
Kembali aktif dalam industri, Raja Ema kini sedang menjalani penggambaran filem Keluarga Iskandar The Movie selain bakal meluncurkan single terbaharu tidak lama lagi.
Selepas hampir 20 tahun hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi Raja Ema mengakui hatinya masih belum terbuka untuk kembali menerima kehadiran seorang lelaki baharu dalam hidupnya.
Hal ini adalah kerana penyanyi yang terkenal menerusi lagu Jejaka Idaman itu selesa menjalani kehidupan solo di samping dua anaknya, Putera Ammar, 25, dan Putera Al Kashah, 23, hasil perkahwinan dengan penyanyi Sheqal sekitar 1990-an.
Malah, sekali pun tidak pernah terdetik dalam hatinya untuk mengakhiri zaman janda dengan lelaki yang berstatus suami orang kerana enggan menimbulkan masalah pada kemudian hari.
Ikuti perkembangan terkini daripada penyanyi berusia 51 tahun itu ketika ditemui baru-baru ini.
Apa khabar Raja Ema. Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
RAJA EMA: Baik, alhamdulillah. Sekarang ini, saya sedang sibuk menguruskan perniagaan produk kecantikan yang diusahakan sejak dua tahun lalu. Sebenarnya dalam tempoh itu juga, saya ambil masa untuk fokus dengan perniagaan ini dan tidak menerima sebarang tawaran berlakon.
Sekarang saya sudah kembali menerima tawaran berlakon di layar perak, kali ini menerusi filem Keluarga Iskandar The Movie. Saya juga bakal muncul dengan single baharu yang dicipta oleh Fauzi Marzuki.
Boleh jelaskan lanjut mengenai single itu?
Lagu tersebut berjudul ID Cintamu dan merupakan single ketiga saya selepas membuat kemunculan semula sekitar tujuh tahun lalu. Menerusi lagu itu saya kekalkan konsep irama 1980-an kerana ia merupakan kesinambungan untuk lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan.
Saya perhatikan sekarang ramai orang suka dengan irama sebegitu. Tujuan saya menampilkan lagu bergenre balada zaman dulu-dulu bukan untuk meletakkan sebarang sasaran tetapi anggaplah ini sebagai hadiah buat peminat.
Anda pernah dilanda kontroversi berkaitan isu buka tudung pada 2012 sebelum kembali bertudung pada 2016 sehingga kini. Mungkin anda ada sebarang komen mengenainya?
Bagi saya, perkara ini berkaitan dengan iman. Manusia tidak ada yang sempurna dan kadangkala ada melalui turun naik perasaan. Alhamdulillah, setakat ini saya tetap dengan imej begini.
Biarpun mendapat tawaran yang memerlukan saya membuka tudung, saya akan tolak. Cuma bagi saya, isu tudung ini sesuatu yang sensitif. Doakan sahajalah yang baik-baik kepada kami (golongan artis). Beri kami ruang dan waktu, sebab manusia tidak ada yang sempurna.
Anda pernah dikecam kerana isu tersebut, jadi apa pula komen anda?
Saya tidak nafikan, memang ramai yang mengecam saya kerana isu buka tudung. Sewaktu saya membuat kemunculan semula sekitar tujuh tahun lalu pun tetap dikecam orang juga.
Sebab mereka fikir, kalau seseorang artis yang sudah berusia seperti saya, kami akan memperlahankan atau berhenti terus daripada aktiviti seni dan sebagainya. Sedangkan inilah cara saya dan saya akan tetap begini sekiranya sudah sampai umur 60 tahun.
Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi? Pada usia sekarang, masihkah anda terbuka untuk kembali mengisi kekosongan hati?
Tidaklah terbuka sangat memandangkan saya sangat sibuk dengan kerjaya dan bisnes.
Memang ada yang cuba mendekati tetapi kebanyakannya suami orang. Saya akan elak daripada terjebak dengan cinta suami orang sebab tidak mahu mencari masalah. Begitu juga dengan cinta orang muda, itu bukan cita rasa saya.
Sebenarnya seronok juga bergelar solo lebih-lebih apabila kita ada sumber kewangan tetap. Anak-anak juga sudah besar, jadi saya tidak perlukan benda lain.
Adakah anda trauma untuk kembali berkahwin?
Ada juga perasaan trauma dalam diri sebab saya pernah rasa dan lalui pengalaman berumah tangga. Ada orang kata, jangan memilih bab memilih pasangan. Tetapi lain bagi diri saya.
Apabila sudah berusia, kita perlu lebih teliti dalam memilih pasangan. Semakin tua, semakin cerewet. Kalau mahu mencari jodoh, saya mahu biarlah dia boleh buatkan saya lebih gembira.