangkan mereka tahu saya sudah mempunyai kekasih. Mungkin mereka ingat saya sudah berpisah dengan kekasih sebab jarang memuat naik foto bersamanya di sosial media seperti Instagram.

“Teras hubungan saya dengan Arul adalah kepercayaan. Dia percaya saya dan saya juga begitu. Ada juga lelaki yang depan-depan suruh putus dengan Arul sebab dia rasa saya lebih sesuai bersamanya,” terang Shiha.

Bukan itu sahaja, Shiha juga berkongsi cerita bahawa kekasihnya juga diganggu bukan sahaja wanita lain malah kaum sejenis.

“Zaman sekarang memang pelik-pelik. Bukan sahaja Arul diganggu wanita lain, dia turut pernah diganggu kaum sejenis. Nasib baik Arul sejenis seorang lelaki yang penyabar dan bukan jenis suka melenting.

“Urusan jodoh, saya berharap Tuhan permudahkan dan saya mengharapkan doa daripada orang ramai. Siapa tahu, mungkin selepas 10 tahun bercinta, Arul kahwin dengan orang lain. Itu semua ketentuan Allah SWT,” terang Shiha yang merupakan anak didik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Indonesia

Beralih soal kerjaya seninya yang semakin mewangi di Indonesia, Shiha yang baru sahaja muncul dengan single dangdut berjudul Pipiyama sangat bersyukur dengan penerimaan peminat di negara seberang terhadap lagunya.

“Mulanya berasa was-was untuk merakam lagu Pipiyama namun Arul yang turut bertindak sebagai pengurus saya memberi galakan positif.

“Terharu kerana sambutan di sana sangat memberangsangkan. Orang cakap kalau penyanyi Malaysia lancar lagu di sana jangan harap radio ingin mainkan lagu namun itu tidak berlaku kepada saya.

“Alhamdulillah, dua minggu selepas dilancarkan di sana sudah masuk carta dan prestasi di carta semakin meningkat. Saya bersyukur sangat dengan sambutan. Insya-Allah dalam bulan ini saya akan ke Indonesia untuk menjalani penggambaran klip video,” ujarnya.

Berkongsi kisah artis pertama yang kbernaung bawah syarikat rakaman miliknya, SZ Entertainment iaitu Kay Khydir, Shiha percaya dengan bakat nyanyian penyanyi itu yang kini muncul dengan lagu terbaharu berjudul Bukan Bahagiaku.

“Saya sudah lama kenal Kay. Saya kagum dengan kemampuan vokalnya dan percaya dia boleh pergi jauh kalau tidak pernah berhenti berusaha.

“Satu yang saya selalu ingatkan dia, menyanyi bukan kerana ingin popular namun didukung semangat ingin berkongsi bakat kurniaan Tuhan dengan orang ramai,” tutup Shiha yang kini sedang dalam proses mengumpul material untuk single terbaharu berentak rancak.

Shiha Zikir menjawab soal perancangan kahwin dengan kekasihnya, Arul yang masih samar-samar walaupun sudah 10 tahun bercinta. Mengakui kerjaya nyanyiannya bergerak perlahan, wanita ini tetap optimis.

Post a Comment

Previous Post Next Post