
“Saya tak berani nak berjanji. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Allah SWT adalah penentu segala-Nya.
"Selagi ada peluang mencuba, saya akan terus berkarya. Namun, jika masih dikecam ramai, biarlah," kata penyanyi Aweera.
Ia sebagai menjawab apakah dia akan terus kekal bersama kumpulan barunya dikenali sebagai Pelita Lusoh yang dianggotai tiga orang.
Sebelum bersama Pelita Lusoh, Aweera sudah menjadi vokalis kepada dua kumpulan muzik iaitu Mojo dan Prime Domestic yang bertahan seketika.
Masih bertindak sebagai vokalis, Aweera, 28, mengakui dia sama sekali tidak peduli dengan apa saja tanggapan negatif orang lain terhadap dirinya.
"Kalau masih ada yang meragui dan terus memperkatakan soal disiplin saya, biarlah mereka.
"Begitu juga, jika ada mengaitkan saja dengan sikap hangat-hangat tahi ayam atau cakap tak serupa bikin, biarlah.
"Terpulang pada mereka nak cakap atau anggap apa, saya tak kisah. Sekarang, saya ada misi baru untuk karier seni ini," katanya.
Selain Aweera, Pelita Lusoh turut dianggotai Anep sebagai pemain dram dan Alan (pemain gitar).
Tampil dengan single berjudul PIL atau Pelita Ini Lusoh, ia karya ciptaan sepenuhnya Aweera, manakala struktur muzik serta penyusunan lagu dibuat oleh Anep dan Alan.
Menurut Aweera, selepas 10 tahun melalui pelbagai dugaan dan pengalaman, baru kini dia berpeluang mengetengahkan karya lagu ciptaan sendiri.
"Melalui pengalaman bersama Mojo dan Prime Domestic, saya tampil bersama mereka menyanyikan lagu ciptaan komposer lain.
"Tetapi, dengan Pelita Lusoh saya akhirnya dapat tampil menyanyikan lagu ciptaan sendiri, PIL," katanya.
Mengakui takdir karier nyanyiannya kini bersama Pelita Lusoh, pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham berkata, dia akan berusaha memberi yang terbaik.
"Lagi pun, saya bersama Anep dan Alan sudah kenal dan berkawan lama sejak 2005 dengan menganggotai OTwo Band.
"Cuma, ketika itu usia saya masih remaja dan tak boleh menjadi anggota tetap. Kemudian, saya menyertai One In A Million (OIAM) pula pada 2009," katanya.
Sehubungan itu, selain pasaran tempatan single PIL bersama Pelita Lusoh akan dipasarkan juga ke luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Jepun.