Langkah progresif Insomniacks




Kehangatan kemunculan Insomniacks dalam industri muzik tanah air tidaklah sepantas artis baharu lain yang terus menempa cop populariti menerusi sebuah single, kumpulan yang dianggotai empat anak muda itu tetap bersyukur. Hari demi hari, kehadiran mereka kini semakin disedari khalayak.

Selepas muncul selaku band yang memperjuangkan irama pop rock dan punk rock sekitar tahun 2015 dengan gerakan sendiri, mereka mula membina tapak sebagai artis komersial secara rasmi pada tahun 2017.

Pada waktu tersebut, Insomniacks meletakkan single berjudul Selalu sebagai introduksi diri dengan membariskan empat anggota iaitu Syed Mir Iqbal selaku vokalis dan gitaris, Ahmad Danial (gitaris), Wan Arif Iskandar (bass) dan Gavin Wong (drum).

Biarpun masih hijau dalam lapangan seni suara, namun mereka beroleh kepercayaan tinggi apabila lagu Selalu dipilih sebagai lagu tema drama bersiri My Coffee Prince.

Terus mengorak langkah dengan misi menyebarkan ideologi muzik yang dipegang, Insomniacks kini hadir dengan buah tangan terbaharu buat peminatnya menerusi single Pulang ciptaan sendiri.

Menjelaskan perbezaan atau kelainan yang cuba ditampilkan menerusi single kedua tersebut, Wan Arif Iskandar atau mesra disapa Iskandar berkata, Pulang digarap dengan muzik yang menjurus ke arah pop rock.

“Dalam lagu Selalu, kami bercerita tentang nilai persahabatan. Untuk lagu Pulang pula, kami masukkan kisah mengenai perasaan rindu terhadap seseorang dan berharap agar orang yang dirindui cepat pulang ke pangkuan.

“Apa yang lebih menarik, Pulang lebih banyak disuntik bunyi-bunyian gitar dan orkestra. Malah, liriknya juga mempunyai maksud tersirat untuk ditebak pendengar,” jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Pencapaian

Meskipun sedar perjalanan menuju gerbang cemerlang masih jauh dan apa yang dikerjakan kini sekadar permulaan, Insomniacks berasa lega memandangkan kehadiran mula disedari peminat.

Hakikatnya, mereka sendiri tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan untuk dikenali dalam masa yang cukup singkat. Apatah lagi, mereka harus bersaing dengan wajah-wajah baharu yang memilih muzik jalur balada 1990-an yang menjadi trend dalam pasaran semasa.

Insomniacks percaya, ada beberapa faktor yang membantu nama mereka semakin dikenali pada hari ini.

“Kami tidak nafikan penggunaan lagu Selalu dalam drama My Coffee Prince menjadi pencetus dan membuka jalan untuk nama Insomniacks perlahan-lahan dikenali peminat, terutamanya bagi mereka yang menonton naskhah tersebut.

“Buktinya selepas kami muncul dengan lagu kedua Pulang, setakat ini ia sudah mencatat lebih sejuta tontonan dalam laman carian YouTube, sekali gus angka itu mengatasi jumlah tontonan single Selalu.

“Syukur, kami tidak pernah menjangkakan apa-apa tetapi sangat gembira dengan apa yang diterima pada hari ini,” ujar Iskandar bernada ceria.

Lebih istimewa, Insomniacks mencatat kenangan manis apabila pernah menjadi satu-satunya band baharu yang tercalon dalam kategori Band Terbaik menerusi penganjuran Anugerah Planet Muzik 2018 (APM2018) di Singapura pada tahun lalu.

Empat lagi band yang turut tercalon dalam kategori sama iaitu Last Child, Noah, Search dan Sheila On 7 bukan calang-calang, sebaliknya nama besar dalam kelompok industri muzik di Indonesia dan Malaysia.

Menjadikan tuah dan kenangan manis tersebut sebagai pembakar semangat, kesemua anggota Insomniacks yang kini berusia 21 tahun itu menyimpan azam untuk menebarkan sayap karier dengan lebih luas.

“Tujuan kami masuk ke dalam industri bukan untuk mengejar populariti atau cari nama semata-mata. Sebaliknya kami cuma mahu berkongsi minat dan menyebarkan ideologi muzik bersama pendengar,” ujar pemain gitar, Ahmad Danial.

Jika dua tahun lalu single Selalu diangkat sebagai lagu tema sebuah drama bersiri, kali ini Insomniacks mengambil langkah serupa dalam memastikan Pulang dikenali ramai dan mesra pendengar.

Drama web

Untuk Pulang, mereka mengambil inisiatif lebih progresif dengan melancarkan sebuah siri original drama web yang menampilkan semua anggota Insomniacks selaku pelakon. Drama berkenaan boleh disaksikan menerusi YouTube dalam saluran Insomniacks MY.

Drama sebanyak empat episod tersebut telah ditayangkan selama tiga minggu berturut-turut iaitu pada 12 (episod satu dan dua), 19 dan 26 Disember tahun lalu.

Mengulas tentang pembikinan drama web berkenaan, Ahmad Danial yang mesra menggelarkan dirinya Dan menjelaskan, karya tersebut mengisahkan perjalanan sebenar semua anggota Insomniacks namun isi kandungannya tersirat dengan bermacam maksud yang menjadikannya lebih menarik.

“Projek ini mungkin kedengaran tipikal kerana mengisahkan kehidupan anak remaja yang masih bersekolah tetapi hakikatnya drama web ini hadir dengan banyak tafsiran untuk diterjemahkan penonton.

“Sebagai contoh, terdapat satu cerita mengisahkan seorang budak perempuan yang hilang memori, namun orang di sekelilingnya berkeras mahu gadis itu pulih seperti sedia kala.

“Kalau diamati, lagu ini mempunyai banyak makna untuk ditafsirkan mengikut pemahaman setiap individu.

“Salah satu contoh yang kami boleh berikan adalah tentang perasaan merindui keluarga dan berharap untuk cepat pulang menemui mereka,” jelas Dan yang turut meminta tunjuk ajar daripada ibunya yang juga seorang penerbit dan penulis skrip, Marina Hashim untuk menghasilkan skrip drama web tersebut.

Pembikinan drama web Insomniacks mendapat sentuhan daripada Thaqif Saadon yang bertindak selaku pengarah.

Drama web yang sudah mencecah lebih 100,000 tontonan untuk ketiga-tiga video tersebut turut menampilkan dua orang artis baharu iaitu Midnight Fusic dan Julia Duclos.

Baru setahun jagung membina tapak dalam industri, perjuangan muzik Insomniacks kini disedari. Lega, namun pada masa sama, mereka sedar masih banyak cabaran yang harus ditempuh.

Post a Comment

Previous Post Next Post