Hana Elite tak rindu glamor


Hampir sedekad lamanya bekas anggota Elite yang juga model, Hana meninggalkan kumpulan wanita popular itu.

Kali terakhir berita mengenai Hana Elite diperkatakan membabitkan masalah tuntutan hutang sehingga dia diisytihar muflis yang dibuat seorang lagi anggota Elite yang kini aktif berlakon, Watie (Norwati Sadali) pada 2013.

Hana Elite atau Norhanasafiza Mat Adnan, diisytihar muflis pada April 2013 kerana gagal menyelesaikan bayaran pinjaman bank sedangkan pada masa sama, dia sendiri tidak mengetahui mengenai pinjaman itu.

Bagaimanapun, kes itu selesai pada 2015 apabila mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Watie kerana membuatkan selebriti itu muflis.

Bertemu Hana baru-baru ini, dia tetap ramah dan ceria. Katanya, dia kini gembira dengan hidupnya dan menjalani kehidupan sebagai wanita berkerjaya.

Katanya, dunia glamor sudah lama ditinggalkan dan tidak mahu lagi menyanyi dan berlakon, sebaliknya lebih selesa dengan tugas di pejabat.

“Cuma sesekali kalau ada permintaan, saya masih memperaga dan meneruskan kerjaya sebagai model. Pada usia sekarang, saya berasakan sudah masanya untuk memperlahankan rentak kehidupan dengan memberikan tumpuan kepada kerjaya sepenuh masa.

“Saya sekarang bekerja dengan syarikat pengurusan majlis. Begitupun, saya tidak membuat kerja lapangan sebaliknya lebih menjurus pada urusan di pejabat. Cuma sesekali saya akan keluar dan berurusan dengan pelanggan,” katanya.

Hana, 39, akui pada usianya sekarang dia berasa canggung menghadiri majlis hiburan apatah lagi dengan kebanjiran ramai wajah baru dalam industri seni.

“Kalau menghadiri majlis tertentu terutama membabitkan dunia hiburan, saya terasa terasing. Rasanya saya memang sudah tidak sesuai untuk bergelumang sebagai artis.

“Biarlah mereka yang lebih muda dan berkelayakan mewarnai dunia seni. Begitu juga dengan dunia fesyen, sekarang ini ramai model baru muncul, malah jauh lebih muda.

“Kalau memperaga pun, saya hanya menerima tawaran daripada teman pereka fesyen yang saya kenal dan rapat,” katanya.

Berkahwin dengan Adam Abdullah pada 17 Oktober 2000 tetapi bercerai Januari 2007, mendapat hak penjagaan bersama untuk dua anak mereka. Bagaimanapun kini anak, Aaron Danial, 16, dan Alayna Danialla, 15, tinggal bersama bapa mereka di London.

Kata Hana, walau berjauhan dengan mereka, rasa rindu bukan masalah kerana sekarang teknologi sudah maju. Setiap hari dia berinteraksi dengan Aaron dan Alayna menerusi Skype dan perkhidmatan komunikasi sedia ada.

“Untuk kata rindu sangat dengan anak kerana berpisah, tidak juga. Ibaratnya dengan adanya teknologi canggih sekarang hendak rasa rindu dengan anak pun tidak sempat.

“Cuma kalau kata sudah rindu sangat, saya akan bercuti dan terbang bertemu mereka di sana. Begitu juga sebaliknya, kalau mereka ada cuti panjang anak akan datang ke Malaysia bertemu saya,” katanya.

Hana setuju anak dijaga bekas suami kerana berasakan lebih baik Aaron dan Alayna duduk di sana berikutan kemudahan dari sudut pendidikan.

“Nanti kalau mereka dipindahkan ke sini, takut pelbagai masalah timbul terutama dari segi pelajaran. Kemudahan pendidikan di sana juga bagus, jadi biarlah mereka meneruskan pengajian di sana.

“Apabila mereka sudah tamat belajar, Aaron dan Alayna boleh memilih untuk bersama saya. Begitupun, urusannya tidak mudah kerana kedua-dua anak saya itu memegang kerakyatan Britain,” katanya.

Kata Hana, dia tidak pernah menjadikan jarak jauh dengan anak sebagai halangan untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan. Padanya, keselesaan anak terutama pada sudut pendidikan jauh lebih penting dan diberikan keutamaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post