Portfolio kerja lakonan Nabila Huda itu cukup akrab dengan naskhah-naskhah seni yang bergenre berat.
Baik drama rantaian mahupun filem, aktres berusia 34 tahun yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Munafik pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) itu dilihat cemerlang dalam melunaskan tanggungjawab di hadapan kamera.
Tidak hanya terbatas dengan karya-karya hiburan untuk tontonan khalayak di Malaysia, Nabila pernah disunting saluran HBO Asia untuk membintangi siri original HBO Originals Folklore berjudul Toyol pada tahun lalu.
Sungguhpun didakap dengan pelbagai pengiktirafan dan pengiktirafan, anak kepada penyanyi rock Amy Search itu mengakui bidang lakonan komersial masih kurang memberi kepuasan dan impak kepada dirinya.
Menurut Nabila, seiring dengan peningkatan usia, kecenderungan seninya turut berubah dah lebih teruja untuk melibatkan diri dalam pementasan teater.
Teater
“Benar, sejak kebelakangan ini, minat saya terhadap pentas teater semakin meluap-luap. Saya sendiri tidak tahu mengapakah fokus saya boleh berubah.
“Mungkin aura pentas teater berlainan dengan apa yang saya dapat ketika di set penggambaran. Disebabkan hal tersebut, saya kini lebih cenderung untuk berteater,” katanya.
Justeru, apabila disuakan peluang untuk membintangi Ola Bola The Musical, pelakon filem Bisikan Syaitan itu tidak berfikir panjang.
“Saya masih ingat, ketika membintangi MUD The Musical sekitar akhir tahun lalu, saya terdengar yang penerbitnya, Puan Sri Tiara Jacquelina mahu mementaskan semula Ola Bola The Musical.
“Kebetulan, saya baru selesai pementasan tersebut untuk dua minggu. Jadi, saya bertanya kepada beliau, kalau ada watak-watak sampingan yang boleh dijayakan dalam Ola Bola The Musical.
“Tanpa disangka, pertanyaan saya pada waktu itu mencetuskan wujudnya watak baharu, iaitu Dumilah, seorang peniaga makanan yang berasal dari Indonesia,” ujar Nabila sambil menyingkap kembali momen perbincangannya bersama Tiara.
Ujar Nabila, kesempatan tersebut diambil sebaiknya memandangkan Ola Bola The Musical merupakan muzikal pertama yang dibintanginya.
“Sebelum ini, saya kerap membintangi teater berskala besar dan bergenre berat seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Lela Manja.
“Ada antara naskhah teater berkenaan memerlukan pelakon lain menari. Sebagai pelakon utama pada waktu itu, saya tidak pernah mendapat peluang tersebut.
“Saya teringin sebenarnya untuk menyertai pelakon-pelakon yang turut bertindak sebagai penari dan penyanyi dalam pementasan teater. Jadi, apabila watak Dumilah dicipta untuk berbuat skop lakonan demikian, saya menjadi semakin teruja!” katanya lagi.
Komitmen
Menurut Nabila, walaupun komitmen terhadap teater lebih berat berbanding lakonan di televisyen, namun dia lebih rela untuk menghabiskan masanya bagi sesi latihan yang panjang.
“Saya tidak kisah kalau perlu melalui sesi latihan teater yang panjang kerana perasaan tersebut menyeronokkan. Penat memang penat, namun kepuasan yang saya dapat lebih banyak berbanding berlakon drama televisyen.
“Tetapi, jangan pula salah sangka. Saya masih mahu berlakon drama dan filem. Namun, fokus saya sekarang lebih tertumpu pada teater,” katanya lagi.
Bakal beraksi pada 18 Februari hingga 3 Mac depan, Nabila berkata, rutin hariannya kini tertumpu terhadap latihan semata-mata.
“Disebabkan saya sudah bersetuju untuk membintangi Ola Bola The Musical, saya terpaksa menolak jika ada yang mahukan saya untuk produksi mereka.
“Saya mahu memberikan persembahan terbaik kepada penonton yang bakal menyaksikan pementasan ini,” katanya.
Ditanya apakah genre teater lain yang ingin dijayakan, ini jawapan Nabila:
“Sebelum ini, ada yang menawarkan saya untuk membintangi teater alternatif. Tetapi, saya tidak berkesempatan untuk menjayakannya.
“Namun, saya teringin untuk menjayakan teater bangsawan. Itu merupakan genre teater idaman saya sejak dahulu lagi. Semoga saya berpeluang untuk beraksi dalam pementasan demikian pada masa akan datang,” katanya jujur.
Positif
Menyifatkan permulaan 2019 sebagai satu fasa baharu yang lancar, Nabila menjelaskan bahawa dia mahu meneruskan aura positif tersebut sepanjang tahun ini.
“Kalau ditanya mengenai harapan untuk tahun 2019, saya mahu sentiasa berada dalam lingkungan individu yang sentiasa positif dalam kehidupan. Saya tidak mahu terbelenggu dalam aura negatif. Saya mahu sentiasa gembira dan melakukan perkara-perkara yang disukai.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya sudah berkahwin, anak pun sudah besar. Tiada apa lagi yang saya mahukan selain kehidupan yang sederhana,” ungkapnya.
Menurut Nabila, sudah masanya untuk dia memikirkan soal dirinya berbanding kerjaya dan status.
“Mungkin bagi sesetengah artis, mereka lebih kejarkan takhta nombor satu. Tetapi, saya sudah pernah rasa semua itu.
“Saya mahu kerja, kumpul duit dan pergi melancong ke luar negara bersama keluarga. Itu sudah memadai,” ujar Nabila menutup perbualan.
Nabila Huda mengakui lebih puas berlakon teater berbanding beraksi di hadapan kamera bagi drama mahupun filem.