Ahmad Idham amal dasar buka pintu




Pengarah dan pelakon Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baharu berkuatkuasa 11 Mac lalu.

Berita pelantikan itu diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi satu kenyataan rasmi.

Jawatan yang disandang oleh Ahmad Idham, 45, itu diambil alih daripada Shakib Ahmad Shakir yang bertindak selaku pemangku sejak empat bulan lalu.

Terharu kerana dipilih memegang jawatan tersebut, Ahmad Idham bagaimanapun mengakui amanah yang dipikul bukan satu tugas yang mudah untuk dilaksanakan.

Idham berjanji berpegang prinsip mengamalkan dasar buka pintu kepada mana-mana penggiat seni yang mahu duduk semeja dengannya bagi membincangkan apa jua permasalahan berkaitan industri.

Ikuti penjelasan daripada pengarah filem Puaka Niang Rapik itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

KOSMO!: Tahniah atas pelantikan anda sebagai CEO Finas yang baharu. Apa boleh Idham katakan tentang pelantikan tersebut?

AHMAD IDHAM: Alhamdulillah, sejujurnya saya berasa sangat gembira kerana terpilih memikul tanggungjawab ini. Pemilihan ini menyaksikan saya menjadi orang dalam industri pertama yang diberi mandat oleh kementerian bagi menerajui badan penggerak kemajuan industri perfileman. Biarpun begitu, saya akui peranan ini hadir bersama tanggungjawab yang besar untuk membuktikan saya adalah pilihan yang tepat.

Umum mengetahui sejak dahulu kerap berlakunya kepincangan dalam Finas. Sebagai orang baharu, sudahkah anda bersedia dengan isi tersendiri untuk memacu pembangunan industri?

Saya faham dan sedar bahawa industri filem tanah air selama ini berdepan banyak dilema tetapi itulah tugas yang perlu saya selesaikan. Contohnya, bagaimana hendak menyumbang pembangunan ekonomi industri. Namun, saya juga mahu menekankan kebajikan dalam industri kerana kedua-dua aspek itu perlu berjalan seiring.

Apa pula misi yang anda bawa dalam menerajui jawatan tersebut?

Saya bersikap telus dan terbuka dalam menjalankan tugas. Malah sikap itu juga yang dimahukan kerajaan bagi memastikan industri filem terus bergerak ke hadapan. Dalam kesempatan ini, saya juga mahu memberi pesanan awal kepada mana-mana penggiat seni di luar sana.

Kalau anda ada sebarang cadangan atau usul yang mahu dibentangkan, datanglah berjumpa dengan saya. Tidak kira apa pun, saya bersedia membuka pintu kepada mereka untuk duduk semeja dan berbincang. Jangan cakap buruk belakang saya. Jumpa dan kenal dahulu. Saya tidak mahu bertelagah sesama sendiri sebab misi saya adalah untuk menyatukan semua.

Jika memegang jawatan di Finas yang merupakan wakil kerajaan dalam kerajaan membabitkan hal ehwal industri perfileman, anda perlu melepaskan apa jua bentuk perniagaan yang anda ada. Bagaimana dengan anda?

Itulah pengorbanan terbesar yang perlu saya lakukan. Demi jawatan ini, saya lepaskan semua saham syarikat kerana saya perlu bersikap neutral. Seperti yang kerajaan mahu, mana-mana individu atau badan perlu mengamalkan ketelusan, jadi saya juga perlu berbuat perkara serupa.

Tugas baharu ini pasti mengundang pelbagai respons, bagaimana anda mahu tanganinya?

Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Sejujurnya saya tidak kisah sebab itu hak masing-masing. Cuma saya mohon kepada semua di luar sana, jangan awal-awal lagi sudah mahu kecam sedangkan saya belum pun memulakan tugas. Jadi macam mana kalian mahu tahu setakat mana kemampuan saya jika hasilnya belum ada.

Post a Comment

Previous Post Next Post