
Pelakon, Bront Palarae, meluahkan rasa berbesar hati dan teruja apabila diangkat sebagai duta acara Festival Filem Antarabangsa Malaysia Ketiga (MIFF) dan Anugerah Golden Globe Malaysia 2019 (MGGA).
Bront, 41, berkata, dia kini tidak perlu lagi ‘malu’ setiap kali diajukan soalan oleh penggiat filem antarabangsa mengenai industri filem tanah air.
“Saya sudah beberapa kali menghadiri acara festival filem di luar negara. Bila kerap ditanya sama ada kita punya acara festival filem bertaraf antarabangsa, timbul rasa ‘malu’.
“Tapi, nampaknya sekarang saya dah ada jawapan sekiranya diajukan soalan sedemikian selepas ini,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, acara sebegitu sekali gus akan membuka ruang kepada penggiat filem tempatan untuk mengetengahkan karya mereka dengan lebih meluas.
“Menerusi acara sebegini, wujud ruang untuk penggiat filem tempatan memperkenalkan karya mereka bukan saja kepada penonton tempatan, tetapi juga luar negara.
“Sejujurnya, saya berbangga apabila program seumpama ini diadakan sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Selain Bront, MIFF dan MGGA juga mengekalkan duta sejak kali pertama dianjurkan iaitu pelakon, Lee Sinje.
Acara MIFF bakal berlangsung selama lima hari iaitu pada 14 hingga 19 Julai depan manakala MGGA pula akan berlangsung pada 20 Julai depan.
Tidak hanya mengetengahkan filem tempatan, MIFF juga menerima penyertaan daripada penggiat filem luar negara.