Baby Shima bersinar di Indonesia




Sejak menyertai program nyanyian D' Academy Asia musim ketiga di Jakarta, Indonesia sekitar dua tahun lalu, perjalanan karier penyanyi Baby Shima berubah secara total.

Biarpun tidak berjaya lolos ke peringkat akhir dan bersaing dengan peserta final lain, kehadiran Baby Shima dalam industri muzik tetap disambut baik, terutama oleh penggemar muzik dangdut di negara seberang.

Melihat pendakiannya sebagai anak seni di rantau orang kian membuahkan hasil, Baby Shima meluahkan rasa syukur atas segala rezeki yang diberikan oleh Allah. Alhamdulillah, perjalanan seni saya di Indonesia semakin stabil. Ramai juga yang telah mula mengenali saya di sana.

“Tambahan pula, saya diuruskan oleh syarikat rakaman gergasi, Nagaswara. Jadi, saya tidak perlu risaukan soal promosi ketika berada di sana,” jelasnya.

Peserta program Big Stage itu juga ada memasang niat untuk menetap di Indonesia. Cuma, buat masa ini, Baby Shima lebih selesa untuk berulang-alik jika diundang untuk menjayakan program di tanah air.

“Pernah juga saya berhasrat untuk terus menetap di Jakarta. Undangan nyanyian juga banyak diterima di sana.

“Cuma, masanya belum sesuai. Jadi, saya lebih selesa berulang-alik apabila menerima tawaran di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Mengimbau kembali fasa awal sewaktu mula-mula menapak di Indonesia, Baby Shima mengakui tidak betah dengan rutin harian masyarakat di sana.

“Ketika mula-mula menetap di Jakarta, saya terlalu rindukan masakan Melayu. Biarpun kita serumpun, tetapi makanan di sana tidak sama seperti masakan di sini.

“Tetapi, setelah menetap lama, saya semakin serasi. Khalayak di sana juga baik dan ramah belaka,” ujarnya lagi.

Populariti

Membina nama di negara orang ada kelebihan dan kekurangannya. Menurut Baby Shima, dengan karier kian mekar dia semakin bersemangat untuk mencipta nama.

“Sejujurnya, saya selesa menyanyi dan mencari rezeki di Indonesia. Tawaran nyanyian banyak dan bayaran yang diterima juga berbaloi.

“Dalam masa sama, penyanyi juga diberi layanan yang sangat baik apabila dijemput untuk menjayakan program hiburan.

“Bagaimanapun, saya bukanlah mahu membuat perbandingan antara dua negara. Tetapi, mungkin cara kerja masyarakat Indonesia sebegitu membuatkan saya selesa,” kata Baby Shima jujur.

Jika penyanyi lagu Makan Hati itu cukup dikenali dan diminati oleh masyarakat Indonesia, kelibatnya di negara sendiri bagaimanapun dilihat seperti kurang mendapat perhatian.

Perkara tersebut diakui sendiri Baby Shima. Biarpun kurang dikenali, dia tetap bersyukur dengan tawaran yang diterima khususnya penganjur program hiburan tempatan.

“Saya ada menerima komen-komen daripada orang Malaysia yang tidak mengenali siapa saya.

“Mungkin ada yang kurang menonton televisyen dan tidak mengenali saya. Jujurnya, saya tidak terasa dengan komen-komen sedemikian,” katanya.

Bersih

Bercakap mengenai komen netizen, Baby Shima baru-baru ini membuat laporan polis selepas menerima kata-kata yang berbaur kecaman di Instagram.

Tindakan tersebut diambil kerana dia berasa kurang senang dengan komen yang dianggap biadab dan mampu menjatuhkan maruah dirinya.

Antara komen yang ditinggalkan termasuklah mendoakan penyanyi itu cepat mati dan menggelar dirinya sebagai pelacur.

Ditanya, apakah tindakan susulan yang bakal diambil, Baby Shima menjelaskan bahawa dia enggan melayan isu tersebut kerana mahu memberi fokus terhadap karier.

“Saya enggan melayan netizen yang biadab. Jika saya rasakan komen yang ditinggalkan berbaur hinaan atau kecaman, saya akan menyekat mereka daripada akaun Instagram saya,” tegas Baby Shima.

Untuk rekod, kecaman yang diterima oleh Baby Shima adalah rentetan daripada kontroversi dirinya yang tanpa sengaja dikaitkan dengan skandal pelacuran dalam talian yang melibatkan ramai artis dan model di Indonesia.

Memburukkan keadaan, gambar Baby Shima turut digunakan dalam program Barista yang disiarkan dalam saluran RCTI bagi mewakili seorang penyanyi bernama Baby Shu yang terlibat dalam skandal tersebut.

Salah faham tersebut berlaku kerana khalayak Indonesia gemar menggunakan akronim huruf pangkal nama seseorang sebagai panggilan, sementelah Baby Shima dan Baby Shu memiliki pangkal nama sama iaitu BS. Sebaik sahaja pihak berkuasa menyebut BS sebagai salah seorang suspek, media terus merujuk kepada Baby Shima.

Kontroversi

Mengulas mengenai kontroversi berkenaan, Baby Shima menjelaskan bahawa namanya kini kembali bersih selepas pihak RCTI membuat permohonan maaf.

“Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan, isu tersebut telah diselesaikan dengan cara baik.

“Pihak stesen televisyen (RCTI) yang tersilap menggunakan gambar saya untuk melaporkan berita skandal pelacuran berkenaan telah membuat permohonan maaf,” katanya.

Dalam pada itu, Baby Shima turut mengulas mengenai aktiviti sawer atau pemberian wang tip oleh penonton sewaktu dia sedang menyanyi di atas pentas.

“Sudah menjadi budaya masyarakat di sana untuk memberikan sawer kepada penyanyi dangdut yang membuat persembahan pentas.

“Jadi, tiada istilah menjual maruah atau sebagainya seperti yang didakwa segelintir peminat,” ujarnya dalam nada tegas.

Baby Shima pernah menerima bayaran tip paling tinggi sebanyak 10 juta rupiah (RM2,900) dalam sebuah persembahan yang dijayakan.

“Memang jumlah kelihatan banyak, tetapi saya tetap mengagihkan wang tersebut kepada band dan pemuzik yang mengiringi saya usai setiap persembahan,” ceritanya.

Dalam perkembangan lain, Baby Shima kini sedang dalam rangka promosi single baharunya berjudul Roadblock Hatiku.

“Biarpun dilancarkan sejak September tahun lalu, saya hanya baru berkesempatan untuk mempromosikan sekarang.

“Saya suka dengan lagu ini kerana Roadblock Hatiku masih mengekalkan ciri-ciri muzik dangdut pada pertengahan lagu,” katanya menutup perbualan.

Baby Shima berkongsi pengalamannya dalam perjuangan muzik di negara orang selepas setahun diikat bersama syarikat rakaman Nagaswara di Indonesia.

Post a Comment

Previous Post Next Post