Elly Mazlein Bukan alasan untuk kecewa




Mengakui rezekinya semakin murah dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Elly Mazlein, 38, tidak kecewa apabila bidang nyanyian kurang menyerlahkan bakatnya.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, walaupun pada awal kemunculan dia bergerak sebagai penyanyi, rezekinya kini lebih kepada bidang berbeza.

“Saya akui bidang nyanyian agak sendu dan suam-suam kuku saja. Namun itu bukan alasan untuk kecewa sebaliknya apa juga rezeki yang datang saya terima.

“Memang sekarang tawaran berlakon dan mengacara lebih banyak saya terima dan tetap bersyukur,” katanya.

Elly berkata, sepanjang tahun ini juga jadualnya begitu sibuk dengan pengacaraan dan dia tidak sangka selepas mengendalikan Anugerah Skrin (ASK) 2018, tawaran tidak pernah putus.

“Tidak sangka pula selepas mengacara di ASK2018 banyak tawaran mengacara saya terima sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana kekangan masa.

“Saya sendiri tidak sangka orang nampak bakat saya sebagai pengacara. Saya bersedia menerima segala kritikan dan teguran serta akan berusaha memperbaiki supaya lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kerjaya lakonan, Elly tidak menyangka peminat lebih sukakan dia memegang watak antagonis.

“Saya menerima apa juga watak yang diberikan. Selepas melakonkan karakter antagonis semakin banyak pula tawaran watak sebegitu saya terima.

“Namun begitu, saya tidak mahu dikatakan membawa watak yang klise dan kerana itu kadangkala selitkan unsur jenaka.

“Secara tidak langsung penonton yang pada awalnya marah dan benci melihat watak saya berubah jadi suka dan itulah formula yang akan saya teruskan supaya orang tidak bosan,” katanya.

Beralih kisah peribadi Elly yang sedang mengenali seorang jejaka berusia lewat 20-an mengakui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Baginya, usia bukan halangan, tetapi sikap matang, penyayang dan bertanggungjawab yang ditunjukkan jejaka itu menambat hatinya untuk berkahwin lagi.

“Alhamdulillah, saya sudah bersedia 90 peratus. Walaupun perkenalan kami masih awal, sikap yang dia tunjukkan mengubah perasaan saya.

“Meski bekerja sebagai penjawat awam dia sangat memahami kerja saya sebagai anak seni yang sibuk dan tidak tentu masa.

“Kadang-kadang apabila saya sibuk, dia akan datang melawat anak saya, Sephia dan menghabiskan masa dengan si kecil itu. Malah Sephia pun sudah mula memanggilnya papa,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post