Selepas menduduki tempat ketiga dalam program GV5 tahun lalu, rezeki Zamani mencurah-curah sehingga jadualnya kini padat dengan undangan persembahan.
Selepas memenangi tempat ketiga program hiburan Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada November tahun lalu, penyanyi popular Zamani pernah berkongsi hasrat untuk membawa hubungannya bersama seorang wanita yang telah dikenalinya selama lebih lima tahun ke arah fasa lebih serius.
Memasuki sebulan pertama tahun 2019, nampaknya sekali lagi hasrat murni beliau untuk membina mahligai bersama wanita misteri yang enggan didedahkan identitinya itu akan tertunda gara-gara kesibukan karier nyanyian sehingga bulan Jun depan.
Untuk tahun ini sahaja vokalis kumpulan Slam yang berusia 48 tahun itu akan muncul dengan empat buah konsert termasuk bersama Slam yang dijadualkan berlangsung pada April depan.
Ikuti perkongsian Zamani mengenai perkara tersebut, selain berbicara perihal perancangan kariernya sepanjang tahun ini ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Konsert 3 Suara yang menggabungkan Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Zamani sendiri di Kelab Ekuestrian Bukit Kiara baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh Zamani ceritakan tentang penglibatan menerusi Konsert 3 Suara pada 6 April depan?
ZAMANI: Syukur alhamdulillah kerana selepas hampir tiga tahun, kami bertiga sekali lagi dapat bergabung menerusi konsert yang sama. Cuma menariknya kali ini diadakan di dalam stadium di Ipoh, Perak.
Pastinya suasana akan berbeza dan lebih santai. Untuk persembahan itu, kami sebenarnya belum memutuskan senarai lagu yang akan dibawa kerana semuanya diuruskan oleh Datuk Jamal. Cuma pada konsert itu nanti saya teringin mahu menyanyikan lagu terbaharu saya yang dijangka dilancarkan pada 1 Mac depan.
Boleh jelaskan lanjut mengenai single terbaharu tersebut?
Lagu tersebut berjudul Aduh dan merupakan ciptaan penyanyi Faizal Tahir. Aduh merupakan lagu bergenre pop, tetapi saya yakin peminat yang mendengarnya buat pertama kali akan mudah menangkap bunyi melodinya, memang stail Faizal.
Bezanya, lagu itu dinyanyikan oleh saya. Sebenarnya single itu sudah selesai dirakamkan tetapi disebabkan ada beberapa kekurangan, saya ingin merakamkannya sekali lagi.
Semakin sibuk dengan karier solo, tidakkah situasi tersebut menjejaskan kumpulan Slam?
Saya yakin kumpulan Slam tidak terjejas walaupun saya banyak bergerak solo. Kalau ada projek bersama Slam, saya tetap akan bersama mereka. Masing-masing ada kelompok peminat tersendiri walaupun sebenarnya sama sahaja.
Cuma yang membezakan, kalau bergerak solo, saya banyak membawakan lagu-lagu lain. Jadi, rasanya tiada masalah tentang hal itu.
Biarpun soalan kerap diulang, namun peminat tetap ingin mengetahui tentang perancangan anda untuk berumah tangga. Boleh jelaskan?
Oh, ada juga soalan itu. Ingatkan tiada (ketawa). Tahun ini saya sangat sibuk dengan kerjaya. Alhamdulillah sehingga bulan Jun depan, jadual saya sudah padat dengan banyak persembahan. Tahun ini sahaja saya ada empat konsert untuk dijayakan termasuk Konsert 3 Suara dan bersama kumpulan Slam.
Jadi, saya tidak boleh buat perkara lain dan perlu memberi fokus sepenuhnya untuk kesemua persembahan itu. Kesimpulannya saya tidak rasa, dapat merealisasikan hasrat itu (berkahwin) pada tahun ini.
Pihak perempuan juga okey sahaja. Setakat ini, dia sanggup menunggu. Jadi saya pun okey. Kalau buat majlis kahwin, saya tidak mahu acara tersebut dilakukan secara ala kadar. Banyak hati perlu dijaga terutama keluarga.
Padat dengan banyak persembahan, adakah jadual sebegitu tidak mendatangkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan anda? Tidak bimbangkah kejadian hilang suara seperti dalam GV5 berulang lagi?
Saya risau juga kalau perkara itu berulang tetapi saya tidak berani menjanjikan apa-apa. Apa yang saya minta, doakanlah yang baik-baik untuk kesihatan saya sebab perkara sebegitu boleh datang dalam keadaan yang tidak dijangka.
Selepas insiden tersebut, pernahkah ada mana-mana pihak mempersoalkan kemampuan anda untuk menyanyi?
Syukur alhamdulillah, setakat ini memang tidak timbul isu sebegitu. Pernah juga saya terfikir adakah kejadian dalam GV5 akan menimbulkan sebarang isu, namun setakat ini respons yang diterima baik sahaja. Peminat juga prihatin dengan keadaan kesihatan saya. Cuma, apa yang saya belajar tentang pengalaman itu adalah rasa tanggungjawab. Saya tidak insiden itu berulang dan akan memberikan yang terbaik pada masa depan.