Riz Ismail tolak babak ranjang




Tatkala namanya sedang meningkat naik selepas membintangi beberapa buah drama seperti Dosanya Perempuan, Lelaki Kiriman Tuhan dan Air Mata Di Bumi Matador, peserta program Pencetus Ummah (PU) musim keempat, PU Riz Ismail terpaksa akur untuk berehat seketika daripada bidang lakonan.

Hal ini kerana pemilik nama sebenar Muhammad Haris Mohd. Ismail itu perlu menghabiskan baki pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang dan pengajian Islam demi memenuhi permintaan ibunya.

Meskipun mengakui berat hati untuk mengambil keputusan tersebut, Riz percaya bahawa rezeki akan datang dalam pelbagai bentuk andainya mendengar kata ibu.

Ikuti penjelasan daripada jejaka berusia 24 tahun itu ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama Selafaz Cinta baru-baru ini.

Selepas membintangi beberapa buah drama, bagaimana Riz melihat graf karier setakat ini?

RIZ ISMAIL: Alhamdulillah perjalanan saya dalam industri berjalan dengan baik. Setakat ini sudah beberapa buah drama saya lakonkan. Akan datang, saya akan memainkan watak utama dalam sebuah telefilem dan filem. Sekarang, saya terpaksa hadkan aktiviti lakonan untuk memberi fokus terhadap pelajaran yang masih berbaki setahun setengah di UIAM. Saya buat semuanya kerana mendengar nasihat ibu yang mahu saya menghabiskan pengajian. Insya-Allah, selepas tamat pengajian saya akan kembali aktif berlakon.

Jadi bagaimana dengan karier lakonan anda sejak kembali menyambung pengajian?

Sekarang sudah tiga minggu saya kembali belajar. Kerjaya lakonan masih boleh diteruskan tetapi terhad pada hujung minggu sahaja iaitu dari Khamis hingga Ahad. Sebenarnya emosi saya untuk kembali belajar hilang tetapi memandangkan ibu meminta saya selesaikannya, jadi saya akur.

Boleh jelaskan lanjut mengapa anda sudah tidak berminat untuk belajar?

Sebab saya sudah tinggalkan pengajian selama lebih setahun, jadi keterujaan telah hilang. Tambahan pula sejak bekerja, saya sudah ada pendapatan sendiri dan merasa ada duit dalam tangan. Jadi keadaan itu membuatkan saya selesa.

Apakah anda tidak risau andai keputusan itu memberi impak kepada karier lakonan yang sedang meningkat naik ketika ini?

Mula-mula saya ada juga terfikir juga tentang perkara ini. Tetapi orang yang meminta saya menyertai program Pencetus Ummah dahulu pun adalah ibu saya sendiri. Jadi saya rasa kalau kali ini saya dengar nasihatnya, insya-Allah akan ada rezeki yang lebih banyak selepas ini.

Jika dibandingkan dengan penceramah lain, mereka banyak memberikan teguran terbuka jika berlaku sebarang isu tetapi tidak bagi anda. Apa komen anda?

Sebenarnya saya suka untuk mengambil pendekatan dengan tidak menyentuh soal peribadi orang lain. Sebab kita sendiri pun bukannya baik sangat. Masing-masing ada aib. Saya akan tegur tetapi dalam keadaan tidak diketahui orang.

Seperti contoh, saya ada menerima undangan ke majlis beberapa orang selebriti. Jadi di situ saya ambil kesempatan berbicara dari hati ke hati tentang apa jua isu. Cuma saya juga tidak menolak tindakan mana-mana penceramah yang menegur secara terbuka. Saya juga menyokong tindakan sebegitu. Sebab ada situasi tertentu yang memerlukan individu sebegitu. Secara peribadi, saya lebih suka memberi teguran secara tertutup.

Adakah disebabkan kini anda bergelar pelakon, jadi status itu menyekat tindakan anda daripada bersuara secara terbuka?

Tidak. Bukan disebabkan saya bekerja dalam industri. Kalau kita tengok, PU Azman pun berlakon juga tetapi dia tetap memberi teguran secara terbuka andainya ada sebarang isu.

Baiklah, beralih kepada pemilihan watak anda dalam drama. Apakah anda ada meletakkan sebarang had untuk memilih watak?

Tidak juga. Saya sudah banyak kali melakonkan pelbagai watak. Seperti contoh dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan, saya berlakon sebagai bekas kekasih Mira Filzah. Dalam drama lain, ada juga saya berlakon sebagai budak sekolah. Pemilihan watak tidak terhad, tetapi saya tidak akan buat babak bersentuhan apatah lagi di atas ranjang sebab adegan sebegitu bertentangan dengan prinsip saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post