"Saya melihat sukan payung terjun ini seperti kehidupan. Kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah.
“Apabila saya berada di udara selepas terjun dari ketinggian 15,000 kaki, saya sedar betapa kerdilnya manusia. Perkara itu membuatkan saya akur serta tunduk dengan kebesaran Ilahi,” demikian pengakuan jujur aktres, Mira Filzah usai dilantik sebagai duta Malaysian Parachute Association (MyPA) baru-baru ini.
Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, telah melengkapkan sesi latihan terjunan udara dalam bangunan (indoor) di iFly Downunder, Australia. Bukan itu sahaja, wanita kelahiran Ipoh, Perak itu berani mencuba sukan payung terjun secara tandem (terbang bersama juruterbang profesional) baru-baru ini di Sydney Skydivers, Australia.
Menurut Mira yang meledak dengan drama Pujaan Hati Kanda itu, sebagai seorang selebriti bertudung, perkara itu tidak memberi limitasi kepada dirinya untuk mencuba jenis sukan ekstrem seperti payung terjun.
“Sukan payung terjun sudah berada dalam senarai impian saya agak lama. Apabila didekati oleh Presiden MyPA, Kapten (B) Amar Ab. Aziz sekitar tahun 2017, saya tidak terus bersetuju kerana waktu itu jadual seni saya agak sibuk.
“Selepas berbalas-balas mesej melalui Direct Message (DM) dan jadual seni sedikit lapang, tahun 2019, saya bersetuju untuk menjadi duta, sekali gus melazimkan sukan payung terjun kepada rakyat Malaysia yang dianggap sebagai berbahaya.
“Bertudung juga bukan halangan untuk wanita seperti saya mencuba sesuatu yang baharu dalam kehidupan. Saya akui sebelum membuat terjunan, saya gementar kerana kita hanya ada 90 saat sahaja untuk membuka payung terjun dan dalam tempoh itu pelbagai perkara boleh berlaku,” tutur Mira yang mengikat kontrak sebagai duta MyPA selama setahun.
Bonus untuknya juga, Mira tidak mempunyai fobia atau rasa gayat terhadap ketinggian. Sehubungan itu, dia mengakui sudah jatuh cinta dengan suka payung terjun dan peluang sebagai duta MyPA akan digunakan sebaik mungkin untuk mempelajari selok-belok tentang sukan berkenaan termasuk berhasrat membuat terjunan secara solo suatu hari nanti.
Apa yang lebih penting, Mira berharap penglibatannya mampu menarik minat orang ramai, terutama golongan muda, sekali gus mampu membendung daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.
Masalah sosial
Menyedari tanggungjawabnya sebagai figura popular, Mira berasa terpanggil untuk menyentuh sedikit masalah berkaitan isu sosial yang kian menular dalam kalangan masyarakat tempatan khususnya golongan remaja.
Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa masalah sosial semakin meruncing terutama dengan ketaksuban golongan remaja terhadap penggunaan media sosial yang kadangkala melampaui batas.
“Golongan selebriti memainkan peranan yang penting dalam mendidik masyarakat. Segala tindak-tanduk yang ditonjolkan sama ada dalam televisyen mahu pun media sosial, semua itu berkemungkinan besar menjadi ikutan orang.
“Adalah sangat signifikan untuk selebriti memberi kesedaran tentang perkara-perkara tidak berfaedah dan pada masa yang sama memberi teladan yang baik kepada orang ramai,” jelas Mira sambil menyeru golongan muda supaya melibatkan diri dengan banyak aktiviti kesukanan untuk mengelak daripada terleka dengan media sosial.
Bercakap tentang rezeki lakonannya yang semakin berkembang terutama selepas ledakan drama sensasi, Pujaan Hati Kanda, Mira amat bersyukur dengan pencapaian tersebut.
Rezeki 2019
Tidak mahu terlalu mendabik dada, Mira menyifatkan tuah sesuatu naskhah kadangkala tidak menentu. Namun, dia berpuas hati dengan drama arahan pengarah Eoon Shuhaini yang mengumpul jumlah tontonan lebih 12 juta penonton.
“Alhamdulilah dengan semua rezeki ini. Ini satu permulaan yang bagus untuk kerjaya lakonan saya pada tahun 2019.
“Sebenarnya, sama ada sesuatu naskhah drama itu ‘menjadi’ atau sebaliknya, bergantung terhadap tuah dan kualiti yang terhasil.
“Kita tidak boleh nafikan bahawa jalan cerita cinta atau kahwin paksa itu satu ‘inti’ klise untuk tatapan penonton tempatan.
“Apa pun, saya bersyukur gandingan dengan Remy Ishak mendapat reaksi positif daripada penonton.
“Justeru, suka untuk saya dedahkan Pujaan Hati Kanda Raya akan menyusul Aidilfitri tahun ini. Penggambaran akan bermula pada Ramadan nanti,” kongsinya.
Dijentik pertanyaan berhubung komennya apabila ramai dalam kalangan penonton seperti mencuba untuk ‘menyatukan’ dirinya dengan Remy dalam kehidupan realiti, jawab Mira: “Tidaklah sampai ke tahap itu. Hubungan kami hanya di set penggambaran. Habis kerja, maka habislah. Kami berkomunikasi atas urusan kerja sahaja.
“Penting buat saya untuk mengasingkan antara profesionalisme dan urusan hati. Setakat ini, memang tiada apa-apa istimewa antara saya dengan dia (Remy).”
Menjelaskan pula desas-desus hubungan cintanya dengan pelakon dan pelawak, Zizan Razak yang seperti sudah berganjak ke arah lebih serius iaitu fasa bertunang, Mira menafikan perkara tersebut.
“Orang yang meletakkan teka-teki atau spekulasi hubungan cinta itu. Saya tidak pernah mengiyakan. Ingin bertunang, calon pun tiada dan saya tidak fikir pun lagi untuk ke arah itu.
“Saya memang tiada apa-apa dengan Zizan. Sebagai selebriti, khabar angin sudah menjadi sebahagian daripada kerja. Sejujurnya, setakat ini memang tiada yang istimewa antara kami. Berkawan memang ada namun tidak sampai tahap serius,” tutur Mira menggulung perbualan.
Mira Filzah bercerita tentang pengalaman terjun dari ketinggian 15,000 kaki melalui sukan payung terjun yang disertainya serta kebenaran hubungan cintanya yang sering disalah tafsir segelintir pihak.