Gerakan solo Izzue Islam




Belum sampai setahun membuat keputusan drastik meninggalkan kumpulan Forteen setelah tujuh tahun bersama, Izzue Islam semakin selesa mengatur kerjaya secara solo.

Mengakui adakalanya, merindui momen beraksi secara berkumpulan di atas pentas, namun perkara tersebut bukan alasan baginya untuk menghentikan langkah sebagai penyanyi solo.

Oleh sebab itu, Izzue atau nama sebenarnta Muhammad Izzuddin Islam Mazlan, 29, memilih untuk menutup buku kisah perbalahan antaranya dan Forteen.

“Alhamdulillah, setelah beberapa bulan tidak lagi bersama kumpulan Forteen saya semakin selesa untuk bergerak secara solo. Cuma perasaan agak berbeza apabila membuat persembahan secara solo selepas keluar daripada Forteen.

“Jika dahulu ketika membuat persembahan solo atas kapasiti projek, saya membawa semangat Forteen di atas pentas. Kini saya bukan lagi Izzue Forteen,” katanya membuka bicara.

Tidak pernah merajuk hati atau menyimpan dendam terhadap bekas ahli kumpulannya, Izzue menyifatkan momen ketika bersama Forteen cukup berharga.

Persahabatan yang terjalin bersama Forteen menjadikan hubungan mereka lebih daripada sekadar rakan artis semata-mata. Biarpun tidak lagi bersama Izzue menegaskan, Ariz, One dan Ameer adalah sahabatnya.

“Walaupun selepas meninggalkan Forteen itu bukan bermakna saya perlu memusuhi mereka. Kami masih bersahabat. Hubungan kami sudah umpama keluarga dan bukan sebagai rakan artis semata-mata.

“Mungkin pada masa akan datang kami boleh berkolaborasi dalam sebarang projek kerana saya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mereka,” tuturnya.

Saat masih bersisa rindu terhadap Forteen, Izzue ditebak soalan tentang keputusan yang akan diambil sekiranya dilamar untuk kembali bersama kumpulan berkenaan.

Tanpa berselindung, Izzue pantas menegaskan dia tidak berhasrat untuk kembali bersama Forteen. Sekiranya wujud kerjasama pada masa akan datang, dia ingin dikenali sebagai Izzue Islam.

Kias Izzue, perpisahannya dengan Forteen bagaikan sebuah perkahwinan yang berakhir dengan perceraian talak tiga.

“Sejujurnya sehingga sekarang saya tidak pernah memikirkan untuk kembali bersama Forteen. Insya-Allah jika mahu bekerjasama saya boleh lakukan” jelasnya.

Bagaimanapun, ujar pelakon XX Ray 3 itu, sekiranya terdapat penganjur yang ingin menggabungkan dirinya bersama Forteen di atas pentas, dia tidak mempunyai sebarang masalah.

Memilih untuk bersikap profesional, Izzue tidak dapat menafikan peminat pasti sukar menyisihkan imej Forteen daripadanya.

“Sekiranya ada penganjur yang mahu kami berempat beraksi dalam satu persembahan pentas, saya tidak mempunyai masalah. Jika mereka masih mahukan suara saya dalam single Forteen juga bukan satu masalah,” tuturnya.

The Novic Gypsy

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, Izzue baharu sahaja meluncurkan single bertajuk Kau yang turut menjadi runut bunyi filem XX Ray 3.

Menerusi single ketujuh tersebut, Izzue dilihat selesa mempromosikan lagu berkenaan bersama dua anak muda yang dikenali sebagai The Novic Gypsy.

Sudah bosan untuk menyanyikan lagu Kau menggunakan minus one, Izzue berkata, kerjasama bersama kumpulan yang terdiri daripada Joseph dan Adam itu memberi nafas baharu dalam setiap persembahannya.

“Saya mengenali The Novic Gypsy melalui rakan industri. Ketika kali pertama mendengar hasil kerja mereka yang juga penerbit muda, saya telah tertawan.

“Saya yakin dengan kerjasama bersama mereka mampu untuk memberi elemen baharu dalam persembahan saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keistimewaan kumpulan pasangan adik-beradik itu, Izzue menjelaskan, mereka berupaya menjana pelbagai idea segar.

Biarpun menggunakan peralatan muzik minimum di atas pentas, tetapi The Novic Gypsy mampu menghasilkan pelbagai genre melodi.

“Joseph pakar dalam peralatan muzik Midi Controller. Adam pula boleh bermain gitar. Mereka sangat berbakat dan berkebolehan untuk membuat persembahan secara langsung,” tutur Izzue.

Di sebalik keterujaan kembali beraksi di pentas sebagai bersama sebuah kumpulan, Izzue menjelaskan dia dan The Novic Gypsy merupakan dua entiti yang berbeza.

“Kerjasama antara saya dan The Novic Gypys bukanlah sebagai sebuah kumpulan. Buat masa ini kami hanya tampil di pentas bersama-sama.

“Sekiranya ada sambutan yang menggalakkan, kami boleh berkarya dan memperkenalkan projek bersama-sama. Sungguh begitu, saya memberi kebebasan kepada mereka untuk berkarya,” ulasnya.

Meskipun karier seninya bermula sebagai penyanyi, Izzue bagaimanapun dilihat lebih cenderung dikenali peminat menerusi bidang lakonan.

Pemegang trofi Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) itu turut tidak menafikan kerjaya lakonannya lebih menonjol sepanjang hampir sedekad bergelar anak seni.

Mengimpikan kerjaya yang seimbang, Izzue menzahirkan hasrat untuk memperbaiki diri dalam kedua-dua bidang berkenaan.

“Pada pendapat saya tiada istilah bidang lakonan didahulukan atau bidang nyanyian sebagai keutamaan. Saya serius berkarya dalam kedua-dua bidang tersebut.

“Saya mahu suatu hari nanti peminat menerima saya dalam kedua-dua bidang. Dunia lakonan dan nyanyian perlu berjalan seiringan. Kedua-dua ini adalah minat saya,” tuturnya.

Sejak bersama Forteen lagi kredibiliti vokal Izzue sering menjadi pertikaian. Izzue yang sekadar tersenyum sinis dengan kenyataan tersebut mengambil pendekatan untuk terus memperbaiki diri.

“Saya sedar suara saya tidak sehebat penyanyi yang ada dalam pasaran semasa. Namun, saya yakin terdapat genre lagu yang sesuai dengan tahap vokal saya.

“Saya meletakkan diri sebagai seorang penghibur. Saya akui saya bukan penyanyi yang hebat,” luahnya.

Cahaya mata

Beralih bicara tentang kehidupan peribadinya, selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri yang juga pengurus peribadinya, Nurinafilah Waharudin atau lebih dikenali sebagai Awin, Izzue tidak berselindung mengidamkan cahaya mata.

Jelasnya, dia dan isteri telah puas hidup berdua dan menginginkan cahaya mata sebagai pelengkap dan penyeri kehidupan berumah tangga.

“Saya tidak pernah berhenti berdoa untuk mendapatkan cahaya mata kerana sedar anak adalah rezeki daripada Allah. Sepanjang beberapa tahun yang lalu kami telah berusaha.

“Namun, Allah menetapkan tiada rezeki untuk kami. Pada tahun ini kami akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Menurutnya, mereka akan menumpukan usaha untuk mendapatkan zuriat termasuklah bertemu dengan pakar rawatan kesuburan.

“Selepas mengadakan perbincangan hati ke hati, saya dan Awin berasakan sudah tiba masanya untuk kami mendapatkan bantuan pakar. Kami tidak menyalahkah antara satu sama lain berkenaan hal anak.

“Mungkin usaha kami belum cukup. Jadi sebagai hamba, saya hanya terus berusaha. Saya juga berharap peminat akan turut berdoa agar impian kami untuk menjadi ibu bapa dimakbulkan,” tuturnya menutup bicara.

Menutup buku kisah perpisahannya dengan Forteen, Izzue Islam mengakui semakin bebas berkarya dan selesa untuk bergerak solo.

Post a Comment

Previous Post Next Post