Pernah mendapat jolokan sebagai Pesona Bintang daripada penerbit filem tersohor Datuk Yusof Haslam, bukan setahun dua gadis berasal dari Ranau, Sabah ini menghilangkan diri, tetapi 15 tahun lamanya.
Sejurus graduasi daripada program Akademi Fantasia musim kedua (AF2), nilai populariti Linda ketika bintang seangkatannya bergelut mencipta nama, Linda Nanuwil atau nama sebenarnya Norlinda Nanuwil dengan mudah memakai kalungan glamor, sekali gus melakar nama dalam industri.
Membuat kemunculan sebagai pelakon utama menerusi sekuel filem Gila-Gila Pengantin Popular, Linda pernah berdiri sebaris primadona Erra Fazira dan Nora Danish yang turut berlakon dalam filem sama.
Bagaimanapun, gemerlap bintang yang menyinari kerjaya Linda tidak bertahan lama.
Keputusannya untuk pulang ke kampung halaman sekitar tahun 2008 menjadi pembunuh senyap yang meratah kariernya.
Tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut, Linda menjelaskan, sejurus pulang ke Sabah, dia berdepan aturan takdir Tuhan apabila bapanya meninggal dunia.
Belum hilang perasaan duka kehilangan bapanya, setahun kemudian, ibunya pula meninggal dunia.
“Hubungan saya dan kedua-dua ibu bapa sangat rapat. Ketika pemergian bapa, saya bergelut untuk mencari semangat meneruskan kehidupan.
“Ketika masih berduka dengan pemergian bapa, ibu pula menyusul. Saya mengambil tempoh yang terlalu lama untuk menguatkan diri sehinggalah pada ketika ini saya bersedia dan kembali mempunyai kekuatan,” luahnya.
Sesuatu yang menarik tentang Linda, biarpun berbelas tahun tenggelam daripada arena seni, namanya masih utuh dalam ingatan ramai. Dia masih dikenali sebagai pemilik vokal Jika Kau Kekasih dalam kalangan khalayak.
Berbekalkan satu-satunya lagu sentuhan Ajai dan Nurul tersebut, Linda bersyukur kerana tuah Jika Kau Kekasih meninggalkan bekas dalam kariernya.
“Saya akui lagu Jika Kau Kekasih sangat popular dan dimainkan di corong radio selepas saya tamat AF. Malah peminat sering bertanyakan klip video untuk lagu itu.
“Keputusan pulang ke Sabah menyebabkan agenda seni saya tergendala termasuk pembikinan klip video Jika Kau Kekasih.
“Biarpun begitu, saya terharu, masih ada yang mengenali saya menerusi Jika Kau Kekasih,” luahnya yang kini semakin matang seiring usia 35 tahun.
Tidak pernah berkahwin
Melihat senyuman manisnya, tiada perubahan pada raut wajah penyanyi itu. Pekat dengan dialek Sabah sepanjang perbualan, meski tanpa busana mewah penampilan Linda tetap jelita.
Tekad kembali mencuba nasib dalam industri sejak tahun lalu, buat masa ini Linda berharap peminat memberikan sokongan yang berterusan kepadanya.
“Biarpun kisah saya tidak keluar dalam mana-mana media, hakikatnya, saya masih menerima persembahan pentas di Sabah.
“Saya masih menampung kehidupan dengan menyanyi dan menerima tawaran persembahan korporat,” katanya yang tidak pernah terfikir bahawa kariernya akan terkubur begitu sahaja.
Sekembalinya ke persada industri, Linda masih tidak terlepas daripada kontroversi lama iaitu telah mendirikan rumah tangga senyap-senyap.
Sudah beberapa kali menafikan tuduhan tersebut, kali ini persoalan sama masih perlu diperjelaskan.
Katanya, pengunduran daripada industri sekitar tahun 2008 antara penyumbang menguatkan ‘dongeng’ dirinya telah berumah tangga.
“Saya pelik dan penat menerangkan kepada umum bahawa saya tidak pernah berkahwin. Kadangkala saya merasa lucu dengan tuduhan khalayak.
“Hinggakan pada satu tahap, ada individu mendakwa pernah hadir ke majlis perkahwinan saya. Ada pula dakwaan kononnya saya telah bercerai. Apabila masih berdepan dengan perkara ini saya sudah semakin lali,” tegasnya.
Sungguh pun begitu, Linda tidak mahu fitnah tersebut berterusan menghantui kehidupannya. Sekali lagi tegas Linda, dia masih solo.
Menyingkap status terkini, tanpa berat rasa dia mengakui sedang mengenali hati budi seorang jejaka yang turut berasal dari Sabah.
Tidak berkongsi lebih mendalam mengenai identiti jejaka berkenaan, namun sinar matanya jelas mencerminkan fasa bahagia yang sedang dilalui.
“Saya tidak mahu kongsi terlalu banyak mengenai dia. Dia merupakan lelaki tempatan yang berasal dari Sabah. Seorang yang sangat sederhana dan memahami saya,” kongsinya tersipu malu.
Belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Linda ingin fokus terhadap membina kerjaya sebelum beralih ke langkah seterusnya.
Khuatir gagal menggalas komitmen sebagai penyanyi dan isteri, Linda bagaimanapun menetapkan sasaran untuk berkahwin sebelum mencecah usia 40 tahun.
Penampilan semula
Kembali berkisar mengenai kerjaya, perjumpaan bersama bintang AF2 di Kuala Lumpur baru-baru ini bakal menyaksikan penampilan Linda dalam sebuah persembahan berskala konsert menjelang Ogos depan.
Teruja untuk menjayakan konsert berkenaan, Linda meluahkan kerinduan membuat persembahan sepanjang konsert mingguan di pentas AF2. Dia juga yakin penampilan 12 bintang AF2 dalam konsert berkenaan pasti menggamit memori.
“Perasaan saya pada ketika ini bercampur-baur. Sudah tentu saya gementar, pada masa sama tidak sabar. Saya berharap konsert ini antara platform untuk meletakkan saya dalam industri,” katanya.
Sempat menyentuh mengenai strateginya untuk bersaing dengan pendatang baharu industri, Linda tidak pernah menganggap kehadirannya untuk memberi persaingan.
Malah terdapat juga beberapa pihak yang mengimpikan untuk melihat dirinya bersaing di pentas Gegar Vaganza (GV).
“Saya akui GV sebagai platform yang terbaik untuk para artis membuat kemunculan semula seterusnya dikenali dalam kalangan peminat baharu.“Bagaimanapun, melihat senarai peserta, mereka terdiri daripada legenda pada era masing-masing. Secara peribadi, saya jauh kerdil berbanding mereka,” luahnya jujur.
Tidak mahu mensia-siakan peluang kedua, Linda kini dalam pembikinan menyiapkan naskhah terbaharunya.
Bertindak sebagai penulis lirik, manakala susunan muzik daripada seorang yang amat berpengaruh dalam industri, Linda tidak sabar melihat buah tangan baharunya menemui peminat.
“Sekiranya proses rakaman berjalan lancar, mungkin buah tangan baharu ini akan menemui peminat dalam masa terdekat,” tuturnya.
Enggan mempersia-siakan peluang kedua daripada peminat, Linda Nanuwil kini sedang merealisasikan rencana seni untuk 2019.