Netizen penuhi komen di Instagram Sharnaaz Ahmad mendoakan rumah tangganya pulih




Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila berkahwin pada 31 Mac 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Jebat Jayden Ahmad.

Khabar angin mengenai dakwaan keretakan rumah tangga Sharnaaz Ahmad dan isteri, Noor Nabila Mohd Noor masih belum reda apabila ia masih diperkatakan.

Ia terbukti apabila perkongsian posting beberapa foto Sharnaaz, 34, di Instagram miliknya mendapat reaksi peminat yang memberikan kata-kata semangat dengan mengaitkan rumah tangganya.

Dalam status terbaharu dikongsi pada Sabtu dengan foto wajahnya memandang sesuatu, Sharnaaz menulis mengenai semangat dan jiwanya yang telah hilang namun tidak jelas maksud sebenarnya.

Namun pengikutnya mengaitkan ia mengenai hal rumah tangga.

"Saja nak beritahu, pergi mana mamat dalam gambar ni tak tahu, hilang mana dah semangat dia, jiwa dia... Garang dia... Watak dan perwatakan.



Perkongsian terbaharu Sharnaaz di Instagram mendapat perhatian pengikutnya.

"Walaupun menjelikkan dan menjengkelkan perangai mamat ni, tapi manis dan asam-asam boi dia tetap ada... Semoga kembali wahai sahabat jiwa," tulisnya.

Ramai di antara pengikutnya meminta Sharnaaz agar sentiasa kuat semangat dan memohon petunjuk daripada Allah selain menganggap apa sahaja sedang berlaku dalam rumah tangganya sebagai dugaan dan ada hikmahnya.

Malah rata-rata meminta Sharnaaz mahupun Nabila tidak mudah mengalah dalam mempertahankan rumah tangga mereka selain memikirkan anak lelaki mereka, Jebat Jayden Ahmad yang masih kecil dan perlukan perhatian kedua ibu bapanya.

Pun begitu, terdapat satu komen peminat mendapat respons tanda suka daripada Sharnaaz yang mungkin ada kaitan dengan apa dilalui pelakon itu.

Komen secara umum itu membicarakan tentang pasangan suami-isteri sepatutnya membina kehidupan sendiri tanpa campur tangan orang lain termasuk keluarga kerana ia adalah terbaik dalam melayari perkahwinan.



Sharnaaz bersama anak lelaki kesayangannya, Jebat Jayden Ahmad.

"Pertamanya selepas berkahwin pasangan suami-isteri perlu mencari tempat tinggal sendiri, duduk bersama, membesarkan anak bersama, susah senang bersama.

"Jangan biarkan terlalu banyak penglibatan daripada orang luar termasuk adik-beradik termasuk ibu bapa kedua-dua belah pihak.

"Itu adalah kehidupan anda, suami sendiri, isteri sendiri... Jika semua tinggal dalam satu bumbung, ia mungkin tiada masalah dalam jangka pendek tetapi tidak untuk tempoh panjang," tulisnya netizen menggunakan akaun @gie_quay.

Namun begitu apa sebenarnya berlaku hanya pasangan itu yang mengetahui memandangkan sehingga ke hari ini Sharnaaz mahupun Nabila memilih untuk mengunci mulut mengenai gosip bertebaran mengenai rumah tangga mereka.

Sharnaaz dan Nabila, 35, berkahwin pada 31 Mac 2017 dan pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki pada 30 Ogos tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post