Masih ragu status halal vaksin




Ragu terhadap status halal vaksin menjadi alasan utama segelintir rakyat di Kedah menolak vaksin, sekali gus menjadikan jumlah penolakan vaksin di negeri itu meningkat enam kes tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pada 2018, bilangan penolakan vaksin di negeri jelapang padi itu direkodkan sebanyak 139 kes berbanding 133 kes bagi tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, Kedah tidak merekodkan sebarang kes difteria sejak 2018 sehingga 24 Februari lalu.

Beliau berkata, keraguan terhadap status vaksin sama ada ia halal atau haram menyumbang sebanyak 41.21 peratus dan keraguan terhadap kandungan vaksin tidak selamat (24.18 peratus).

“Selain itu faktor pengaruh keluarga menyumbang sebanyak 14.84 peratus dengan selebihnya, 8.24 peratus mengamalkan perubatan homeopati dan 4.40 peratus bimbang dengan kesan sampingan vaksin.

“Meskipun ada peningkatan jumlah penolakan vaksin pada 2018, namun jumlah itu menurun dari 2017 berbanding 2016 iaitu daripada 176 kepada 133, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Dr Norhizan berkata, Kedah mencatatkan 17 kes difteria dari 2015 hingga 2017 dengan empat kematian.

“Satu kematian dilaporkan berlaku pada 2015, dua kematian pada 2016 dan satu kematian pada 2017,” katanya.

Beliau berkata, liputan bagi semua suntikan yang diberikan kerajaan meningkat ada tahun lalu berbanding 2017 membabitkan BCG dari 99.3 peratus kepada 99.6 peratus; suntikan lima serangkai (difteria, pertusis, tetanus, haemophilus influenza B dan polio), dari 92.33 peratus kepada 92.75 peratus.

“Liputan suntikan MMR (Measles, Mumps dan Rubella) 12 bulan pula meningkat dari 83.33 peratus kepada 84.51 peratus, suntikan Hepatitis B Dos 3, dari 91.69 peratus kepada 93.33 peratus,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post