Bubu, 20 tahun bersama Salamiah Hassan




Meniti usia emas, pelantun lagu Menghitung Hari, Salamiah Hassan masih mampu melaram dengan kasut tumit tinggi rona merah setinggi tiga inci.

Tampil dengan gaya klasik mengenakan sepasang baju kurung palet hitam berserta perhiasan anting-anting sebagai pelengkap penampilan, penyanyi yang mesra disapa sebagai Mama itu kelihatan jauh lebih muda berbanding usianya.

Menjengah usia 67 pada tahun ini, ibu kepada penyanyi genre jazz Atilia Haron itu, antara penyanyi veteran yang masih aktif mewarnai persada muzik tempatan.

Kali terakhir tampil dengan persembahan berskala mega di Esplanade Singapura dua tahun lalu, Kosmo! mendapatkan Salamiah untuk berkongsi kehidupan terkininya

Apa khabar Mama Salamiah? Apakah rahsia anda kekal muda berbanding usia?

SALAMIAH HASSAN: Gaya hidup saya sangat ringkas. Sejak semakin berusia, saya lebih gemar menghabiskan masa di rumah dengan melakukan aktiviti ringkas seperti membaca buku.

Saya hanya keluar rumah sekiranya mempunyai urusan yang penting. Sudah tentu urusan itu melibatkan persembahan pentas dan memenuhi jemputan. Selebihnya, saya lebih selesa berada di rumah menemani Bubu.

Siapakah Bubu itu? Adakah Bubu cinta hati baharu anda?

(Sambil melepaskan gelak) Bubu hanyalah seekor kucing jantan yang saya bela. Dahulu saya ada enam ekor kucing. Kesemua kucing tersebut telah mati kecuali Bubu.

Bayangkan, Bubu bukan sahaja sudah tidak banyak gigi tetapi telah buta. Saya perlu sentiasa berada di sisi Bubu untuk menemani dia.

Mengapakah kucing itu mendapat tempat yang istimewa dalam hati anda?

Saya sememangnya pencinta haiwan. Saya anggap mereka sebahagian daripada keluarga. Sebelum ini, apabila lima ekor kucing belaan saya mati, saya amat sedih.

Hanya Bubu yang bertahan sehingga hari ini. Bayangkan usia Bubu mencecah 20 tahun pada tahun ini, satu usia yang sangat uzur bagi seekor kucing.

Berdasarkan penceritaan anda, adakah kucing itu memerlukan rutin penjagaan khusus memandangkan usianya yang sudah lanjut?

Ya. Saya lebih rela berada di rumah menjaga Bubu berbanding keluar tanpa sebarang urusan. Rutin harian saya setiap pagi ialah memberi Bubu ubat kemudian melakukan pemeriksaan darah.

Pada usia lanjut, Bubu mudah dijangkiti penyakit. Malah makanan harian Bubu adalah berdasarkan diet khusus saranan pakar veterinar.

Setiap bulan saya akan memperuntukkan lebih RM1,000 khas untuk keperluan dia. Sampai satu tahap setiap kali mendapat bayaran persembahan, saya akan asingkan untuk keperluan kucing terlebih dahulu sebelum membeli keperluan saya.

Kali terakhir anda tampil dengan konsert berskala besar di Esplanade Singapura pada tahun 2017. Adakah anda mempunyai sebarang perancangan mengadakan persembahan seperti konsert dalam masa terdekat?

Saya telah berada dalam industri selama lebih 40 tahun. Sejujurnya, saya suka menyanyi, berdiri di atas pentas dan menghiburkan penonton. Biarpun begitu, saya tidak pernah merasakan diri sebagai selebriti popular.

Peluang beraksi di pentas berprestij seperti Istana Budaya, Dewan Filharmonik Petronas dan Esplanade Singapura, saya anggap sebagai rezeki dari Allah.

Kepuasan sebenar saya adalah membuat persembahan di kelab-kelab eksklusif kerana saya bebas memilih pelbagai lagu yang ingin dinyanyikan.

Ketika ini, industri menyaksikan ramai penyanyi veteran tampil dengan karya baharu. Adakah anda mempunyai sebarang karya untuk dikongsikan pada tahun ini?

Buat masa ini, saya tidak mempunyai sebarang single baharu. Saya telah merekodkan semula lagu Menghitung Hari bersama Aubrey Suwito pada tahun lalu.

Mungkin saya bersama pasukan akan fokus mempromosikan lagu ini untuk dijadikan runut bunyi dalam drama tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post