Mya kini mengembangkan bakat sebagai penyampai radio di Best FM.
Penyanyi Mya Ruslee mengorak selangkah dalam karier seninya apabila kini bergelar penyampai radio stesen radio Best FM yang bertempat di Johor Bahru.
Mya atau Meyanaliza Ruslee, 43, berkata, dia menerima tawaran itu kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya selain memang meminati bidang penyiaran.
"Alhamdulillah saya bersyukur sangat kerana diberi peluang oleh pihak pengurusan Best FM untuk bergelar penyampai radio.
"Sebelum ini saya sudah menyanyi, berlakon dan mengacara... Jadi tidak salah rasanya saya mencuba sebagai deejay pula kerana saya memang minat bidang penyiaran.
Mya (belakamg, kanan) bersama barisan penyampai Best FM.
"Sebelum ini saya pernah bergelar deejay sekejap di KL FM jadi sedikit sebanyak tidaklah gementar sangat kerana pernah ada pengalaman di konti radio," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mya bergandingan dengan Zairi menerusi segmen Best Pagi setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 hingga 10 pagi.
Bekas peserta program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu akan ke udara secara rasmi pada 18 Febuari ini.
Dalam pada itu, Mya berkata, dia sebenarnya sudah mendapat tawaran itu sejak tahun lalu namun tidak memberi jawapan segera kerana perlu berfikir panjang terlebih dahulu memandangkan stesen radio itu tidak beroperasi di ibu negara.
Bagaimanapun kata Mya, jarak bukan suatu isu kepadanya kerana yakin masih boleh melakukan aktiviti seninya seperti biasa seperti mana sebelum ini.
Mya Ruslee.
"Buat sementara ini saya menumpang di rumah kakak di Johor dan akan berulang-alik ke Kuala Lumpur sekiranya ada undangan nyanyian.
"Asalnya saya fikir panjang juga tapi saya lihat inilah peluang untuk peminat-peminat mendengar suara saya di radio setiap hari," ujarnya.
Sementara itu, Mya berkata, penglibatannya sebagai penyampai radio bukan bererti dia akan meninggalkan karier nyanyian malah ia akan berjalan seiring.
"Kebiasaannya undangan nyanyian pada hari minggu manakala tugas saya di konti Isnin hingga Jumaat sahaja.
"Jadi saya tidak lihat ada masalah untuk kedua-duanya bergerak seiring kerana ini adalah minat saya," ujarnya.