Haziq Rosebi terus perjuang irama Malaysia




Biarpun muncul ramai penyanyi baharu dengan pelbagai genre lagu, Haziq tetap setia memperjuangkan muzik irama Malaysia sejak bergelar penyanyi 13 tahun lalu.

Bertemu dengan penyanyi Haziq atau nama sebenarnya, Hazwan Haziq Rosebi pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-33 baru-baru ini, kelibatnya tidak banyak berubah, masih setia memperjuangkan lagu irama Malaysia sejak zaman Akademi Fantasia musim keempat (AF4).

Biarpun 13 tahun telah berlalu, Haziq tidak pernah melupakan program AF4 yang menjadi tapak buat dirinya untuk bergelar penyanyi.

Walaupun tidak menang, dan kerjaya seninya bergerak perlahan sejak program tersebut berakhir, satu perkara yang harus diakui, lelaki berusia 31 tahun itu mempunyai ruang dan tempat tersendiri dalam industri muzik tanah air. Pergi sahaja ke acara yang memerlukan penyanyi ‘lama’ atau berentak irama Malaysia, dia antara pelengkap yang wajib ada.

Berbicara mengenai karier seninya, Haziq merancang untuk melahirkan single baharu yang masih berentak irama Malaysia, namun diselitkan unsur moden. Jelasnya, dia mendapat inspirasi selepas melihat kejayaan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang muncul dengan lagu Anta Permana.

Menyentuh kehidupan peribadi, Haziq cukup bahagia dengan kehidupan berkeluarga bersama isteri, Maisarah Mohd. Sidki dan putera sulungnya, Yusuf Zidane yang berusia dua tahun lima bulan. Lebih menggembirakan dia juga bakal menimang anak kedua kerana isterinya kini hamil enam bulan.

Selain itu, Haziq turut berkongsi mengenai rahsianya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dalam tempoh lima bulan.

Apa khabar Haziq? Apakah rahsia anda kelihatan semakin kurus?

Haziq: Alhamdulillah, saya sihat. Kurus sebab saya mengamalkan diet Intermittent Fasting sejak lima bulan lalu. Ingin kurus bukan kerana didorong mahukan fizikal yang ramping atau menarik, sebaliknya saya cuma mahu mengamalkan gaya hidup sihat.

Boleh kongsikan penurunan berat badan yang berjaya anda lakukan?

Berat badan saya turun sebanyak 12kg. Berat badan asal saya adalah 72kg dan berat kini 60kg. Diet yang diamalkan memang berkesan, malah ramai selebriti lain seperti Lisa Surihani pun mengamalkan diet yang sama. Bukan terlalu ingin kurus, saya cuma usus berehat supaya boleh menjalani kehidupan dengan lebih sihat.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu karier seni anda?

Saya sedang merancang untuk mengeluarkan single terbaharu bergenre tradisional campuran. Saya berharap lagu yang akan dirakamkan bakal mendapat tempat di hati peminat dan berpeluang untuk dimainkan di corong-corong radio.

Saya belum menjalani proses rakaman kerana sedang mencari komposer yang sesuai. Melihat kejayaan lagu Anta Permana nyanyi Siti Nurhaliza bermakna irama tradisional masih diminati ramai.

Bagaimana anda melihat kesinambungan lagu irama Malaysia dalam industri muzik tempatan?

Bagi saya, ruang itu sentiasa ada jika kena dengan caranya. Mengambil contoh Siti Nurhaliza, beliau rakam apa sahaja genre lagu, stesen radio tetap akan putarkan lagunya.

Contoh lain, Wany Hasrita pun pernah cuba untuk membangkitkan semula genre irama Malaysia.

Itu satu usaha yang harus dipuji. Andai semakin ramai penyanyi muncul dengan lagu sedemikian, semakin cerah peluang untuk muzik irama Malaysia kembali ke zaman kegemilangannya.

Adakah anda sedar peluang untuk kembali ke zaman kegemilangan irama Malaysia adalah tipis?

Kita semua harus terus berusaha untuk memartabatkan muzik irama Malaysia. Belum cuba belum tahu. Tidak mungkin, kita sebagai rakyat Malaysia mahu biarkan muzik kebanggaan dan tradisi mati begitu sahaja. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan perjuangkan?

Bagaimana dengan kehidupan peribadi anda sekarang?

Alhamdulillah, anak pertama, Yusuf Zidane semakin membesar. Sekarang dia sudah berusia dua tahun lima bulan. Isteri saya, Maisarah kini sedang mengandungkan anak kedua. Usia kandungan sudah masuk bulan ke enam.

Bagaimanapun saya belum tahu lagi jantinanya. Namun, saya tidak kisah untuk mendapat anak perempuan atau lelaki, asalkan bayi yang lahir sihat sudah memadai.

Post a Comment

Previous Post Next Post