Emma Maembong (depan) menujukkan dua jari sambil menutup mulut dalam perkongsian foto terbaharunya membuka tudung.
Langkah Emma Maembong memutuskan untuk membuka tudung dengan berkongsi foto bersama ahli keluarganya mengundang kemarahan netizen dan ‘diserang’ dengan pelbagai komen negatif.
Dalam masa 1 jam perkongsian foto terbaharu tidak berhijab itu Emma menerima lebih 16,000 komen dengan 107,553 orang memberi tanda suka.
“The one that always be there for me (orang yang sentiasa berada di sisi saya),” tulisnya pada kapsyen tersebut.
Rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan yang diambil pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Ada segelintir mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak kurang juga yang mendoakan wanita itu supaya mendapat hidayah dan kembali berhijab.
Imej terkini Emma Maembong.
Sementara itu, Emma menerusi siaran langsung Facebook di Berita Harian berkata, keputusan yang dibuat itu adalah daripada dirinya sendiri yang gagal beristiqamah.
Bagaimanapun, dia menerima jika ada peminat yang marah dan kecewa dengan tindakan yang diambil secara drastik itu.
“Saya awal-awal lagi beritahu saya masih tidak kuat dan tidak boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.
“Saya akan terima jika mereka marah saya dan saya tahu mereka kecewa dengan apa yang saya lakukan,” ujarnya yang tidak menutup ruangan komen tersebut.
Mengulas tentang kerjaya lakonan, Emma berkata, dia sudah memikirkan hal itu dan menyerahkan semuanya kepada rezeki.
Emma ketika berhijab
“Saya percaya rezeki itu Allah yang beri, jika tidak dalam bidang lakonan ia ada di mana-mana walaupun saya terpaksa jual nasi lemak tepi jalan itu juga rezeki,” ujarnya.
Ditanya gosip kononnya sudah berkahwin dengan Syed Abdullah Syed Abdul Rahman yang juga abang Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Emma berkata ia fitnah semata-mata.
“Saya tidak tahu bagaimana orang boleh membuat fitnah dan mereka-reka cerita sebegitu sedangkan mereka tidak mengenali dia dan Syed.
“Syed bukan pramugara dan tiada kejadian seperti diceritakan itu. Saya ada tanya Linda Rafar cara untuk ambil tindakan terhadap orang yang buat fitnah seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas tentang perancangan terhadap hubungan tersebut, Emma berkata, dia menyerahkan kepada pihak keluarga.
Katanya, tidak manis untuk dia bercerita tentang perkara tersebut lebih lanjut dalam keadaan yang sedang keruh.