Untuk apa lari, sembunyi Emma Maembong




Belum surut kepanasan kontroversi berkaitan penularan gambar-gambar panas pelakon Emma Maembong dan Syed Abdullah Syed Abdul Rahman iaitu abang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, pelakon itu sekali lagi muncul dengan tindakan mengejutnya apabila membuka tudung.

Pengakuan itu dibuat pada Rabu minggu lalu menerusi temu bual eksklusif bersama sebuah portal berita.

Menerusinya, Emma, 27, yang sudah lima tahun mengenakan hijab mengaku sudah tidak lagi bertudung sejak tiga hari sebelum tampil membuat pengakuan tersebut.

Tindakannya itu pantas mencuri tumpuan peminat yang rata-ratanya terkejut dengan keputusan diambil pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail tersebut kerana selama ini dia cukup terkenal dengan imej lemah lembut.

Namun, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu mendedahkan dia memiliki alasan yang sangat peribadi berhubung keputusan yang diambilnya.

Ikuti penjelasan daripada pelakon berusia 27 tahun itu ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Selepas penularan gambar panas anda beberapa minggu lalu, anda membuat keputusan mengejutkan ramai pihak iaitu membuka tudung. Boleh anda jelaskan sebab mengapa?

EMMA MAEMBONG: Secara jujurnya saya akui semenjak mengenakan tudung lima tahun lalu, perasaan saya ada turun naik tetapi tidak pernah ditunjuk kepada sesiapa. Saya seperti berperang dengan diri sendiri dan banyak memendamnya tanpa berkongsi kepada sesiapa. Saya akui, perbuatan ini bukanlah keputusan yang baik dan masyarakat di luar sana janganlah ikut jejak langkah ini. Cuma saya ada alasan tertentu yang tidak boleh dikongsikan dengan semua orang. Cukuplah hanya saya, Tuhan dan keluarga yang tahu.

Apakah keputusan membuka tudung disebabkan terkesan dengan penularan gambar panas anda?

Memang langsung tiada kaitan dengan kes itu. Saya tidak pernah terfikir pun untuk membuka tudung selepas gambar-gambar itu tersebar. Waktu itu saya masih berhijab dan mencari diri sendiri dengan belajar. Tetapi saya manusia biasa yang tidak sempurna. Sebelum ini saya ada kawan yang awalnya bertudung dan mengambil keputusan membukanya. Tetapi saya tidak pernah menghakimi sesiapa dan tetap memberi kata-kata semangat. Apabila perkara sama jadi terhadap diri sendiri, saya berharap orang akan melakukan hal serupa. Malangnya hanya caci maki dan fitnah yang dilemparkan kepada saya. Terlalu ramai memaki saya berkaitan gambar tersebut walaupun saya sudah meminta maaf dan cuba memperbaiki keadaan.

Hanya selepas beberapa hari mengumumkan tidak bertudung, anda tidak mengambil masa lama untuk memuat naik imej baharu dalam media sosial tanpa menutup ruangan komen. Apakah alasan anda?

Untuk apa saya mahu lari dan bersembunyi daripada kesilapan yang dilakukan sendiri? Kalau saya lari selama berbulan-bulan kemudian muncul semula, hasilnya tetap sama. Orang tetap akan mencari saya. Jadi saya hadapi semuanya sekarang. Saya tidak menutup ruangan komen sebab saya mahu tunjuk perangai dan sikap sebenar netizen kita yang gemar bercakap buruk tentang orang lain. Sedar atau tidak, mereka marah saya buka aurat tetapi pada masa sama mereka juga sedang buat dosa apabila mengutuk dan mencaci saya dengan kata-kata makian. Itukah yang dimaksudkan dengan memberi nasihat? Tidak, sebab apa yang mereka buat itulah sebenarnya buli siber.

Boleh jelaskan tentang status sebenar hubungan anda bersama Syed Abdullah?

Buat masa sekarang, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu. Saya bimbang, kalau dibicarakan nanti akan menimbulkan isu lain. Kejadian baru-baru ini pun sudah cukup membuatkan keluarga saya tertekan kerana dikecam, jadi cukuplah.

Ayah anda juga ada memuat naik status Facebook yang memanggil banyak perhatian. Boleh anda komen mengenai perkara tersebut?

Ibu bapa akan tetap menjadi ibu bapa. Mereka mahukan perkara terbaik untuk anak-anak. Sejujurnya, keputusan membuka tudung ini pun saya tidak beritahu atau berbincang dengan mereka terlebih dahulu. Saya akui, ayah kecewa dan sedih. Ibu dan ayah saya ada bertanya mengapa tidak kongsi masalah dengan mereka. Apabila memuat naik status begitu, saya sedar dia cuma mahu jadi ayah yang terbaik. Sebagai seorang ayah, dia ada memberi nasihat kepada saya untuk menentukan mana yang baik dan buruk dalam hidup. Tidak ada ibu bapa yang suka apabila jadi perkara begini terhadap anak mereka.

Post a Comment

Previous Post Next Post